Nottingham Forest Kembali ke EPL Selepas 23 Tahun!

Nottingham Forest, kelab yang pernah mewarnai bola sepak Inggeris suatu ketika dahulu,telah kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris selepas hilang dari radar selama 23 tahun apabila menewaskan Huddersfield Town dalam perlawanan akhir perlawanan kelayakan Liga Kejuaraan di Stadium Wembley.

Jaringan gol sendiri pertahanan Huddersfield, Levi Colwill, sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada Forest yang kali terakhir beraksi di kancah tertinggi bola sepak di England pada musim 1998-99.

Kejayaan ini juga merupakan kebangkitan yang menakjubkan daripada Fores, yang berada di tangga terbawah Liga Kejuaraan selepas hanya mengutip satu mata daripada tujuh perlawanan ketika Steve Cooper mengambil alih jawatan selaku ketua jurulatih pada bulan September.

Kekalahan ini menandakan berakhirnya rekod kemenangan dalam sembilan perlawanan buat Huddersfield, yang dalam perlawanan ini telah dinafikan dua permintaan penalti pada separuh masa kedua, sekaligus memaksa pasukan ini beraksi di divisyen dua untuk sekurang-kurangnya tempoh semusim lagi.

Forest memulakan perlawanan dengan mendominasi permainan seperti mana Liverpool menguasai Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA dan pada minit ke sebelas, Ryan Yates melakukan tandukan yang hanya sipi-sipi sahaja tersasar daripada tiang gol.

Yates kemudiannya melakukan cubaan yang melepasi palang gol dari luar kotak penalti dalam usaha pasukannya untuk mencari gol pembukaan.

Tidak lama kemudian Sorba Thomas hampir memberikan gol pendahuluan buat Huddersfield tetapi cubaan tepatnya diselamatkan oleh penjaga gol Forest, Brice Samba, sebelum Danny Ward melakukan tandukan liar bola daripada sepakan penjuru.

Sejurus sebelum separuh masa pertama tamat, Forest berjaya mendahului pasukan lawan apabila Colvill secara tidak sengaja tertampan bola yang dihantar secara berbahaya daripada James Garner ke dalam kotak penalti Huddersfield.

Pada separuh masa kedua, Brennan Johnson pula hampir memberikan kelebihan dua gol kepada Forest apabila cubaannya hanya sedikit tersasar dengan penjaga gol Huddersfield, Lee Nichols sudahpun tidak mampu melakukan apa-apa.

Minit ke-73 menyaksikan Huddersfield dinafikan tendangan penalti apabila Harry Toffolo dilihat dijatuhkan oleh Jack Colback dalam kotak penalti. Walaupun Colback dilihat melakukan sedikit sentuhan ke atas Toffolo, pengadil menganggap insiden tersebut adalah lakonan semata-mata dan melayangkan kad kuning kepada pemain Huddersfield tersebut.

Tidak lama kemudian, Huddersfield sekali lagi gagal mendapat sepakan penalti tatkala Lewis O’Brien bergasak dengan Max Lowe, tapi pengagil Jon Moss tetap berdegil mengatakan bahawa itu bukanlah satu kekasaran.

Meskipun Huddersfield cuba melakukan serangan bertali arus untuk mencari gol penyamaan, Forest tetap kebal mengekalkan kedudukan sekaligus mengesahkan kehadiran mereka di kancah liga tersohor di dunia pada musim hadapan.

Kemenangan Forest ini telah menarik perhatian penyokong Manchester United, selepas menyaksikan pemain yang dipinjamkan dari kelab Setan Merah tersebut, James Garner, beraksi dengan begitu cemerlang, bukan sahaja dalam perlawanan akhir ini, malah sepanjang kempen liga bersama pasukan yang pernah menguasai bola sepak Eropah sekitar tahun 1980-an tersebut.

Garner dipinjamkan untuk musim keduanya di kelab ini dan menjadi watak utama dalam menggerakkan enjin pasukan di bahagian tengah padang.

Walaubagaimanapun, masa depan pemain berusia 21 tahun itu masih samar dengan tamatnya kontrak pinjamannya yang kedua ini dan pada masa yang sama, kelab utamanya, United, baru sahaja melantik pengurus baharu – Erik Ten Hag.

Ten Hag semestinya sedang membuat penilaian dan melihat kepada semua pilihan yang dia ada dalam usahanya untuk kembali meletakkan Manchester United di dalam peta bola sepak dunia. Terdapat cakap-cakap orang ramai yang mengatakan bahawa Garner ada dalam perancangan tersebut.

Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan akhir tersebut, Garner mengatakan bahawa dia sudah bersedia untuk memberikan cabaran di pentas tertinggi.

“Memang tujuan kontrak pinjaman adalah untuk membuktikan kepada semua orang apa yang kau boleh buat, jadi lebih baik dan letakkan diri kau di prestasi yang terbaik sebelum kembali ke kelab utama,” ujar Garner yang baru sahaja berusia 21 tahun.

“Aku tak tahu apa yang akan berlaku buat masa ni, tapi aku rasa aku dah berikan peluang yang terbaik untuk dipertimbangkan dan akan lakukan yang terbaik juga.

“Aku datang ke Forest ketika diorang ni berada di kedudukan yang hauk dalam liga, tapi dapat bermain setiap minggu ni memang betul-betul memberikan kebaikan. Sikap daripada kesemua pihak di kelab, staff, penyokong dan semua yang berkait dengan Forest memang membuatkan aku rasa dihargai sejak hari pertama.

“Sebagai seorang pemain, aku dah meningkat banyak. Semua orang cakap yang liga ini mungkin satu daripada yang paling sukar di dunia.

“Kau belajar banyak benda daripada rakan sepasukan yang pernah bermain di Liga Perdana dan mereka memberikan nasihat yang berguna kepada aku. Memang aku bertuah lah dapat peluang ini dan semestinya mempersiapkan diri untuk masa depan.”

Untuk rekod, Garner merekodkan sembilan bantuan gol sepanjang musim di Liga Kejuaraan dan langkah berikutnya dalam karier pemain ini pastinya cuba menempatkan diri dalam pasukan utama di Liga Perdana Inggeris.

Sumber : SB, Mirror

BACA:  Liverpool Berpeluh Untuk Singkirkan Nottingham Forest Dari Saingan FA Cup