Seperti Stadium Shah Alam, Siling Konkrit Old Trafford Jatuh Ketika Perlawanan

Penyokong Manchester United yang hadir ke Old Trafford untuk menyaksikan perlawanan baru-baru ini terkejut apabila sebahagian daripada siling konkrit di stadium itu jatuh dan menimpa mereka.

Kejadian dipercayai berlaku ketika skuad wanita Manchester United tewas 3-1 kepada skuad wanita Manchester City.

United mendahului perlawanan tersebut melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Katie Zalem. Namun jaringan daripada Jill Roord, Khadija Shaw dan Laueren Hemp kemudiannya mengecewakan pasukan tuan rumah.

Menambah keperitan kekalahan tersebut kepada penyokong United, sebahagian daripada siling konkrit terjatuh dan menimpa mereka.

Berkongsi perkara itu di X, seirang penyokong berkata: “Jika anda memerlukan bukti bahawa Old Trafford benar-benar sedang dalam proses untuk runtuh, di bahagian Block N2401 siling konkrit mula terjatuh dan menimpa dua penyokong yang menyaksikan perlawanan skuad wanita hari ini… benar-benar memalukan.”

Sebenarnya sudah sejak sekian lama penyokong United mendesak agar pembaharuan dan naik taraf dilakukan terhadap stadium yang pernah menjadi kemegahan bola sepak Inggeris dan digelar sebagai ‘Theatre of Dreams’ itu.

Kejadian tersebut mengingatkan kita mengenai insiden di Stadium Shah Alam beberapa tahun lalu apabila sebahagian daripada bumbung itu terbang dan jatuh ke arah tempat duduk penonton ketika perlawanan membabitkan skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) berdepan pasukan Myanmar B-22.

Manchester United kini sedang dalam proses menerima pelaburan daripada billonaire Britis, Sir Jim Ratcliffe yang merupakan pengasas syarikat petrokimia INEOS.

Ratcliffe sebelum ini dilaporkan mencapai persetujuan dengan keluarga Glazer untuk mendapatkan 25% pegangan saham United, dan bakal diberikan kuasa untuk mengendalikan kelab bola sepak yang mengalami pelbagai masalah di dalam dan luar padang sejak beberapa musim lalu.

Ratcliffe sebelum ini memberikan komitmen untuk melabur sebanyak £245 juta untuk penambahbaikkan infrastruktur di kelab itu dalam usaha memastikan kelab itu mampu memiliki fasiliti setanding yang dimiliki Tottenham dan Manchester City.

£150 juta sehingga £200 juta daripada peruntukan tersebut dijangka akan digunakan untuk memodenkan pusat latihan Carrington milik United.

Ratcliffe turut dilaporkan sedang mengkaji alternatif untuk menaik taraf dan menambah kapasiti di Old Trafford selain menambah kemudahan lain di dalam dan di luar stadium.

Isu bumbung bocor di Old Trafford bukan kali pertama dikongsikan oleh media dan ia sentiasa dijadikan bahan jenaka penyokong lawan yang semakin galak menganggap stadium bersejarah yang menyimpan pelbagai sejarah gemilang United akhirnya akan runtuh.

BACA:  Mourinho Tidak Akan Lantik Pembantu Pengurus Baru Bagi Menggantikan Rui Faria