Old Trafford Disisihkan Daripada Senarai 10 Stadium Untuk Penganjuran Euro 2028

Old Trafford akan menjadi salah satu daripada senarai stadium yang tidak akan menjadi gelanggang utama penganjuran Kejohanan Euro 2028.

United Kingdom dan Ireland dijangka akan diumumkan sebagai tuan rumah bersama kejohanan tersebut pada 2028 selepas Turki menarik diri daripada membida sebagai tuan rumah.

UK dan Ireland kini sudah tidak mempunyai pesaing untuk penganjuran kejohanan tersebut selepas Jerman dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Euro pada musim panas tahun hadapan.

Turki pada mulanya melakukan bidaan sebelum menarik diri untuk memberikan fokus menjadi tuan rumah bersama Itali untuk kejohanan edisi 2032.

Untuk itu 10 stadium telah dicadangkan untuk menganjurkan kejohanan tersebut merentas Britain, termasuk dua stadium baharu yang belum dimulakan pembinaannya – Stadium Bramley-Moore Dock milik Everton dan Casement Park di Belfast.

Walaupun demikian Old Trafford yang bermegah sebagai stadium kedua terbesar di England selepas Wembley tidak berada di dalam senarai walaupun pada awalnya disenarai pendek dalam 14 stadium untuk penganjuran kejohanan tersebut.

Sebaliknya, Stadium Etihad yang menjadi rumah Manchester City telah dipilih sebagai venue utama di bandar Manchtester.

Etihad kini memiliki kapasiti 53,400 tempat duduk dan akan ditambak kepada 61,000 tempat duduk sebelum kejohanan bermula. Jumlah tersebut masih jauh berbeza berbanding Old Trafford yang mempunyai kapasiti 74,300 tempat duduk.

Manchester United dalam satu kenyataan sebelum ini bersetuju agar Old Trafford digugurkan daripada senarai kerana tidak mampu untuk kepastian jelas berkenaan venue tersebut yang turut berpotensi dibangunkan semula pada masa terdekat.

Selain Etihad dan stadium baharu milik Everton, stadium lain yang turut terpilih adalah seperti Wembley, St James’ Park dan Villa Park – tiga stadium yang turut menganjurkan Euro 1996 – dan Stadium Tottenham Hotspur.

Anfield pula tidak pernah berada di dalam senarai kerana saiz padangnya yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh UEFA.

Stadium lain yang turut terpilih adalah Stadium Principality milik Cardiff, Hampden Park di Glasgow dan Stadium Aviva di Dublin.

Seperti Old Trafford, Stadium London milik West Ham dan Stadium of Light milik Sunderland turut digugurkan.

UEFA dijangka secara rasmi mengumumkan tuan rumah Euro 2028 pada minggu hadapan. Badan bola sepak Eropah itu pada Rabu lalu mengesahkan Turki telah menarik diri.

BACA:  Impian Ratcliffe Jadikan Old Trafford 'Wembley Baharu' Dengan Dana Kerajaan Hampir Mustahil