Mourinho Pernah Menangis Selepas Tamat Perlawanan Kerana Pasukannya Tewas

Jose Mourinho mendedahkan bahawa kekalahan Real Madrid sehingga tersingkir dari saingan liga Juara-juara pada tahun 2012 adalah satu-satunya kekalahan yang menyebabkan beliau menangis.

Pengurus pasukan Tottenham itu telah melalui karier yang sungguh luar biasa hebat bersama beberapa pasukan handalan dunia.

Antara kejayaan termanis beliau adalah, Mourinho berjaya menghentikan dominasi Barcelona dalam saingan La Liga pada tahun 2012.

Pada tahun 2012, pasukan kendalian Jose Mourinho ketika itu, Real Madrid berjaya memecahkan rekod dominasi Barcelona bawah kendalian Pep Guardiola untuk muncul Juara saingan LA Liga.

Walaupun Real Madrid kelihatan seperti hebat dan berkuasa dipentas Eropah ketika itu, namun mereka gagal untuk mara ke perlawanan akhir Liga Juara-juara musim tersebut.

Los Blancos tersingkir diperingkat separuh akhir saingan liga Juara-juara tahun 2012 kepada Bayern Munich menerusi penentuan sepakan penalti.

Tiga pemain yang menjadi nadi penting skuad Mourinho pada musim itu, Cristiano Ronaldo, Sergio Ramos dan Kaka semuanya gagal untuk menjaringkan gol dalam aksi penentuan sepakan penalti itu.

Hal itu membuatkan bekas pengurus Manchester United itu menjadi begitu sedih dan kecewa.

“Cristiano, Kaka, Sergio Ramos, mereka bertiga adalah raksasa dalam dunia bola sepak, tidak boleh dipertikaikan hal itu. Tetapi mereka juga manusia. Malam itu adalah satu-satunya malam yang saya menangis selepas tamat perlawanan.”

Jelas Mourinho kepada Marca.

“Saya masih ingat dengan sempurna, saya dan Aitor Karanka meletakkan kereta dihadapan rumah saya dan saya menangis. Susah untuk saya terima kekalahan itu kerana musim 2011/12, kami pasukan terbaik di benua Eropah.”

Real berjaya mencapai 100 mata untuk menjuarai saingan La Liga ketika musim itu dan berjaya menjaringkan 121 gol dari 38 perlawanan. Hebat bukan?

Barcelona ketika itu berada ditempat kedua dengan ketinggalan sembilan mata dibelakang Real dan mereka berjaya menjaringkan 114 gol sepanjang musim itu.

Bercakap mengenai gaya ‘rock and roll’ yang digambarkan oleh mereka untuk memenangi gelaran La Liga, Mourinho menjelaskan :

“Ya, saya masih ingat ungkapan itu dengan baik. Kami mempunyai identiti permainan yang sangat jelas. Kami sentiasa bertahan dengan baik dan sistem kami lebih teratur dari yang lain. Paling penting semua pemain tahu apa tugas yang sepatutnya mereka lakukan.”

“Terdapat banyak usaha dari segi disiplin dan pengurusan yang betul disebalik kejayaan pasukan ketika itu. Kami mempunyai pemain yang serasi dan laju ketika menyerang dan matlamat mereka semua sama, menjaringkan gol untuk menang serta bertahan supaya tidak dibolosi.”

“Ramai pemain ketika itu yang benar-benar bermain untuk pasukan.”

Kemenangan Real musim itu memecahkan dominasi Pep Guardiola yang sebelumnya menjuarai saingan La Liga selama tiga musim berturut-turut.

Barca turut memenangi dua gelaran Liga Juara-juara ketika itu. Pada tahun 2012, gergasi Catalan itu cuma membawa pulang satu piala sahaja iaitu Copa Del Rey.

Itu adalah musim terakhir Guardiola bersama Barcelona dan dominasinya berjaya diakhiri oleh Mourinho lalu menyebabkan beliau pergi meninggalkan pasukan dari La Liga itu.

Musim berikutnya Mourinho juga meninggalkan pasukan Real dan beliau berjaya menghadiahkan Los Blancos satu kejuaraan La Liga, satu Copa Del Rey dan satu Super Copa sepanjang kariernya disana.

BACA:  Jose Mourinho Melayan Kunjungan Conor McGregor Ke Bumi Itali