Mourinho Didakwa Sedang ‘Hancurkan’ Karier Bolasepak Luke Shaw

Bekas pemain antarabangsa England, Matt Le Tissier berkata Jose Mourinho sedang ‘menghancurkan’ karier bolasepak Luke Shaw dan mengakui Shaw perlu keluar dari Manchester United musim panas ini untuk menyelamatkan kariernya.

Mourinho bertindak mengeluarkan Shaw selepas rehat separuh masa ketika United menang ke atas Brighton 2-0 dalam pusingan suku akhir Piala FA yang berlangsung di Old Trafford hujung minggu lalu.

Perpindahan keluar dari United memang tidak dapat dielakkan lagi

Ketika bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Mourinho mengambil kesempatan itu untuk mengkritik persembahan pasukannya dan menyelar beberapa pemain yang didakwanya bermain dalam ketakutan.

Shaw antara pemain yang teruk dikritik Mourinho kerana gagal bermain dengan baik dalam perlawanan tersebut.

Bekas pemain Southampton yang kini bekerja dengan Skysports, Matt Le Tissier mendakwa Mourinho mungkin masih menyimpan dendam terhadap Shaw kerana memilih untuk menyertai Red Devils dari pasukan Chelsea kendaliannya pada tahun 2014.

Shaw merupakan pemain muda yang sedang meningkat naik ketika itu bersama The Saint dan menyertai Manchester United dengan yuran perpindahan sekitar  £30juta, menjadikan beliau pemain remaja termahal dunia pada masa itu.

Mourinho didakwa tidak pandai menguruskan Shaw

“Saya rasa jika Mourinho masih lagi  berada di Manchester United, Shaw akan keluar musim panas nanti. Saya tiada tahu apa lagi yang mampu diperolehi Shaw berada di bawah Mourinho.”

“Terdapat hubungan yang ganjil di antara Shaw dan Mourinho. Saya tidak faham apa yang Mourinho cuba lakukan ketika ini kerana beliau dilihat sedang menghancurkan karier pemain tersebut.”

“Saya tidak pasti sama ada ianya berkait dengan keputusan Shaw memilih untuk menyertai United berbanding Chelsea pada masa lepas walaupun Shaw adalah seorang peminat Chelsea.”

“Anda juga tidak tahu apa yang berlaku di padang latihan atau bagaimana pemain tersebut menjalani kehidupan hariannya untuk membuat penilaian yang tepat terhadap Shaw. Ada juga pemain yang mampu bertahan dengan layanan Mourinho terhadap pemainnya, tetapi Shaw bukan tergolong dalam kategori tersebut.”

Pochettino merupakan pengurus yang berjaya mendapatkan yang terbaik daripada Shaw

Le Tissier kini bertindak sebagai penganalisa bolasepak untuk rancangan ‘Soccer Saturday’. Beliau mengakui terdapat keraguan terhadap karakter yang dimiliki Shaw sejak pemain tersebut berada di Southampton lagi dan mendakwa prestasi Shaw bukan lagi seperti sedia kala selepas mengalami patah kaki pada tahun 2015.

“Saya ingat lagi beliau sering dikeluarkan ketika bermain untuk Southampton. Terdapat tanda yang beliau tidak dapat bertahan dengan terjahan-terjahan sepanjang perlawanan dan dianggap seorang pemain yang lembut.”

“Kecederaan adalah perkara besar buat Shaw dan beliau dilihat mempunyai mental yang agak rapuh. Tetapi sebagai seorang pengurus, anda harus mencari jalan untuk mendapatkan yang terbaik daripada Shaw. Saya tidak rasa Mourinho berjaya melakukan perkara tersebut.”

BACA:  Mourinho Titipkan Nasihat Buat Ancelotti - "Orang Gila Seperti Saya Saja Yang Tinggalkan Real Madrid"