Persatuan bola sepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat rasmi kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) selepas mutu pengadilan yang amat buruk telah ditunjukkan oleh pengadil perlawanan Vietnam vs Malaysia.
Pengadil perlawanan antara Vietnam menentang Malaysia di saingan Piala AFF 2022 itu adalah Ryuji Sato dari Jepun yang membuat pertimbangan yang salah.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Hj Rahman telah membuat kenyataan rasmi di media sosial FAM:
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah menghantar surat rasmi kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) berhubung mutu pengadilan ketika perlawanan Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Vietnam lwn Malaysia di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa, 27 Disember 2022.”
“Tindakan tersebut dibuat selepas Sekretariat Agung FAM mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram yang telah berbincang dan meneliti klip video beberapa insiden di sepanjang perlawanan tersebut.”
“Susulan itu, surat rasmi yang menyatakan ketidakpuasan hati FAM terhadap tindakan dan keputusan pengadil pada perlawanan berkenaan telah pun dihantar ke Setiausaha Agung AFF, Winston Lee pada petang tadi bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh badan induk bola sepak Asia Tenggara itu.”
Kontroversi telah tercetus apabila pengadil dari Jepun, Ryuji Sato telah apabila memberi sepakan penalti kepada Vietnam selepas Muhammad Azam Azmi Murad jelas ditolak Doan Van Hau.
Tidak lama berselang Ryuji Sato menambah kebingunan ramai apabila melayangkan kad merah pula kepada Muhammad Azam Azmi Murad.
Tanpa ulang tayang yang jelas lantaran kualiti live yang teruk menyukarkan situasi. Menurut Zainal Abidin Rawop Azam Azmi Murad telah memijak Doan Van Hau dan insiden terjadi diluar kawasan permainan.
Selepas beberapa minit barulah keluar ulang tayang jelas dilihat Azam Azmi Murad telah ditolak oleh Doan Van Hau dan kemudian memberi reaksi balas yang telah menjelaskan kenapa kad merah namun sepakan penalti terus menjadi misteri.
Undang-undang Permainan (Law of the Game) dari IFAB menyatakan bahawa:
“Sepakan penalti diberikan jika pemain melakukan kesalahan yang dihukum dengan sepakan percuma terus di dalam kawasan penaltinya atau di luar padang sebagai sebahagian daripada permainan seperti yang digariskan dalam dalam Undang-Undang 12 dan 13. Gol boleh dijaringkan secara terus dari sepakan penalti”
Undang-undang ini telah memberi penjelasan yang tepat kenapa penalti diberikan kepada Vietnam kerana kekasaran yang dilakukan Muhammad Azam Azmi Murad berhampiran kotak penalti.
Perkara ini telah diakui oleh bekas pengadil FIFA Subkhiddin Mohd Salleh yang mengulas insiden tersebut kepada Astro Arena, Subkhiddin menilai insiden tersebut melalui dua fasa.
Pertama adalah tindakan Van Hau menolak Azam Azmi sehingga menyebabkan pemain itu terjatuh. Kedua, adalah tindak balas pemain pertahanan negara terhadap Van Hau.
“Ketika Azam Azmi bertindak balas, bola masih dalam permainan. Maka pengadil boleh memberikan sepakan penalti kepada Vietnam berdasarkan peraturan.”
“Tetapi pada pendapat saya, perkara pertama yang perlu diambil perhatian adalah kekasaran Van Hau terhadap pemain lawan, kemudiann baharulah tindak balas oleh Azam Azmi.”
“Kerana itu perlawanan sepatutnya disambung dengan sepakan percuma kepada Malaysia dan bukannya sepakan penalti kepada Vietnam kerana Van Hau yang menolak Azam Azmi terlebih dahulu.”
“Pemain pertahanan negara memang tidak patut bertindak balas, tetapi pada masa yang sama pengadil perlawanan, Ryuji Sati seolah-olah membiarkan sahaja kekasaran awal oleh Van Hau,” jelas Subkhiddin.
Jelas disini bahawa pengadil telah melakukan kesilapan dalam pengadilannya apabila mengabaikan tolakan yang jelas dari Doan Van Hau ke atas Muhammad Azam Azmi Murad.
Kad merah mungkin layak diberi kepada Azam Azmi jika benar dia memberi reaksi balas namun Malaysia sepatutnya mendapat sepakan percuma.
Kesilapan oleh Ryuji Sato sepatutnya tidak boleh berlaku kerana beliau adalah seorang pengadil FIFA yang cukup berpengalaman.
Ryuji mulai bergelar pengadil FIFA pada 2009 dan berpengalaman mengendalikan perlawanan di kejohanan-kejohanan besar seperti Piala Asia, Piala Dunia B-20, Piala Arab FIFA dan perlawanan-perlawanan persahabatan antarabangsa di seluruh dunia.
Kemudian telah muncul satu video yang menunjukkan dan menjadi bukti Azam Azmi tidak melakukan kekasaran ke atas Van Hau dan hanya cuba bangun ketika Van Hau cuba memegang kakinya yang sepanjang perlawanan melakukan provokasi.
Bukti baru ini pastinya tidak akan dapat mengubah keputusan perlawanan namun boleh digunakan untuk membatalkan kad merah ke atas Azam Azmi Murad dan boleh beraksi menentang Singapura.