Ole Gunnar Solskjaer Perlu Ucap Terima Kasih Kepada Cristiano Ronaldo

Ole Gunnar Solskjaer sepertinya perlu mengucapkan terima kasih kepada Cristiano Ronaldo yang berdiri teguh dibelakang beliau dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya.

Walaupun setan merah berdepan dengan kekalahan memalukan bertemu Liverpool hujung minggu lalu, Ole Gunnar Solskjaer masih lagi akan diberi kepercayaan untuk mengendalikan kelab.

Melihat skuad setan merah dibelasah teruk oleh Liverpool di Old Trafford minggu lalu, ramai yang mula mempertikaikan tentang kemampuan Solskjaer untuk terus mengendalikan kelab.

Nama Antonio Conte tidak henti-henti disebut-sebut oleh para peminat, yang mahu bekas pengurus Inter Milan itu segera ditandatangani untuk menggantikan Solskjaer.

Walau bagaimanapun, laporan terbaru menyatakan yang pengurus dari Norway itu akan tetap mengendalikan United untuk aksi bertemu Spurs, dalam saingan Premier League minggu ini.

Melihat kepada jadual perlawanan United selepas ini, ia jelas menambahkan lagi tekanan untuk Solskjaer dengan masa depan beliau pada ketika ini sudah semakin samar-samar.

Selepas aksi bertemu Tottenham Hotspur, United akan bertemu Atalanta dalam aksi saingan Champions League, sebelum kembali ke Old Trafford untuk bertemu Manchester City dalam aksi saingan Premier League.

Masa depan Solskjaer bersama kelab masih belum berada di tahap selamat pada ketika ini, dengan beliau bersama tenaga kejurulatihannya tidak diberi jaminan untuk terus mengendalikan United.

Antara hal yang sedikit membantu Solskjaer dari mengelak untuk dirinya dipecat adalah nilai yang perlu Manchester United bayar untuk melepaskan beliau.

United dilaporkan perlu menyediakan dana bernilai £7.5 juta sebagai pampasan untuk Ole Gunnar Solskjaer seandainya pihak kelab mahu memecat pengurus dari Norway itu.

Walau bagaimanapun, kepercayaan para pemain terhadap pengurus mereka itu sepertinya sudah merosot dengan ada antara mereka yang menyalahkan Solskjaer sebagai punca kekalahan kepada Liverpool.

Para pemain tidak teragak-agak untuk membantai pengurus kelab secara terbuka dengan mempersoalkan segala keputusan yang dibuat oleh pengurus dari Norway itu.

Ada yang mempertikaikan tentang pemilihan pemain, ada yang mempertikaikan taktikal, ada yang mempersoalkan pemilihan ketua pasukan, dan boleh dikatakan serba serbi yang Ole lakukan menjadi pertikaian.

Hal ini sudah mula berlaku sejak kekalahan 4-2 United di tangan Leicester City sebelum ini, dengan para peminat sejak dari itu sudah mula menjadikan beliau sebagai kambing hitam.

Ada juga pemain yang mengkritik sesama mereka dengan menganggap rakan sepasukan mereka tidak menunjukkan komitmen yang baik dan tidak serious ketika menjalani sesi latihan.

Manchester Evening News melaporkan yang Ronaldo pada ketika ini jelas sekali dianggap sebagai abang long dalam bilik persalinan, dengan beliau meminta agar para pemain menjaga mulut masing-masing dan menunjukkan sikap yang lebih bersatu padu.

Beliau juga meminta agar para pemain tidak mencari alasan, jangan terlalu terikut-ikut dengan apa yang mereka fikirkan tentang pengurus, dan terus memberi sokongan kepada Solskjaer.

Para pemain juga pada ketika ini dilaporkan bersedia untuk memberi kerjasama dengan Solskjaer dan akan berusaha untuk mempamerkan persembahan yang lebih baik.

Andai Solskjaer berjaya untuk konsisten mencatatkan kemenangan dan membantu para pemain untuk mendapatkan tahap persembahan terbaik masing-masing, tidak mustahil untuk pihak kelab memberi beliau kesempatan untuk terus mengendalikan United.

Pengurus mana saja dalam dunia bola sepak tentu sangat berminat untuk mengendalikan Manchester United selepas melihat barisan pemain yang mereka miliki.

Dengan membuat pemilihan pemain yang betul, dan taktikal yang berkesan, skuad United pada ketika ini tidak dinafikan lagi sebenarnya mampu untuk mencabar kejuaraan liga dan Champions League.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Keane Nak Rembat Ole Sebab Bagi Fred Main