Panenka Aguero Menjadi Petaka Dan Kejuaraan City Tertangguh

Cubaan Sergio Aguero melakukan sepakan panenka untuk menewaskan Edouard Mendy di sepakan penalti bertukar menjadi petaka sekaligus telah menangguhkan lagi kejuaraan Manchester City secara rasmi.

Media Eropah dan barat pula telah melabelkan panenka Aguero yang gagal itu sebagai sepakan penalti terburuk dalam sejarah kewujudan Premier League.

Ini merupakan musim terakhir Aguero bersama Manchester City dan dalam tempoh sedekad ini pelbagai keajaiban telah dilakukan Aguero yang akan pergi sebagai pemenang lima kali Premier League.

Kegagalan teruk Aguero melakukan panenka ini terjadi dalam perlawanan Manchester City menentang Chelsea dan ada yang menanggap ini final first leg Champions League musim ini.

Bunga-bunga kesenduan Aguero untuk terciduk terpancar lebih awal apabila beliau telah gagal untuk menyempurnakan peluang terbuka untuk memecahkan kebuntuan.

Mujur kebolokan Aguero dengan sentuhan pertama itu telah menjadi satu assist buat Raheem Sterling yang datang mencilok untuk meletakkan Manchester City dihadapan pada minit ke-44.

Sergio Aguero kemudian beroleh peluang untuk menggandakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama melalui sepakan penalti.

Peluang keemasan untuk Aguero membantu Manchester City untuk mengesahkan kejuaraan dan dinobatkan sebagai juara Premier League musim 2020/21 secara rasmi.

Namun Aguero telah memilih sepakan panenka untuk menewaskan penjaga gol Chelsea, Eduoard Mendy dan ternyata mudah untuk Mendy menyelamatkan bola dengan sebelah tangan.

Ada yang berpendapat Aguero memperoleh kembali kemaluannya selepas cuba memalukan Eduoard Mendy dengan sepakan panenka. Ternyata kemaluan itu tidak menjadi milik Mendy.

Manchester City tewas kepada Chelsea 2-1 dalam perlawanan ini selepas Chelsea bangkit pada separuh masa kedua dengan permainan yang lebih kemas.

Jika Manchester City menang sepakan panenka Aguero ini tidaklah akan nampak seteruk ini, walaupun apa pun terjadi Manchester City sah menjadi juara.

Kegagalan Panenka Aguero ini telah dibandingkan dengan penanda aras panenka musim ini yang dilakukan oleh Ademola Lookman ketika Fulham menentang West Ham United.

Thomas Soucek berjaya menjaringkan gol pembukaan serta gol kemenangan untuk West Ham United menewaskan Fulham 1-0 pada masa kecederaan.

Kemudian Fulham mendapat sepakan penalti pada minit ke-96 dan sekurang-kurangnya bakal pulang dengan satu mata namun Ademola Lookman telah melakukan panenka yang gagal.

Niat mahu menjaringkan gol dengan gaya yang bermutu berubah menjadi kegagalan yang memperoleh ribuan kecaman.

Fabianski ketika itu tidak melakukan gerakan, sebaliknya bola sepakan dari Lookman tepat menuju ke tanggannya dengan begitu lemah.

Scott Parker kelihatan sangat tidak gembira melihat pemain berusia 23 tahun itu menyesali tindakan dungunya yang menyebabkan Fulham tewas dalam perlawanan tersebut.

Para peminat turut memberi reaksi terhadap insiden tersebut di media sosial dan kebanyakkannya seakan tidak faham mengapa pemain pinjaman dari RB Leipzig itu memikirkan bahawa tindakan yang beliau cuba lakukan itu merupakan langkah yang bijak.

Sepakan penalti panenka bukanlah satu teknik yang semudah kita lihat dan memerlukan teknik serta keyakinan yang tinggi untuk melakukannya kerana panenka boleh bertukar menjadi petaka.

Sepakan Penalti yang digelar Panenka dicipta oleh Antonín Panenka di mana sepakan dibuat dengan chip yang lembut ke tengah gol dan menjunam masuk dengan begitu mengasyikkan serta mempesonakan.

Panenka menjadi ikonik dan cap dagang kepada empunya badan kerana jaringan inilah yang mengesahkan Czechoslovakia sebagai juara EURO 1976 ketika menewaskan Jerman Barat di penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2.

Sepakan ini kemudian ditiru dengan jayanya oleh Zinedine Zidane, Omar Abdulrahman, Andrea Pirlo, Robin van Persie, Shebby Singh, Nazrin Nawi, Svetoslav Dyakov, Antonio Cassano, Pato dan ramai lagi.

BACA:  Sergio Aguero Sedekah Range Rover dan Belanja RM500,000 Kepada Staf Manchester City Sebagai Hadiah Perpisahan