Sergio Aguero Sedekah Range Rover dan Belanja RM500,000 Kepada Staf Manchester City Sebagai Hadiah Perpisahan

Lagenda Manchester City, Sergio Aguero, kini telah pun sah bergelar pemain Barcelona dan sebagai tanda terima kasih penjaring terbanyak dalam sejarah The Citizen kepada staf Manchester City, dia telah sedekahkan kereta mewah Range Rover miliknya dan juga membeli hadiah bernilai lebih £90,000 atau bersamaan dengan RM525,000.

Lebih 60 staf yang bekerja keras bersama pasukan utama City dikatakan telah menerima seutas jam tangan mewah Hublot atau Tag Heuer Formula 1 setiap seorang. Dari segi harga, seutas jam tangan Hublot bernilai sekitar £8000(RM40,000), manakala model Tag Heuer yang dipilih Aguero pula bernilai sekitar £1250 ke £1650(RM7500-RM9500).

Setiap jam tangan tersebut diukir mesej yang berbunyi.”Gracias! Kun Aguero” yang mana kalau diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu berbunyi “Terima Kasih! Kun Aguero”.

Jam tangan Tag Heuer Formula 1. Mahal nih!

Walaubagaimanapun, hadiah Aguero tidak terhenti di situ sahaja. Malah dia juga turut hadiahkan tiket undian kepada setiap staf tersebut untuk memenangi sebuah SUV mewah, Range Rover Evoque – sama seperti kereta yang baru dibelinya untuk kegunaan sendiri.

Difahamkan, kereta tersebut berjaya dimiliki oleh kitman kelab – seseorang yang sangat Aguero kagumi akan etika kerjanya. Semoga kitman tersebut sentiasa tukar minyak on-time dan tidak lupa bayar cukai jalan setiap tahun.

Kitman bersama kereta mewah barunya. Boleh masuk insta story selalu ni.

Jika dijumlahkan, Aguero telah mengerluarkan duit poket sendiri lebih RM500,000 untuk kesemua hadiah tersebut! Nampak tak betapa mulianya hati seorang insan yang bernama Aguero ini!

Pemergiannya ke Barcelona pasti menimbulkan kesedihan buat para peminat bola sepak Inggeris. Mana tidaknya, sejak menyertai City dari Atletico Madrid pada tahun 2011, Aguero mencuri tumpuan ramai dengan sentuhan penyudahnya yang tajam di depan gol.

Antara detik yang paling diingati oleh penyokong City adalah detik Aguero menjaringkan gol kemenangan mereka ke atas Queens Park Rangers, dalam perlawanan terakhir liga pada tahun 2012.

Gol tersebut jika ditonton pada hari ini, pasti akan meremangkan bulu roma sang penonton. Jeritan pengulas; “AGUEROOOOOOOOOOOOOO” bukan sahaja melonjakkan mereka yang berada di stadium, malah mereka yang berada di rumah juga!

Jaringan itu bukan sahaja memberikan kemenangan kepada pasukan bimbingan Roberto Mancini itu dalam perlawanan terakhir liga, malah membawa piala Liga Perdana Inggeris tiba ke Stadium Ettihad buat pertama kali dalam sejarah kelab tersebut, sekaligus mengecewakan pencabar yang juga jiran terdekat mereka, Manchester United, dengan bezaan jaringan gol.

Secara totalnya, Aguero telah bermain sebanyak 384 perlawanan buat skuad The Citizens, dan menjaringkan 257 gol – terbanyak dalam sejarah kelab tersebut. Bukan itu sahaja, Aguero juga memegang rekod sebagai penjaring terbanyak yang bukan warganegara Britain dalam sejarah Liga Perdana dengan 181 gol.

Lahir pada 2 Jun 1988 di Buenos Aires, Argentina, Aguero mula belajar erti bola sepak sebenar bersama kelab Independiente. Bersama kelab tersebut, Aguero mencipta sejarah sebagai pemain paling muda yang melakukan debut dalam divisyen satu Argentina pada usia 15 tahun dan 35 hari, pada 5 Julai 2003).

Ketajamannya di depan gol membuka hati Atletico Madrid untuk membawa pemain muda ini berkelana ke Sepanyol pada tahun 2006, pada harga €20 juta – rekod buat kelab Argentina tersebut.

Pada awal kemunculannya di Sepanyol, Aguero terpaksa akur apabila lebih banyak digunakan sebagai pemain gantian, memandangkan ketika itu Atletico mempunyai seorang lagi penyerang yang berbisa – Fernando Torres.

Segalanya berubah pada tahun 2007 apabila Torres mengangkat kaki ke England dengan menyertai Liverpool dan Aguero mengambil peluang ini dan melonjakkan dirinya sebagai seorang penyerang yang digeruni.

Pada musim 2007-08, Aguero menamatkan saingan sebagai penjaring ketiga terbanyak La Liga dengan 19 gol. Musim berikutnya menyaksikan Aguero mendapat pasangan penyerang yang baru – Diego Forlan dan mereka dengan bersahaja membedil gol lawan di Sepanyol.

Ketajamannya di depan mencuri perhatian ramai dan akhirnya hasil pujukan Mancini, Aguero menyertai Manchester City dengan nilai perpindahan sebanyak £35juta, dan menandatangani kontrak selama 5 tahun.

Bak kata pepatah Melayu Kuno, the rest is history.

Sumber : Joe

BACA:  Aguero Tinggalkan City Dengan Linangan Air Mata