Raheem Sterling Bakal Menerima Gaji Tertinggi Selepas Setuju Sertai Chelsea

Pemain sayap, Raheem Sterling, kini semakin hampir untuk menyertai Chelsea dari Manchester City dan dia dikhabarkan telah mencapai persetujuan terma dan syarat peribadi yang bakal menyaksikannya menjadi penerima gaji tertinggi di kelab tersebut.

Pengurs The Blues, Thomas Tuchel sememangnya diketahui merupakan peminat tegar Sterling dan pemilik baharu, Toed Boehly dengan begitu pantasnya melakukan kerja-kerja bawah tanah untuk mendapatkan pemain England tersebut.

Perbincangan yuran perpindahan Sterling, yang mempunyai baki setahun kontrak bersama City, masih lagi dalam fasa work in progress dan dikhabarkan bernilai sekitar GBP 45 juta.

Selepas penyerang Romelu Lukaku disahkan dipinjamkan ke Inter Milan, pemain tengah N’Golo Kante kini merupakan penerima gaji tertinggi di kelab London tersebut – sekitar GBP 290,000 seminggu dan khabar angin mengatakan bahawa gaji Sterling akan lebih tinggi daripada nilai tersebut.

Chelsea kini yakin bahawa mereka akan berjaya mendapatkan Sterling sebelum cuti balik kampung Raya Haji nanti dan pemain ini mungkin akan sempat menyertai rakan sepasukan yang baru terbang ke Amerika Syarikat untuk tiga perlawanan pra-musim pada hujung minggu nanti.

Kehadiran Sterling ini bakal menjadi permulaan yang baik buat Boehly dalam usahanya untuk membawa kelab keluar daripada pengaruh dan memori pemilik lama, Roman Abramovich.

City dilaporkan lebih suka kalau Sterling kekal di kelab tersebut tetapi, ada tapi dia, pemain sayap tersebut mahukan cabaran baru selepas kehilangan tempat dalam kesebelasan utama pasukan Pep Guardiola pada musim lalu.

Sterling tidak ditelakkan dalam kesebelasan utama dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA menentang Real Madrid, dan hanya mendapat tempat dalam enam daripada 11 perlawanan terakhir liga yang menyaksikan mereka berjaya menyingkirkan Liverpool ke tangga kedua dengan beza satu mata.

Sumber turut mengatakan bahawa Sterling telah berbincang dengan City pada penghujung musim dan kelab dikhabarkan setuju untuk melepaskan Sterling jika mendapat tawaran yang menawan.

Tambahan pula, dengan baki kontrak selama setahun, City berdepan kemungkinan terlepas pemain ini secara percuma jika tiada kontrak baru dapat dicapai.

Chelsea dikatakan telah berjaya menewaskan Real Madrid dalam perjuangan memenangi hati Sterling dan Thomas Tuchel katanya sudah mempunyai rancangannya sendiri sama ada peranan secara individu ataupun fungsinya di dalam pasukan.

Sejak menyertai City dari Liverpool pada musim 2015, Sterling telah tampil dalam 339 perlawanan dan menjaringkan 131 gol.

Untuk musim depan, Chelsea sedang menambahbaik dan mengubah strategi di bahagian serangan dengan sumber mengatakan bahawa bidaan bernilai GBP 60 juta telah dihantar oleh kelab untuk mendapatkan pemain Leeds United, Raphinha.

Tuchel juga dikhabarkan sangat berminat untuk membawa Robert Lewandowski ke Stamford Bridge, walaupun pemain veteran itu lebih berminat untuk berpindah ke Barcelona.

Sekiranya Lewandowski gagal ditawan, mereka masih mempunyai pilihan iaitu penyerang prolifik Manchester United, Cristiano Ronaldo.

Kapten Portugal itu dikhabarkan berhajat mahu meninggalkan kelab merah Manchester tersebut selepas dia dikatakan kecewa dengan aktiviti United dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Meskipun menamatkan liga dengan mata paling rendah dalam sejarah mereka di Liga Perdana Inggeris, United dilhat masih terkapai-kapai dalam memilih dan membeli pemain sehingga membuatkan Ronaldo berasa marah dan kecewa.

Terbaru, Ronaldo disahkan tidak hadir dalam latihan pra-musim selama tiga hari berturut-turut dan menggunakan keluarga sebagai alasan untuk memonteng latihan.

Jika Ronaldo jadi pergi ke Chelsea, The Blues bakal mendapat seorang penyerang yang upgrade selepas posisi ini dikosongkan oleh Lukaku. Lagi pula, sepanjang 20 tahun bermain bola sepak, Ronaldo tidak pernah menjaringkan gol di Stamford Bridge dan jika dia menyarung jersi Chelsea, pasti hari-hari dia boleh menjaringkan gol di stadium tersebut.

Sumber : ESPN

BACA:  Guardiola: 'Treble' Domestik Lebih Sukar Dari Menangi Liga Juara-Juara Eropah