Ole Gunnar Solskjaer Goyang Masalah Kecederaan Ganggu Aksi Bertemu Liverpool

Salah satu perseteruan paling dasyat dalam dunia bola sepak adalah perseteruan antara Liverpool bertemu Manchester United.

Kedua-dua gergasi bola sepak Inggeris itu akan dipertemukan pada malam ini dengan skuad kendalian Jurgen Klopp bakal berkunjung ke Old Trafford untuk aksi dalam saingan Premier League.

Manchester United turun dengan semangat baru selepas kejayaan mereka mencatatkan kemenangan ketika beraksi bertemu Atalanta dalam saingan Champions League minggu lalu.

Walau bagaimanapun, pengurus kelab Ole Gunnar Solskjaer tetap merasa tekanan terhadap perlawanan ini, memandangkan skuadnya gagal untuk mencatatkan sebarang kemenangan dari tiga perlawanan terakhir mereka.

Untuk terus menghidupkan peluang mereka bersaing dalam merebut kejuaraan liga musim ini, Manchester United perlu untuk mendapatkan tiga mata penuh ketika bertemu Liverpool nanti.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu boleh dikatakan sedang berada di rentak persembahan terbaik mereka pada musim ini, dan kini berada di landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan liga.

Mereka juga masih cemerlang mengekalkan rekod tidak terkalahkan sepanjang musim ini, dan ia dianggap sebagai satu pencapaian yang sangat menakjubkan.

Kemenangan bertemu Atletico dalam perlawanan yang cukup sengit pada minggu lalu sepertinya menambah lagi keyakinan anak-anak buah Jurgen Klopp itu untuk turun dalam perlawanan ini.

Ole Gunnar Solskjaer turut menjelaskan yang Bruno Fernandes sepertinya tidak akan diturunkan dalam perlawanan bertemu Liverpool malam ini.

Pengurus Manchester United itu turut menyatakan yang ada dua ke tiga lagi pemain lain yang mungkin tidak akan diturunkan untuk beraksi, dengan Rashford antara nama yang disebut.

Pemain penyerang kebangsaan England itu menderita kecederaan kaki ketika beliau turun beraksi dalam aksi perlawanan bertemu Atalanta minggu lalu.

Sehingga kini, masih belum dapat dipastikan lagi sama ada beliau sudah cergas sepenuhnya atau belum untuk diturunkan beraksi.

Pemain kesayangan peminat, Fred juga dilaporkan belum tentu akan diturunkan dalam perlawanan ini, memandangkan beliau masih belum cergas sepenuhnya.

Anthony Martial juga antara seorang lagi pemain yang mungkin tidak akan diturunkan, selepas beliau turut diketepikan ketika aksi bertemu Leicester City dan Atalanta minggu ini.

Pemain pertahanan United, Raphael Varane jelas akan diketepikan kerana beliau masih lagi bergelut dengan masalah kecederaan.

Sementara untuk Liverpool pula, mereka mendapat berita gembira menjelang perlawanan ini, selepas Curtis Jones disahkan sudah bersedia untuk diturunkan.

Pemain midfield muda Liverpool itu sebelum ini terlepas dua aksi bersama Liverpool ketika bertemu Watford dan Atletico Madrid kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Walau bagaimanapun, selepas beliau disahkan boleh kembali beraksi, Jurgen Klopp dengan segera merancang untuk menurunkan bintang England itu dalam kesebelasan utamanya.

Liverpool hanya kehilangan dua pemain sahaja dalam perlawanan ini dengan Harvey Elliott dan Thiago Alcantara dua pemain yang sudah sememangnya lama berehat, akan terus direhatkan ketika aksi bertemu United malam ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  United Akan Lepaskan Bintang Utama Kelab Selepas Ketibaan Jadon Sancho