Mo Salah Tandatangan Kontrak Jangka Panjang Baru Bersama Liverpool

Pemain antarabangsa Egypt, Mohamed Salah menandatangani kontrak jangka panjang yang baru untuk terus kekal bersama Liverpool.

Liverpool memperbaharui kontrak Salah walaupun pemain tersebut baru sahaja berpindah dari AS Roma musim panas tahun lepas.

Kontrak jangka panjang selama 5 tahun itu akan menyaksikan Salah kekal sehingga 2023 dan bakal menerima gaji tahunan £10m juta setahun.

Salah menerima ganjaran lantaran prestasi cemerlang beliau musim lepas dimana beliau berjaya menjaringkan 44 gol dari 52 penampilan disamping memenangi beberapa anugerah individu.

Pemain berusia 26 tahun ini berjaya merangkul anugerah Kasut Emas selepas menjaringkan 32 gol dalam Liga Perdana Inggeris.

Jumlah tersebut merupakan catatan tertinggi pernah direkodkan dalam satu musim sepanjang sejarah penganjuran Liga Perdana Inggeris.

Selain itu, Salah juga menggondol beberapa anugerah individu seperti ‘PFA Player of the Year’ dan ‘Football Writer’s Player of the Year’.

Penjaring terbanyak EPL musim lalu dengan 32 gol, tetapi gagal membantu Egypt melepasi peringkat kumpulan di Russia

Dengan bantuan Salah, Liverpool berjaya melangkah sehingga ke peringkat akhir dalam saingan Liga Juara -Juara Eropah musim lepas, sebelum dikecewakan Real Madrid.

Liverpool juga berjaya menduduki kedudukan ke-4 dalam liga sekaligus mengesahkan tempat mereka dalam Liga Juara-Juara musim hadapan.

Berikutan prestasi luar biasa yang dipamerkan bekas pemain Chelsea dan Basel ini, spekulasi mula timbul mengatakan beberapa kelab besar mula memasang niat untuk memancing Salah.

Antara kelab yang hangat dikaitkan dengan Salah adalah Real Madrid yang dilaporkan sanggup memecahkan rekod dunia untuk membawa pemain tersebut ke Santiago Bernabeu.

Detik paling bawah buat Salah selepas mengalami kecederaan pada separuh masa pertama perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid

Melihat kepada situasi tersebut, Liverpool telah bertindak pantas dengan menawarkan kontrak lebih lumayan kepada Salah bagi mengelakkan Salah mengikut jejak langkah Luis Suarez dan Coutinho berhijrah ke Sepanyol.

Menerusi laman web rasmi Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan Salah telah menerima tawaran lanjutan kontrak daripada pihak kelab tetapi tidak mendedahkan berapa lama kontrak tersebut.

“Saya rasa anda boleh nilai sendiri berita ini – kami memberi ganjaran kepada pemain yang telah banyak berjasa kepada pasukan ini dan seluruh kelab musim lepas.”

“Berita ini telah membuktikan dua perkara – pertamanya adalah kepercayaan Salah terhadap Liverpool dan kepercayaan Liverpool terhadap beliau.”

“Kami mahu melihat bakat berkelas dunia menjadikan Anfield sebagai rumah mereka, dimana mereka mampu memenuhi impian dan cita-cita sebagai seorang pemain. Kami sedang bekerja keras untuk memastikan ia berlaku pada masa hadapan.”

Salah yakin dengan Liverpool, dan Liverpool yakin dengan Salah. Sama-sama yakin ‘Next Year Is Our Year’

“Apabila pemain seperti Salah menandatangani kontrak baru dan berkata Anfield adalah rumah beliau, ia telah mengesahkan apa yang terbuku dalam fikiran saya selama ini.”

“Perkara utama yang perlu diingat daripada Salah adalah beliau tidak pernah melihat dirinya lebih penting daripada pasukan atau sesiapa sahaja dalam pasukan ini.”

“Beliau mengiktiraf rakan sepasukannya dan kelab ini dalam membantu beliau meraih anugerah individu musim lepas.”

“Kami mahu menjadi pasukan yang berjaya dana memenangi lebih banyak trofi pada masa hadapan. Seperti yang peminat sering nyanyikan, ‘kami tidak akan sekali-kali berhenti’.”

BACA:  Penyokong Liverpool Bengang Gambar Adrian Dimuralkan Bersama Legenda Kelab