Ole Gunnar Solskjaer Percaya De Gea Penjaga Gol Terhebat Dunia

Pengurus pasukan Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tetap dengan pendirian beliau bahawa David de Gea merupakan penjaga gol terhebat di dunia.

De Gea merupakan penjaga gol utama Manchester United dan Sepanyol dan kini sudah berusia 29 tahun. Beliau sejak kebelakangan ini sering dikritik kerana mempamerkan persembahan yang agak teruk.

Baru-baru ini beliau dikecam teruk oleh peminat United dan legenda setan merah, Roy Keane sendiri kerana aksi hambarnya ketika perlawanan bertemu Tottenham Hotspur Jumaat lalu.

Keane berada dalam studio ketika rehat babak pertama perlawanan antara Manchester United menentang Tottenham Hotspur dan beliau tidak mampu mengawal kemarahannya melihat aksi De Gea.

Legenda United itu mendakwa bahawa beliau terlalu bengang melihat aksi hambar De Gea dan menganggap bahawa penjaga gol setan merah itu sebagai keeper paling overrated pernah dilihat selama ini.

Namun pandangan Keane sama sekali berbeza dengan Ole yang menganggap De Gea merupakan penjaga gol terhebat dunia dan beliau sentiasa percaya dengan kerja keras yang dilakukan oleh bintang Sepanyol itu ketika sesi latihan.

“David adalah penjaga gawang terhebat di dunia.”

Jelas Ole Gunnar Solskjaer.

“Dia cuma bolos dua gol sahaja dari tujuh perlawanan terakhir kami. Kami bertemu City dua kali, Chelsea, Everton dan Tottenham antara pasukan yang kami jumpa dan dia cuma bolos dua.”

“Dua gol dari tujuh perlawanan sudah cukup bagus dan kami pernah lalui beberapa perlawanan tanpa dibolosi.”

“Bolos ketika bertemu Everton mungkin boleh dipertikaikan dan kali ini dia benar-benar tidak boleh menyelamatkan bola tersebut.”

“Dia banyak melakukan aksi penyelamatan yang mengagumkan, dia memenangi perlawanan untuk kami dan saya fikir tidak keterlaluan untuk saya anggap bahawa dia penjaga gol yang terhebat di dunia.”

“David benar-benar bekerja keras. Dia bukan jenis yang sering melakukan kesilapan demi kesilapan. Dia sangat tekun dan sentiasa bekerja keras dalam latihan dan saya sangat gembira bekerja dengannya.”

United akan kembali beraksi pada hari Rabu nanti bertemu Sheffield United, dan pastinya Dean Henderson tidak akan diturunkan dalam perlawanan tersebut kerana bertemu kelab asalnya.

Dean Henderson merupakan penjaga gol Manchester United yang telah dipinjamkan kepada Sheffield United dan bintang berusia 23 tahun itu sering dikatakan bakal menggantikan tempat de Gea di Old Trafford.

Peminat mahu Dean Henderson kembali ke United musim hadapan kerana melihat kepada aksinya yang semakin hebat, namun pandangan Ole pula, ianya tugas yang berbeza sekiranya beliau bermain untuk setan merah.

“Ianya adalah tugas yang berbeza untuk beraksi bersama Sheffield United dan Manchester United.”

Tambah Ole lagi.

“Ianya jelas berbeza, bagaimana untuk terangkan….. Dean mempunyai peranan yang berbeza. Bagi saya dua tahun dia sudah dapat aksi yang mantap untuk pembangunan kariernya. Dia sudah beraksi di pentas yang besar, dia sudah menimba banyak pengalaman.”

“Sekarang dia sedang beraksi bersama pasukan yang dibelakang mereka memainkan peranan yang sangat luar biasa dan menghiburkan. Berdasarkan rekod statistik, dia berada di tahap terbaik.”

“Dia sentiasa belajar dan belajar. Dia merupakan penjaga gol yang ada memasang hasrat untuk menjadi yang terbaik. Dia dapat teknik dan asuhan yang bagus di sana.”

“Saya rasa satu hari nanti dia akan menjadi penjaga gol utama England dan Manchester United sendiri dan terserah kepada dia semuanya. Sama ada dia mahu terus kekal cemerlang atau ambil sikap sambil lewa di masa mendatang.”

BACA:  De Gea Dihentam Kerana Terlalu Lembik Hingga Benarkan Arsenal Jaringkan Gol Mudah