Old Trafford Uzur Sehingga Bumbung Bocor Buatkan Pembeli Tarik Diri

Jika di Malaysia, Stadium Shah Alam seringkali ditegur kerana bumbungnya yang bocor dan pihak perbadanan stadium masih tidak melakukan tindakan.

Di England, kelab paling merangsang nafsu peminat iaitu Manchester United berhadapan dengan perkara yang sama.

Old Trafford uzur

Stadium Old Trafford adalah tempat yang digelar Teater Impian oleh semua pemain bola sepak. Namun sedihnya, pada hari ini stadium itu tak dijaga sebaiknya dan bumbung pun bocor.

Tular satu video di mana air turun mencurah curah jatuh seperti limpahan coklat ke ladang gandum di stadium ikonik dengan 76,000 tempat duduk itu.

Kejadian itu berlaku pada April lalu, ketika Man United diaibkan jiran mereka yang memiliki stadium cantik, iaitu Man City. Di mana air telah tercurah dari bumbung. Ramai yang bersilat mengelakkannya.

Ianya menjadi markas rasmi Setan Merah dalam mencederakan mangsanya sehingga binasa. Hampir semua pasukan kalau boleh tak mahu bertandang ke Old Trafford kerana ianya satu lawatan yang sia sia.

Malah pasukan yang dianggap paling power oleh peminat mereka sendiri iaitu Liverpool, sekadar seri dalam keadaan semput pulang dari Old Trafford.

Old Trafford merupakan stadium yang sudah lama dibina. Dan ianya diperbesarkan lagi pada era 90-an dan kemudian pada 2000-an pun ada.

Walaupun ia nampak indah dan canggih dari kaca tv, namun sebenarnya Old Trafford menderita kerana tidak dijaga rapi.

Daily Mail melaporkan, keluarga Glazer sedang berbincang dengan potensi pembeli kelab Manchester United yang kini menjadi pasukan yang dibarisi bintang handalah seperti Bruno Fernandes dan bekas pemain sasaran Barcelona, Jesse Lingard.

Malang sekali rundingan itu tergendala buat masa ini, kerana pembeli tersebut kecewa dengan keadaan di Old Trafford. Ia akan menelan kos yang besar untuk dibaikpulih.

Tidak boleh salahkan Ed Woodward, kerana beliau seorang lelaki budiman yang bekerja siang malam mencari penaja sehingga Man United mendapat 50 penaja dalam senarai mereka, termasuk pembuat tandas berteknologi tinggi iaitu Kohler.

Kohler memang pembuat tandas yang diperakui. Banyak menghasilkan tandas moden dengan beberapa fungsi termasuk boleh mendengar MP3 dan teknologi tembakan dari bawah tepat.

Ed Woodward mungkin terlepas pandang isu stadium ini. Dan kita yakin beliau akan terus mencari penaja yang boleh menaja bumbung stadium selepas ini. Mungkin pengeluar zink cap gajah, siapa tahu.

Berdasarkan anggaran, kos membaiki stadium itu memerlukan £200 juta untuk memastikannya kembali cantik dan berseri serta pulih sepenuhnya.

Untuk sebuah pasukan yang diiktiraf ketiga paling kaya di bumi ini, ianya perkara yang memalukan. Kerana jiran-jiran dan musuh domestik mereka memiliki stadium yang cantik dan selamat.

Diharap perkara ini akan diperbaiki, dan Teater Impian itu akan selamanya menjadi Teater Impian semua anak anak kecil yang lahir di dunia ini.

Celik sahaja terus menyematkan Manchester United di dalam diri mereka lalu berzikir GGMU.

BACA:  Old Trafford Disisihkan Daripada Senarai 10 Stadium Untuk Penganjuran Euro 2028