Mohamed Salah Sudah Bersetuju Menerima Tawaran Gaji Lumayan Dari Barcelona

Masa depan Mohamed Salah bersama Liverpool sepertinya semakin samar-samar pada ketika ini memandangkan bintang Mesir itu sepertinya bakal mengubah pendirian beliau.

Sebelum bermulanya aksi perlawanan akhir saingan Champions League pada 28 Mei lalu, Mohamed Salah menegaskan yang beliau akan kekal bersama Liverpool pada musim ini walau kontraknya akan tamat musim hadapan.

Bintang Mesir itu berjanji kepada peminat yang beliau akan komited dan terus berikan yang terbaik kepada Liverpool pada musim baharu nanti.

Walau bagaimanapun, terdapat laporan terbaru dari The Daily Mail yang menyatakan bahawa Mohamed Salah sebenarnya sudah bersetuju untuk menyertai Barcelona.

Selepas Barcelona menerima tajaan terbaru dari Spotify bernilai lebih dari £200 juta, gergasi Catalan itu dilaporkan dengan segera menghubungi Mohamed Salah.

Barcelona juga dilaporkan sudah menawarkan tawaran gaji yang sungguh luar biasa lumayan untuk memancing minat Mo Salah untuk ke Nou Camp.

Laporan sama turut mendedahkan yang Salah gembira dengan tawaran gaji dari Barcelona dan kedua-dua belah pihak juga dilaporkan sudah berjaya mendapatkan kata sepakat.

Mohamed Salah tidak menerima tawaran kontrak baru dari Liverpool dek kerana gergasi Premier League itu gagal untuk memenuhi permintaan gajinya yang tinggi.

Demi menjaga keharmonian bilik persalinan, Liverpool jelas sekali tidak akan merosakkan struktur gaji mereka dengan memberikan Salah apa yang beliau mahu.

Ditambah pula dengan persembahan beliau yang semakin merosot sepanjang tahun 2022 ini, sukar sebenarnya untuk Salah meyakinkan Liverpool beliau berhak mendapatkan apa yang beliau mahu.

Barcelona juga sebenarnya masih belum jelas sama ada mereka mampu atau tidak untuk menandatangani Mo Salah pada musim panas ini.

Sepanjang musim ini bintang Mesir itu berjaya menjaringkan 23 gol dan turut mencatatkan 13 assists dari hanya 35 perlawanan dalam saingan Premier League.

Beliau turut memenangi anugerah kasut emas dan playmaker of the season pada musim ini walau beliau gagal untuk memenangi anugerah PFA Player of the Year.

Walau bagaimanapun, kebanyakan dari jaringan dan assists itu berjaya dicatatkan ketika awal musim lalu dan persembahan Salah mula merundum selepas beliau pulang dari pertandingan AFCON.

Barcelona masih berdepan hutang yang banyak dengan hutang mereka mencecah €1.35bn (£1.16bn) pada Ogos tahun lalu.

Gergasi Catalan itu juga dilaporkan bakal menandatangani Robert Lewandowski dari Bayern Munich pada jendela perpindahan musim panas ini.

Oleh yang demikian, sukar sebenarnya untuk mereka mendaftarkan kesemua pemain yang mereka ada andai mereka benar-benar menandatangani Mo Salah musim panas ini.

Liverpool bakal berdepan tamparan hebat andai mereka benar-benar kehilangan Mo Salah kerana mereka juga turut berpotensi kehilangan Sadio Mane pada musim panas ini.

Sadio Mane sendiri sebelum ini telah mendedahkan yang beliau mahu meninggalkan Liverpool dan beliau berkemungkinan akan sertai Bayern Munich pada musim panas ini.

Beliau bahkan turut meminta izin dari Thiago Alcantara untuk tinggal di rumah bintang Sepanyol andai beliau berpindah ke Jerman.

Sadio Mane Minta Izin Untuk Tinggal Di Rumah Thiago Alcantara Di Jerman

Sadio Mane dilaporkan telah meminta izin kepada rakan sepasukannya, Thiago Alcantara untuk berpindah ke rumah bintang Sepanyol itu di Jerman andai beliau melengkapkan perpindahan menyertai Bayern Munich musim panas ini.

​Bintang Kebangsaan Senegal itu pada ketika ini sedang merencana untuk melengkapkan perpindahannya ke Munich dan kedua-dua kelab kini sedang hangat membincangkan tentang hal tersebut.

Pemain berusia 30 tahun itu dikatakan telah bertanya kepada Thiago Alcantara adakah beliau boleh berpindah ke rumah bintang Sepanyol itu di Jerman andai urusan perpindahan tersebut berjaya dimuktamadkan.

Hal itu telah didedahkan sendiri oleh Daily Mail yang menyatakan bahawa Mane mahu berpindah ke rumah Thiago di Jerman andai beliau jadi meninggalkan Anfield penghujung musim ini.

Beliau merasakan lebih mudah untuk tinggal di rumah bekas bintang Bayern itu di Bavaria dan Mane sendiri sudah bercakap dengan Thiago tentang hal tersebut.

Thiago sebelum ini pernah menikmati karier selama tujuh tahun yang menakjubkan bersama Bayern Munich dengan beliau turut cemerlang menjulang tujuh gelaran Bundesliga dan satu gelaran Champions League.

Beliau kemudiannya memutuskan untuk menyertai Liverpool dan rumahnya di Jerman ditinggal kosong kerana beliau kini menetap di England.

Mane sementara itu sedang dalam usahanya mahu meninggalkan kelab dan beliau sepertinya akan memilih Bayern Munich sebagai destinasi pilihannya selepas ini.

Bayern sebenarnya turut sangat berminat mahu mendapatkan pemain kebangsaan Senegal itu dengan mereka turut sudah menghantar bidaan bernilai £21 juta kepada Liverpool untuk Sadio Mane.

Walau bagaimanapun, tawaran mereka telah ditolak mentah-mentah oleh Liverpool, dek kerana gergasi Inggeris itu meletakkan tanda harga bernilai £42.5 juta untuk sesiapa yang mahu mendapatkan Sadio Mane.

Mane kini memiliki baki satu tahun sahaja dalam kontraknya bersama Liverpool, dan ketika sedang bersama skuad kebangsaan Senegal, beliau tampil mendedahkan tentang hasratnya mahu meninggalkan kelab.

“Sama seperti semua orang, saya juga ada media sosial, dan saya nampak semua komen yang ada.”

Jelas Mane.

“Bukan ke antara 60 ke 70 peratus ​​orang Senegal mahu melihat saya meninggalkan Liverpool? Saya akan lakukan apa mereka mahu. Kita akan lihat nanti. Tak perlu terlalu terburu-buru kerana kita akan lihat ini bersama nanti.”

Walau bagaimanapun, Sadio Mane kemudiannya mengeluarkan satu lagi kenyataan selepas itu dengan menganggap yang beliau tidak memaksudkan apa-apa tentang komennya itu.

“Saya bercakap semalam semata-mata bergurau dengan semua dan hal itu bertebaran di merata tempat. Saya rasa kita semua patut berhenti di situ.”

Jelas Mane kepada media.

“Liverpool merupakan kelab yang sangat saya hormati. Para penyokong di sini menerima saya sejak dari hari pertama. Berkait masa depan saya, kita akan lihat.”

Sadio Mane sudah boleh dianggap sebagai legenda Liverpool dengan beliau telah berjaya memenangi segalanya bersama skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Beliau berjaya membantu Liverpool menjuarai saingan Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League, FA Cup dan Carabao Cup.

Boleh dikatakan semuanya yang boleh dimenangi sudah berjaya beliau menangi bersama Liverpool dan kerana itulah beliau berhak untuk dianggap sebagai legenda kelab.

Kehilangan Mane sedikit sebanyak tetap akan memberi impak kepada jentera serangan Liverpool, namun harus diakui skuad The Reds pada ketika ini sudah memiliki ramai pemain berkualiti di bahagian serangan.

Luis Diaz, Diogo Jota, Roberto Firmino dan Mohamed Salah masih boleh diharapkan untuk mengetuai jentera serangan Liverpool dan kehadiran Carvalho juga jelas sekali akan sangat membantu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Penyokong Liverpool Teruja Dengan Aksi Mantap Diaz Ketika Debutnya Bertemu Leicester