Panas: Southgate Sebenarnya Tak Suka Jack Grealish

Terdapat satu laporan baru yang sangat menarik untuk dibincangkan berkait hubungan antara Gareth Southgate, dengan pemain yang paling peminat nantikan untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama England, Jack Grealish.

Bintang sensasi Aston Villa itu merupakan pemain paling menyerlah dalam dua aksi pemanas badan England sebelum saingan Euro 2020.

Walau telah mempamerkan aksi permainan yang sungguh menakjubkan ketika sesi pemanas badan, beliau langsung tidak diturunkan dalam perlawanan pembukaan England bertemu Croatia sebelum ini.

Selepas menerima desakan dari pelbagai pihak, Southgate akhirnya menurunkan Grealish sebagai pemain gantian ketika aksi seri tanpa jaringan bertemu Scotland sebelum ini.

Selepas membuat penyelidikan dari sumber-sumber terdekat, The Athletic melaporkan yang hubungan kedua-dua mereka tidak begitu baik kerana Southgate tidak mempercayai Grealish.

Para pemain England sendiri sedar yang Southgate mempunyai barisan pemain kegemarannya sendiri di dalam bilik persalinan, dan Grealish bukanlah pemain itu.

Grealish percaya, imej beliau yang agak buruk sebelum ini selepas dikaitkan dengan hal-hal kontroversi seperti berpesta dan sebagainya menjadi punca Southgate tidak menyukainya.

Southgate telah mula mengurus England sejak tahun 2016 lagi, dan fakta menarik adalah Grealish hanya dipanggil untuk sertai skuad senior pada sembilan bulan yang lalu.

Beliau melakukan debutnya bersama The Three Lions ketika mahu menyambut ulang tahunnya yang ke-25, dan ia memberi gambaran jelas bahawa Southgate memang tidak berminat untuk menggunakan pemain penyerang berbakat itu sejak dari awal lagi.

Faktor lain yang menyokong dakwaan tersebut adalah melibatkan perhubungan tidak begitu baik antara Grealish dengan bekas pengurus skuad bawah 21 tahun England, Aidy Boothroyd.

Aidy Boothroyd merupakan individu yang paling dipercayai oleh Southgate dan juga orang kuatnya ketika mengurus skuad kebangsaan England ini.

Kedua-dua Grealish dan Boothroyd dikatakan langsung tidak bercakap selepas tamat satu kejohanan sebelum ini, dan kerana itu orang kanan Southgate itu menentang untuk Grealish dipanggil sertai skuad utama.

Kebimbangan terhadap kemampuan Grealish ketika beraksi tanpa bola juga merupakan satu lagi faktor mengapa Southgate tidak mempercayainya.

Southgate menganggap Grealish boleh bermain ketika beliau memegang bola, namun beliau akan hilang arah dan menjadi semakin teruk ketika tidak bersama bola.

Orang-orang di kem England percaya yang Southgate jelas sudah ada pemain kegemarannya sendiri (sama seperti kebanyakan pengurus lain), dan Grealish bukanlah pemain itu.

Pengurus England itu jelas menyukai pemain seperti Kieran Trippier dan Raheem Sterling sejak dari kejayaan kedua-dua pemain itu membawa England ke aksi separuh akhir Piala Dunia 2018.

Jordan Henderson turut dipilih untuk aksi Euro 2020 ini walaupun beliau baru sahaja pulih dari kecederaan panjang sebelum ini.

Mason Mount dikatakan bakal menjadi anak emas Southgate selepas ini dengan beliau ketika ini telah pun menjadi antara pemain paling disayangi oleh pengurus England itu.

Walau bagaimanapun, bukan semuanya negatif tentang perhubungan mereka, dengan Southgate dipercayai menghargai Grealish sebagai pemain pujaan ramai.

Pengurus England itu juga turut yakin yang Jack Grealish sebenarnya salah seorang pemain yang sangat berbakat besar.

Namun begitu, bekas pengurus Middlesbrough itu tidak percaya dan tidak yakin Grealish akan ikut perancangan taktikal beliau dan beliau juga enggan bercakap mengenai pemain itu di hadapan media.

Pada tahun lalu, ketika beliau ditanya tentang persembahan Grealish ketika membantu England menewaskan Wales 3-0, Southgate dengan segera mengubah topik perbualannya dan memberikan pujian pada Mason Mount.

Selain Grealish, Southgate turut didesak untuk menurunkan Sancho dalam skuad utamanya dan beliau sebelum ini telah dikritik teruk kerana tidak menurunkan pemain Borussia Dortmund itu.

Jadon Sancho masih belum membuat sebarang penampilan di kejohanan ini, dengan beliau telah diketepikan terus dari aksi bertemu Croatia sebelum ini.

Beliau juga sekadar memanaskan bangku simpanan sahaja ketika aksi seri yang dicatatkan oleh England bertemu Scotland pada minggu lalu.

Ketika aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan, England dilihat mempunyai kekurangan dari segi dinamik dan pemain semula jadi di bahagian sayap.

Ia jelas merupakan kelebihan yang Sancho miliki, namun bintang berusia 21 tahun itu langsung tidak diberikan peluang untuk masuk sebagai pemain gantian.

Media Jerman turut menghentam keputusan Southgate yang tidak memberikan Sancho minit permainan walau tahu kemampuan yang dimiliki oleh pemainnya itu.

Legenda England, Ian Wright turut meluahkan kekesalan beliau melihat pemain yang sudah menjaringkan 16 gol dan mencatatkan 20 assists itu tidak di turunkan.

Menjelang aksi perlawanan bertemu Czech Republic, legenda Manchester United dan England, Rio Ferdinand telah menegaskan yang beliau sangat berharap Southgate akan menurunkan Sancho dalam perlawanan selepas ini.

Soal pertukaran pemain, saya rasa mereka agak teruk.”

Jelas Ferdinand di saluran Youtube miliknya ketika beliau menganalisis perlawanan England bertemu Scotland sebelum ini.

“Kamu boleh buat banyak pertukaran sekarang, dia hanya buat dua saja pertukaran dari lima yang dibenarkan.”

“Uruskan pemain simpanan itu, itu tujuan mereka ada di sana. Kita ada semua pemain yang kita perlukan. Sancho? Apa dia dah buat? Dia mesti telah lakukan sesuatu yang kita tak tahu.”

“Dia (Sancho) untuk tiga musim terakhir ini, telah mencatatkan penglibatan gol terbanyak dari kesemua pemain dalam skuad England kecuali Sterling dan Kane.”

“Saya betul-betul tak boleh faham semua ini. Dia langsung tak ada dalam senarai pada aksi perlawanan pertama, dia juga langsung tak pakai boots ketika perlawanan kedua, kamu ada bakat seperti itu yang hanya duduk dan kamu hanya pilih untuk biarkan mereka duduk walau pasukan akan kalah.”

“Bagi mereka semua main, kita sekarang kembali menjadi skuad England yang kaku seperti sebelum ini.”

Jika sumber dan laporan yang dibuat oleh The Athletic adalah benar, berkemungkinan besar peminat tidak mungkin akan melihat Jack Grealish diturunkan dalam kesebelasan utama England bertemu Czech Republic nanti.

Namun begitu, dek kerana Mason Mount kini sedang dikuarantin selepas menjadi kontak rapat Gilmour, ada kemungkinan untuk Grealish menggantikan tempatnya.

Jika beliau masih tidak diturunkan, maka jelaslah yang Southgate sememangnya tidak mempercayai Grealish untuk beraksi dalam perlawanan penting.

BACA:  Jack Grealish Kongsi Cerita Pernah Pengsan di Bilik Sebelum Latihan Bersama England, Puji Southgate Bantu Tingkatkan Permainannya