Mourinho Kotakan Janji Untuk Hadiahkan Wonderkid Roma Kasut Mahal Kerana Jaringkan Gol

Jose Mourinho mengotakan janjinya untuk menghadiahkan Felix Afena-Gyan sepasang kasut berharga €800 selepas wonderkid Roma itu meledak dua gol ketika beraksi bertemu Genoa semalam.

Felix Afena-Gyan muncul sebagai wira AS Roma ketika bertemu Genoa dalam aksi saingan Serie A awal pagi semalam, selepas dua gol jaringan beliau bantu skuadnya catat kemenangan 2-0 di halaman lawan.

Pemain berusia 18 tahun itu mencuri perhatian ramai selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan yang dilangsungkan di Luigi Ferraris itu.

Beliau dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-74 permainan, dan berjaya meledak gol pertama Roma 8 minit selepas beraksi di atas padang.

Ketika perlawanan sudah masuk ke masa kecederaan, Felix Afena-Gyan sekali lagi berjaya merobek gawang gol lawan untuk memastikan kemenangan 2-0 menjadi milik Roma.

Beliau meraikan gol pertamanya dengan berlari terus ke arah tempat duduk pemain simpanan Roma, untuk mengingatkan Jose Mourinho tentang janji yang dipersetujui oleh kedua-dua mereka.

Afena-Gyan segera berlari ke arah tempat duduk pemain simpanan dengan para pemain Roma turut kerumun mengucapkan tahniah kepadanya.

Namun pada masa yang sama juga, Afena-Gyan sempat berbisik kepada Mourinho supaya tidak lupa janji beliau, dengan pengurus dari Portugal itu kemudian menyatakan yang janji itu sentiasa ada di fikiran beliau.

Bercakap selepas tamat perlawanan tersebut, Jose Mourinho mendedahkan yang beliau sebenarnya pernah berjanji untuk menghadiahkan sepasang kasut mahal kepada Afena-Gyan seandainya wonderkid kelab itu menjaringkan gol.

Disebabkan pemain muda itu berjaya meledak gol, bekas pengurus Chelsea dan Manchester United itu dengan segera mengotakan janji beliau dengan membeli sepasang kasut jenama Balenciaga’s untuk bintang Ghana itu.

Pemain muda itu kemudiannya memuat naik status di laman media sosial miliknya untuk mengucapkan rasa syukur dan gembira kerana menerima hadiah paling beliau mahukan itu dari pengurusnya.

Beliau dalam video itu dilihat membuka hadiah tersebut di hadapan Mourinho dengan reaksinya cukup untuk membuktikan yang beliau benar-benar sedang bahagia.

Kemenangan bertemu Genoa membantu membawa Roma naik ke kedudukan kelima dalam carta saingan Serie A setakat ini.

Berkait janji yang beliau lafazkan kepada Afena-Gyan, Mourinho menjelaskan bahawa:

“Saya sudah berjanji dengan Felix untuk membelikan dia kasut yang dia sangat suka, yang mana ia sangat mahal, harganya €800, jadi lepas dia jaringkan gol dia terus lari ke arah saya dan beritahu saya supaya jangan lupa!.”

“Esok pagi, perkara pertama yang mahu saya lakukan adalah membeli kasut itu untuk dia.”

Mourinho kemudian menambah lagi dengan menyatakan:

“Saya minta maaf kepada Encik De Rossi dan skuad Primavera, tapi Felix akan kekal bersama kami. Primavera memang bekerjasama dengan kami, jadi Felix dan empat ke lima orang pemain lagi akan diserap masuk skuad senior.”

“Apa yang membanggakan saya adalah ketenangan dia di depan gol. Jika dia bukan berada dalam golongan yang ada kualiti teknik yang bagus, dia tentu ada mental yang sangat kuat.”

“Kamu tahu budak-budak sekarang ramai yang rasa diri dia tahu semuanya, tapi dia ni merendah diri dan kamu boleh nampak dia belajar semuanya dari orang sekitar dia. Itu sungguh menakjubkan.”

Roma selepas ini bakal memberi tumpuan mereka untuk aksi dalam saingan Europa Conference League bertemu Zorya Luhansk di Stadio Olimpico pada 26 November nanti.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu berada di kedudukan kedua dalam saingan peringkat kumpulan C, dengan mereka perlu menang ke atas Zorya untuk mencari tempat ke pusingan kalah mati.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Neville: Manchester United Terpaksa Bayar Gaji Mahal Kerana Mereka Tidak Kuat Macam Dulu