Jurulatih PSG Ditahan Polis Kerana Kenyataan Hina Islam Dan Pemain Berkulit Hitam

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier telah ditahan pihak polis selepas dakwaan melakukan diskriminasi dan kenyataan berbaur perkauman yang berbentik penghinaan ketika masih bergelar pengendali Nice.

Pengurus berusia 56 tahun itu yang dijangka akan meninggalkan PSG pada musim panas ini pernah bergelar pengurus Nice selama 12 sebelum berhijrah ke Parc des Princess pada tahun lalu.

Menurut laporan siaran televisyen RMC Sport Galtier dan anak angkatnya John Valovic-Galtier yang turut bertindak sebagai penasihat pengurus itu ditahan polis sekitar 8:45 pagi (waktu Perancis) untuk soal sisatat.

Kedua-duanya ditahan atas tuduhan bersikap perkauman ketika di Nice.

Penahanan kedua-duanya hanya boleh dilakukan selama 24 jam, melainkan pihak penyiasat berpendapat ada kes yang kukuh untuk diheret ke mahkamah.

L’Equipe melaporkan kedua-duanya didakwa melakukan kenyataan berbaur perkauman oleh bekas Pengarah Sukan Nice, Julien Fournier.

Kenyataan oleh Galtier disifatkan sebagai kelakuan diskriminasi, berbaur perkauman dan Islamaphobic.

Perkara itu sebenarnya sudah pun bermula pada tahun lalu menyebabkan beberapa pemain dan jurulatih Nice, selain presiden kelab, Jean-Pierre Rivere dan pembantu pengurus skuad simpanan, Didier Digard telah dipanggil polis untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun sepanjang tempoh itu, Galtier menafikan setiap tuduhan yang ditujukan kepadanya.

Pada April lalu satu email daripada Galtier terbocor dan didedahkan oleh wartawan Perancis, Romain Molina.

Dalam email tersebut, Galtier mengkritik pengurusan Nice yang membina pasukan terdiri daripada ramai pemain berkulit hitam dan beragama Islam.

Satu lagi laporan daripada media Perancis mendakwa Galtier tidak membenarkan pemain beragama Islam untuk berpuasa dan beribadah sepanjang Ramadan – ketika pasukan itu merekodkan lima kemenangan berturut-turut.

Galtier dijangka akan meninggalkan posisinya bersama PSG dalam tempoh terdekat, dan tempat beliau bakal diisi oleh bekas pengurus Barcelona dan Sepanyol,  Luis Enrique.

BACA:  Neymar Hantar Peguam Dan Dana Bantu Dani Alves Keluar Penjara