Nike Pertimbang Tinggalkan Penajaan RM3 Billion Bersama Chelsea

Selepas jenama 3 menggantung penajaan £40 juta setahun bersama Chelsea, pembuat jersi, Nike, pula dikatakan sedang mempertimbangkan dengan serius untuk meninggalkan pasukan ibu kota England tersebut, sekaligus menamatkan penajaan 15 tahun bersama pasukan tersebut.

Tindakan ini diambil selepas pemilik Chelsea, Encik Roman Abramovich, telah dikenakan sekatan oleh kerajaan UK dan segala harta bendanya dibekukan oleh kerajaan negara yang pernah menjajah hampir satu dunia pada suatu ketika dahulu tersebut.

Walaubagaimanapun, Chelsea terselamat daripada pembekuan tersebut kerana mempunyai lesen khas kerajaan. Pun begitu, Chelsea tidak dapat menjana pendapat menerusi jualan cenderamata pasukan seperti jersi dan key chain, serta tidak dibenarkan untuk menjual tiket pada hari perlawanan selain hanya membenarkan penyokong yang sudah membeli pas semusim untuk hadir ke dalam stadium.

Selain itu, Chelsea juga dilarang untuk meberikan kontrak baru kepada para staf pasukan, termasuklah para pemain dan ini bermaksud kapten Cesar Azpilicueta, Antonio Rudiger dan Andreas Christensen akan tamat kontrak mereka pada musim panas nanti.

Christensen dijangka akan menyertai pasukan Barcelona selaku ejen bebas dan telah mengambil keputusan tersebut sebelum sekatan yang dikenakan kepada Encik Abramovich pada hari Khamis lalu.

Sebelum ini jenama 3 yang terpampang di bahagian perut di jersi pemain pasukan telah sah ingin membuang logo jenama mereka di jersi dan di dalam stadium pasukan dan kini Nike pula bercadang untuk tamatkan perjanjian penajaan bersama kelab yang baru sahaja mendonia menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA tersebut.

Perjanjian yang mula dimeterai pada tahun 2017 dengan nilai £900 juta tersebut, hanya akan tamat pada tahun 2032. Jika Nike menghentikan penajaan pada tahun yang penuh pancaroba ini, Chelsea bakal kehilangan £540 juta!

Selain itu, Hyundai juga turut sedang dalam proses pertimbangan untuk menghentikan tajaan mereka terhadap Chelsea.

Dalam bahasa mudah, Chelsea kini boleh dikatakan bagaikan sirih naik, junjungan patah – selepas berjaya muncul juara dunia tempoh hari.

Kalau dikiaskan dalam senario kampung, Chelsea adalah umpama anak yang dipulau oleh orang ramai kerana ayahnya yang dibenci oleh pembesar kampung.

Begitulah lebih kurang.

Meskipun berdepan masalah di luar padang, Chelsea masih kekal fokus di atas padang di mana mereka berjaya menewaskan pasukan di zon penyingkirang, Norwich City tiga gol berbalas satu dalam perlawanan pada hari Khamis.

Dalam perlawanan tersebut, logo 3 masih lagi terpampang di perut pemain Chelsea.

Pemain pertahanan, Trevoh Chalobah membuka jaringan seawal minit ketiga buat pasukan The Blues selepas melakukan tandukan kuisan hasil daripada sepakan penjuru lencong ke tengah kotak penalti Norwich.

Mason Mount menggandakan kedudukan buat Chelsea apabila dia melakukan rembatan padu tepat ke bucu gol lawan dari dalam kotak penalti Norwich, meskipun dicabar oleh dua pemain pertahanan.

Minit ke-69 menyaksikan Norwich berjaya merapatkan kedudukan apabila Teemu Pukki dengan mudah menipu Edouard Mendy menerusi sepakan penalti yang diperoleh selepas Chalobah dengan selambanya menolak bola hantaran dari tepi padang dengan menggunakan lengannya.

Meskipun cuba membantah dan buat muka tidak bersalah, pengadil dengan tegasnya menganugerahkan penalti kepada Norwich dan disempurkan oleh Pukki.

Pada penghujung perlawanan, Kai Havertz memastikan Chelsea pulang ke Stamford Bridge dengan tiga mata apabila dia menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-90.

Jaringan terhasil selepas Jorginho melakukan lorongan kepada Kante yang melakukan larian bijak di celah-celah pemain Norwich dan membawa bola ke sedikit hadapan, sebelum menolak bola kepada Havertz yang tidak dikawal langsung.

Havertz tanpa ragu, terus melakukan sepakan separa placing tepat ke penjuru gol Norwich sekaligus mendekatkan lagi pasukan Kenari tersebut dengan penyingkiran ke Liga Kejuaraan pada musim hadapan.

Sumber : Sportbible

BACA:  Raheem Sterling Bakal Menerima Gaji Tertinggi Selepas Setuju Sertai Chelsea