Newcastle United Mahu Sailang Asensio Dari Sertai Liverpool Pada Musim Panas Ini

Newcastle United sepertinya tidak begitu aktif pada jendela perpindahan musim panas ini walaupun mereka dianggap sebagai kelab paling kaya dalam dunia bola sepak.

Walau bagaimanapun, The Magpies pada ketika ini sepertinya sedang dalam usaha mereka untuk sailang Marco Asensio dari menyertai Liverpool pada jendela perpindahan musim panas ini.

Menurut sumber laporan dari Sport, Newcastle berpotensi untuk menandatangani Marco Asensio dari Real Madrid dengan yuran perpindahan bernilai £21 juta.

Asensio dilaporkan sangat terdesak mahu meninggalkan Real Madrid kerana beliau mahu mencari minit permainan yang mencukupi.

Beliau bahkan turut menolak untuk menandatangani kontrak baru bersama kelab, dan tidak mahu kekal bersama Real Madrid pada musim baharu nanti.

Kontrak asal beliau bersama Real Madrid akan tamat pada musim panas akan datang, jadi andai ada mana-mana kelab yang berminat, Real Madrid sudah tentu akan melepaskan pemain mereka itu.

Real Madrid jelas sekali akan mencari jalan terbaik untuk mendapatkan dana tambahan dan dengan menjual Asensio maka mereka dengan mudah akan mampu dapatkan dana yang dicari.

Asensio sebenarnya sudah enam tahun bersama dengan Real Madrid, namun hanya satu musim sahaja beliau dapat beraksi lebih 20 kali sebagai kesebelasan utama dalam saingan La Liga.

Beliau mahu mendapatkan peranan lebih penting untuk kelabnya dan kerana itulah beliau memilih untuk menolak menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Newcastle United mungkin boleh menjadi destinasi terbaik untuk beliau lebih dihargai dan dianggap sebagai nadi utama kelab.

Dalam erti kata lain, hanya Newcastle sahaja yang akan mampu memberikan segala yang Asensio mahu untuk meneruskan kariernya.

Bersama Liverpool, beliau sepertinya akan lalui apa yang beliau lalui di Santiago Bernabeu dan Asensio sepertinya sukar mendapatkan peranan besar di Anfield.

Beliau mungkin akan sangat sukar untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama dan tiada perubahan seperti apa beliau lalui bersama Real Madrid.

Begitu juga bersama Arsenal, dengan Asensio belum tentu akan dapat jaminan beraksi dalam kesebelasan utama skuad kendalian Mikel Arteta itu.

Kedatangan beliau ke bumi Emirates atau ke Anfield berkemungkinan hanya sebagai pemain back up sahaja dan hal itu mungkin tidak berlaku di St James Park.

Bukanlah kerana The Magpies tidak mempunyai pemain penyerang berkualiti, namun melihat kepada potensi yang beliau ada, tak mustahil beliau dengan mudah akan masuk ke skuad utama Newcastle musim hadapan.

Pemain seperti Allan Saint Maximin, Joelinton, Ryan Fraser dan Miguel Almiron telah menikmati musim yang sungguh menakjubkan pada musim lalu di bawah kendalian Eddie Howe.

Namun penambahan Asensio jelas sekali akan menambah kekuatan skuad Newcastle United bagi menghadapi saingan musim baharu nanti.

Oleh yang demikian, Marco Asensio pada ketika ini berpeluang untuk membuat keputusan terbaik dalam kariernya.

Beliau boleh memilih untuk menyertai Newcastle United dan menjadi pemain utama mereka walau mereka bukanlah kelab gergasi dalam dunia bola sepak hari ini.

Asensio juga boleh memilih untuk menyertai Liverpool, kelab besar yang digeruni dan beraksi di pentas tertinggi bola sepak Eropah, tapi sukar untuk beliau berada dalam kesebelasan utama.

Pilihan di tangan beliau, dan Asensio berhak untuk menentukan masa depan beliau sendiri selepas ini.

Beliau boleh memilih untuk menjaga reputasi bermain bersama kelab gergasi, atau tidak peduli tentang hal itu dan mengejar kelab yang boleh menawarkan minit permainan yang mencukupi kepadanya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Carragher Dedah Punca Mengapa Beliau Tak Pernah Menang Premier League