Messi Tahu Yang Gerard Pique Mengkhianati Persahabatan Mereka

Pemain terhebat sepanjang zaman, Lionel Messi baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang sangat mengejutkan dengan beliau mengakui dirinya sanggup lakukan apa saja untuk kekal bersama Barcelona.

Messi menegaskan yang beliau bahkan sanggup main secara percuma andai pihak kelab meminta beliau lakukan itu, namun hal itu tidak pernah diminta oleh Barca sendiri.

Apa yang membuatkan Messi kecewa adalah pengurus kelab, Joan Laporta mengeluarkan kenyataan yang mengatakan beliau berharap messi akan sanggup bermain secara percuma, namun kenyataannya beliau tidak pernah suarakannya kepada bintang Argentina itu sendiri.

Punca Messi meninggalkan Barca untuk sertai PSG

Laporta merupakan calon pilihan Messi sendiri untuk jadi Presiden kelab buat kali kedua pada Mac lalu, ahli politik dari Sepanyol itu sebelum ini pernah menjadi Presiden kelab pada tahun 2003 hingga 2010.

Pemain kebangsaan Argentina itu yakin yang beliau akan terus kekal di Nou Camp pada musim lalu selepas melihat Presiden baru kelab merupakan individu pilihan beliau sendiri.

Walau bagaimanapun, masalah kewangan Barcelona menyebabkan Laporta dan kelab sendiri gagal untuk mendaftarkan Lionel Messi dan terpaksa melepaskan bintang Argentina itu.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu kemudiannya memutuskan untuk menandatangani perjanjian bersama Paris Saint Germain pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Messi bahkan turut sudah bersetuju untuk terima cadangan pemotongan gaji sehingga 50 peratus dari gaji asalnya untuk kekal di Nou Camp.

Walau bagaimanapun, Barcelona masih tak mampu untuk mempertahankan bintang dari benua Amerika Selatan itu kerana had perbelanjaan mereka sudah berada di tahap maksimum.

Messi kecewa dengan komen dari Laporta

Laporta pada Oktober lalu telah menyatakan yang beliau berharap Messi akan sanggup untuk tawarkan diri bermain secara percuma.

Komen itu walau bagaimanapun sebenarnya telah mengguris hati pemain terhebat sepanjang zaman kelab, Lionel Messi.

“Kebenarannya adalah, seperti apa saya jelaskan ketika saya mahu pergi, saya sudah lakukan segalanya yang saya mampu untuk kekal.”

Tambah messi kepada SPORT dalam satu temu bual yang diterbitkan pada minggu ini.

“Tidak pernah langsung dia meminta saya bermain secara percuma. Dia minta saya kurangkan gaji sebanyak 50% dan saya terima tanpa sebarang bantahan. Kami sangat terbuka untuk terus membantu kelab. Keinginan saya dan keluarga saya adalah untuk kekal bersama Barcelona.”

“Tidak ada sesiapa yang tanya saya adakah saya sanggup bermain secara percuma, tapi pada masa sama, kata-kata dari Presiden adalah sangat tidak beradab. Ia sangat menyakitkan kerana saya tak fikir dia perlu untuk kata hal seperti itu.”

“Ia seperti mengambil bola dari kamu dan tidak bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu. Itu membuatkan orang berfikir dan timbulkan pelbagai keraguan yang saya rasa saya tak berhak untuk terima.”

Hal ini cukup untuk menjelaskan yang Messi sebenarnya masih sayangkan Barca dan akan sanggup lakukan apa saja untuk terus berbakti kepada gergasi Catalan itu.

Messi namakan pemain Barcelona yang masih bercakap dengannya

Messi turut ditanya adakah beliau masih menjaga hubungan baik dengan mana-mana bekas rakan sepasukannya di Nou Camp.

Agak aneh sekali, beliau tidak menyebut nama Gerard Pique, pemain yang menghabiskan masa bertahun-tahun bersama beliau sejak dari era mereka di La Masia lagi.

“Saya kerap bercakap dengan Sergio (Kun Aguero), yang mana dia bukan rakan sepasukan tapi sahabat saya.”

Messi kemudiannya menambah lagi.

“Dan saya juga ada bercakap dengan Busi (Sergio Busquets), dan Jordi Alba.”

Hubungan Messi dan Pique semakin retak

Hubungan baik antara Lionel Messi bersama bekas rakan sepasukannya, Gerard Pique pada ketika ini dilaporkan sedang hampir untuk musnah.

Forbes baru-baru ini mencetuskan sensasi di internet selepas membuat headline panas:

“Pendedahan: Lionel Messi tahu siapa bekas rakan sepasukannya di FC Barcelona yang mengkhianatinya sebelum beliau sertai PSG”.

Mereka mengeluarkan kenyataan itu selepas director kepada media penerbitan Sepanyol, SPORT, Lluis Mascaro mendedahkan maklumat tentang kedua-dua pemain itu pada minggu ini.

Bercakap kepada Radioeatasio Noche, Mascaro menyatakan bahawa:

“Messi tahu yang Pique beritahu Joan Laporta yang andai Messi meninggalkan kelab, tiada yang buruk bakal berlaku.”

Jawapan dari Messi itu seolah-olah menambah lagi spekulasi dari para peminat yang percaya beliau kini sudah tidak bersahabat lagi dengan Pique.

Agak mendukacitakan juga untuk melihat kedua-dua mereka menjadi tidak akrab seperti ini kerana Messi dan Pique merupakan tulang belakang Barcelona sebalik kejayaan mereka sejak beberapa tahun sebelum ini.

Mereka boleh dianggap sahabat susah senang bersama dan andai hal seperti ini merosakkan hubungan mereka, semoga saja kedua-dua mereka mampu menyelesaikan masalah tersebut.

BACA:  Bodyguard Puji Sikap Messi Seperti Arsenal