Park Ji Sung Namakan Tiga Bintang Korea Selatan Yang Perlu United Tandatangani

Legenda Manchester United, Park Ji Sung menyarankan kepada Manchester United agar menandatangani salah seorang dari tiga bintang utama Korea Selatan, yang beliau rasakan boleh bersinar di Old Trafford.

Ji Sung percaya dari tiga pemain yang beliau mahu cadangkan, Son Heung Min merupakan calon terbaik yang boleh Man Utd tandatangani dan beliau yakin rakan senegaranya itu bakal jadi yang terbaik untuk kelab.

Son Heung Min tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain terbaik dan paling berprestasi dalam saingan Premier League pada ketika ini.

Pemain kebangsaan Korea Selatan itu merupakan nadi utama dalam sistem serangan Tottenham Hotspur sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Son Heung Min menandatangani perjanjian bersama Tottenham Hotspur pada tahun 2015 yang lalu dari Bayer Leverkusen dengan yuran perpindahan bernilai £22 juta.

Sepanjang kariernya bersama Tottenham Hotspur, Son Heung Min berjaya menjaringkan 114 gol dan mencatatkan 67 assists dari 299 penampilan dalam semua pertandingan.

Park Ji Sung menegaskan yang rakan senegaranya itu bakal menjadi pilihan terbaik untuk Manchester United dan mampu untuk pamerkan aksi cemerlang di Old Trafford.

“Son telah membuktikan dirinya sendiri sebagai yang terbaik dalam saingan Premier League dan saya percaya dia cukup bagus untuk lakukan yang terbaik bersama United. Hanya isu kecil yang ada ialah nombor kegemaran dia nombor tujuh kini sudah menjadi milik Cristiano Ronaldo.”

Selain Son Heung Min, Park Ji Sung turut mencadangkan dua lagi bintang Korea Selatan yang beliau yakin boleh jadi yang terbaik untuk setan merah.

“Tapi jika saya perlu pilih seseorang selain dari Son, saya akan pilih sama ada Hwang Hee Chan dari Wolves atau Lee Kang In dari Mallorca dengan kedua-dua pemain ini ada potensi yang bagus untuk jadi pemain yang hebat.”

Manchester United sebelum ini telah dikaitkan dengan duo serangan Son di Tottenham Hotspur, Harry Kane pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Walau bagaimanapun, urusan perpindahan itu tak pernah menjadi kenyataan kerana Kane lebih hangat di kaitkan dengan bakal ke Etihad.

Seteru utama Man Utd, Manchester City turut berminat untuk mendapatkan Kane, dengan mereka pada musim panas lalu pernah menghantar bidaan bernilai £120 juta untuk mendapatkan bintang England itu namun ditolak oleh Spurs.

Son telah menandatangani kontrak lanjutan selama enam tahun bersama Spurs, walau bagaimanapun ia bukan jaminan untuk beliau tidak akan pernah meninggalkan Tottenham Hotspur.

Kekurangan kejayaan bakal menjadi punca utama untuk pemain berprofil tinggi seperti Son untuk pergi meninggalkan kelab.

Dalam temu bual yang sama, Park Ji Sung turut bercerita tentang bekas rakan sepasukannya Cristiano Ronaldo, dengan beliau memberikan pujian menggunung kepada pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu.

Park Ji Sung turut memuji Cristiano Ronaldo

Park Ji Sung turut memuji bekas rakan sepasukannya di Old Trafford, Cristiano Ronaldo yang mampu membuat kepulangan semula menyertai Manchester United pada musim panas baru-baru ini.

Park menghabiskan masa tujuh tahun bersama Manchester United dengan beliau turut membuat lebih dari 200 penampilan untuk kelab.

Beliau berjaya memenangi empat gelaran Premier League bersama Manchester United sepanjang tempoh tersebut dan turut memenangi satu gelaran Champions League.

Sepanjang kariernya bersama Red Devils, Park Ji Sung turut pernah beraksi bersama Cristiano Ronaldo dengan beliau mendedahkan tentang betapa sukarnya untuk seorang pemain lakukan apa yang bintang Portugal itu lakukan pada ketika ini.

“Ia bukan mudah dan sangat sukar untuk seorang pemain kembali ke United selepas dia mengharungi waktu kemuncaknya bersama kelab, tapi saya fikir kalau ada pemain yang mampu lakukan hal itu, dia adalah Cristiano Ronaldo.”

“Apa yang paling penting, seperti yang kita semua tahu, dia merupakan pemain pertama yang akan tiba di padang latihan, dan orang terakhir akan pulang, itu sudah cukup untuk menunjukkan semangat dia terhadap bola sepak.”

Park turut menegaskan yang beliau langsung tak terkejut melihat Ronaldo masih boleh sebati dengan kelab walau pemain-pemain yang ada semuanya jauh lebih muda darinya.

“Orang kata persembahan dia sungguh menakjubkan walau dia sudah berusia 36 tahun, tapi sebagai bekas rakan sepasukan, saya sudah nampak dia buat semua ini dahulu, saya percaya ia benda biasa yang dia buat dan ia langsung tak mengejutkan saya.”

BACA:  Staf Kejurulatihan Ghana Dikutuk Kerana Berselfie Ketika Son Heung Min Sedang Menangis