Mohamed Salah Setuju Kekal Di Anfield Hingga Akhir Kariernya

Bintang handalan Liverpool, Mohamed Salah dilaporkan sudah bersetuju untuk menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Apa yang menariknya lagi, selepas menandatangani kontrak baru beliau berkemungkinan akan kekal bersama kelab sehingga penghujung kariernya.

Salah sebelum ini beberapa kali menolak tawaran kontrak baru dari kelab dan jelas sekali antara masalah utama adalah melibatkan soal gaji.

Tawaran pertama dari Liverpool adalah bernilai £350,000 seminggu, namun Mohamed Salah menolak tawaran tersebut kerana merasakan beliau layak menerima gaji yang lebih tinggi.

Melihat persembahan mantap dan memikirkan tentang sumbangan beliau, pihak kelab kemudiannya menawarkan kontrak baru bernilai £400,000 seminggu kepada bintang Mesir itu.

Salah sekali lagi menolak tawaran dari Liverpool dan kali ini beliau mendedahkan kepada kelab yang beliau mahu meminta gaji bernilai £500,000 seminggu.

Jelas sekali beliau mahu menuntut gaji yang sama seperti Cristiano Ronaldo, seterusnya menjadi penerima gaji tertinggi dalam saingan Premier League.

Demi menjaga struktur pembayaran gaji dan keharmonian di bilik persalinan, pihak kelab tidak berani untuk menerima permintaan £500,000 seminggu dari Mo Salah itu.

Salah kemudian menekan pihak kelab dengan mengeluarkan kenyataan yang beliau menyerahkan segalanya berkait masa depannya kepada pimpinan kelab.

Beliau ketika itu tampil mendedahkan yang beliau mahu kekal di Anfield sehingga akhir kariernya, namun keputusan di tangan Liverpool sendiri.

Para penyokong kemudian menggesa pimpinan kelab supaya memenuhi sahaja permintaan Mo Salah kerana beliau layak untuk menerima gaji yang tinggi.

Pihak kelab kemudiannya berhenti seketika membincangkan hal kontrak dan sepertinya mereka sudah akur bakal kehilangan Mo Salah.

Terbaru, menurut sumber laporan dari The Mirror, Mohamed Salah telah bersetuju untuk tandatangani kontrak baru bersama Liverpool dan akan kekal di Anfield hingga akhir kariernya.

Tidak pasti berapa nilai yang beliau terima, namun Salah dikatakan meminta kontrak lebih panjang berbanding sebelum ini.

Beliau dikatakan menerima gaji yang lebih rendah dari apa yang beliau harapkan sebelum ini, namun sebagai ganti beliau mahu tambahan satu tahun dari perjanjian asal.

Ini bermaksud Mohamed Salah akan menandatangani kontrak selama empat tahun dan berkemungkinan beliau akan kekal bersama kelab sehingga akhir kariernya.

Win-win situation untuk kedua-dua pihak, Liverpool tak perlu ikut kadar gaji seperti yang diminta oleh Salah, namun cukup sekadar beri kontrak lebih panjang kepada bintang Mesir itu.

Sepanjang kariernya di Anfield, Salah telah berjaya membantu kelab memenangi gelaran Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League dan terbaru Carabao Cup.

Beliau jelas sekali merupakan nadi utama Liverpool sebalik segala kejayaan tersebut dan pada musim ini, beliau berpotensi untuk membantu Liverpool memenangi gelaran quadruple.

Selepas menjuarai saingan Carabao Cup, Liverpool berpotensi untuk memenangi gelaran FA Cup, Champions League dan Premier League.

The Reds berjaya layak ke peringkat separuh akhir saingan FA Cup, suku akhir saingan Champions League dan mereka kini hanya satu mata sahaja dibelakang Manchester City dalam carta saingan liga.

Jelas sekali Liverpool sangat berpotensi untuk memenangi kesemua pertandingan tersebut dengan Salah diharapkan bakal mampu merealisasikan hal tersebut.

Persembahan beliau pada awal musim sememangnya sungguh luar biasa menakjubkan namun sejak akhir-akhir ini prestasi beliau sedikit merosot.

Mungkin kerana masalah melibatkan kontraknya, dan mungkin selepas masalah ini berjaya diselesaikan, beliau bakal kembali ke tahap persembahan terbaiknya.

Mohamed Salah dan Liverpool sendiri dilaporkan sudah bersetuju dengan tawaran kontrak terbarunya itu dan kini hanya menunggu pengumuman rasmi sahaja dari pihak kelab.

BACA:  Salah Gondol Anugerah Pemain Terbaik Tahunan FWA, Ketepikan Cabaran De Bruyne