Nice Hentam Penyokong Sendiri Yang Menghina Mendiang Emiliano Sala

Kelab dari saingan Ligue 1, OGC Nice dan pengurus mereka, Christophe Galtier secara terbuka menghentam teruk para penyokong mereka yang telah melakukan tindakan tidak bertamadun baru-baru ini.

Pemimpin kelab merasakan tindakan penyokong mereka chanting lagu tentang mendiang Emiliano Sala merupakan hal yang sama sekali tidak boleh diterima.

Para penyokong Nice dilaporkan telah menyanyikan lagu berunsur hinaan terhadap mendiang Sala ketika aksi pertemuan antara mereka bertemu Saint-Etienne.

Pemain penyerang berusia 28 tahun itu meninggal dunia selepas terlibat dengan nahas pesawat pada Januari 2019 ketika beliau dalam perjalanan dari Nantes menuju ke Cardiff.

Mendiang pada ketika itu mahu melengkapkan urusan perpindahannya menyertai kelab Championship itu dengan yuran perpindahan bernilai £15 juta.

Tiga tahun berlalu dan selepas Nice tewas dalam aksi perlawanan akhir French Cup di tangan Nantes pada hujung minggu lalu, para penyokong mereka memutuskan untuk melakukan hal yang tidak bertamadun ketika aksi bertemu Saint-Etienne.

Terdapat banyak laporan yang menyatakan bahawa penyokong Nice menyanyikan lagu menganjing mendiang ketika skuad kendalian Christophe Galtier itu turun bertemu Saint-Etienne.

Para penyokong bekas kelab Sala, Nantes dan Bordeaux kebiasaannya akan memberikan penghormatan kepada mendiang dengan beri tepukan selama satu minit kepada mendiang bersempena nombor jersinya.

Selain memberikan tepukan gemuruh para penyokong juga turut menyanyikan lagu yang memuji mendiang.

“Dia orang Argentina, dia tak pernah menyerah, Emiliano Sala.”

Walau bagaimanapun, pada malam kemarin, penyokong Nice tampil melakukan hal tak bertamadun dengan mereka chanting lagu yang berunsur hinaan terhadap mendiang.

“Dia orang Argentina yang tak pandai berenang, Emiliano berada di dasar air.”

Itu adalah lirik yang dinyanyikan oleh para penyokong Nice ketika mereka bertemu Saint-Etienne kemarin.

Selepas wisel penamat dibunyikan, pengurus Nice, Christophe Galtier tampil menghentam sikap para penyokong Nice dan beliau sekeras-kerasnya menentang chanting tersebut.

“Saya tak ada kata-kata mahu membayangkan apa yang saya dengar.”

“Antara reaksi pertama di bilik persalinan bukanlah sorakan atau tangisan kegembiraan, atau kelegaan (selepas menang 4-2). Kami bercakap tentang apa yang pemain semua dengar.”

“Demi semua pemain di bilik persalinan, pegawai teknikal saya dan pegawai medikal saya, kami merendah diri mahu meminta maaf kepada keluarga Emiliano Sala dan kepada Nantes.”

“Kamu dengar macam-macam hal di stadium, tapi mereka semua ini, dan bukan hanya ada dua ke tiga orang sahaja, sepatutnya kalau mereka tak gembira mereka boleh datang ke padang latihan, dan saya akan katakan benda yang sama kepada mereka.”

“Kita selalu katakan itu tentang apa yang kita lihat di stadium, ia sebenarnya cerminan sikap masyarakat. Jika itu adalah masyarakat kita, maka kita sebenarnya sangat sampah.”

“Ia keterlaluan bagi saya. Saya tak ada kata-kata. Mereka perlu kekal di rumah. Kamu tak sepatutnya dengar hal macam itu di stadium. Jika mereka datang untuk menghina si mati, maka lebih baik mereka duduk di rumah.”

OGC Nice sendiri kemudiannya telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa:

“Nice menghentam sekeras-kerasnya tentang chanting berkait Emiliano Sala yang didengari di Allianz Riviera petang Rabu lalu.”

“Pihak kelab tidak mengiktiraf kesemua mereka berbaju merah dan hitam atas tindakan mereka itu dan provokasi itu dilakukan oleh golongan minoriti dari mereka.”

“OGC Nice memberi sokongan penuh kepada keluarga dan sahabat mendiang Emiliano Sala.”

Para penyokong seluruh dunia turut menghentam tindakan penyokong Nice itu dan menganggap mereka sudah keterlaluan.

Menganjing orang yang sudah meninggal dunia bukanlah satu hal yang sepatutnya dilakukan dan tindakan mereka sebenarnya sekadar mencemarkan keindahan dunia bola sepak.

Sumber: SPORTbible

BACA:  UEFA Sahkan Ligue 1 Perancis Jatuh Status, Bukan Lagi Liga Bola Sepak Utama Eropah