Pemain Berusia 34 Tahun Bakal Jadi Pemain Pertama Dibawa Masuk Unai Emery

Bekas pemain pertahanan Juventus, Stephan Lichtsteiner dilaporkan bakal menjadi pemain pertama dibawa masuk pengurus baru Arsenal, Unai Emery.

Pemain berusia 34 tahun itu akan meninggalkan Juventus tidak lama lagi selepas tidak mahu melanjutkan kontraknya bersama juara Serie A tersebut. Menurut laporan daripada beberapa sumber, Lichtsteiner bakal menandatangani kontrak selama dua tahun untuk beraksi bersama Arsenal di Liga Perdana Inggeris.

Lichsteiner bakal menyertai Arsenal secara percuma bagi memberi saingan kepada Hector Bellerin

Arsenal telah lama menyasarkan Lichtsteiner bagi memperkuatkan bahagian pertahanan sebelah kanan yang kini diisi oleh pemain muda dari Sepanyol, Hector Bellerin. Bellerin mengalami masalah prestasi sejak kebelakangan ini dan pengurusan Arsenal beranggapan persaingan diperlukan bagi mengatasi masalah tersebut.

Lichtsteiner bakal menyertai Arsenal secara percuma jika beliau bersetuju dengan tawaran kontrak dua tahun dengan perbincangan telah berlangsung kelmarin di London. Bellerin merupakan satu-satunya bek kanan ‘natural’ yang dimiliki Arsenal ketika ini dan kemasukan Lichtsteiner amat diperlukan bagi memberi persaingan dalam pasukan.

Lichtsteiner mengumumkan beliau tidak akan memperbaharui kontraknya bersama Juventus awal bulan ini selepas membantu Juventus memenangi Serie A buat kali k-7 berturut-turut. Sejak menyertai Juventus dari Lazio pada tahun 2011, pemain antarabangsa Switzerland ini telah memenangi Serie A dalam setiap musim bersama Bianconeri.

Pengalaman yang dimiliki Lichtsteiner amat berharga untuk mengukuhkan bahagian pertahanan Arsenal yang lembik musim lepas

Dengan kapten pasukan, Laurent Koscielny tidak akan dapat beraksi sehingga penghujung 2018, kemasukan pemain berpengalaman seperti Lichtsteiner diharap mampu mengukuhkan bahagian pertahanan Arsenal yang agak rapuh musim ini.

Antara salah satu tugas utama Unai Emery sebagai pengurus Arsenal yang baru adalah mengecilkan jurang di antara Arsenal dengan juara Liga Perdana Inggeris musim ini, Manchester City. Bagi melaksanakan perkara tersebut, masalah pertahanan Arsenal harus diatasi terlebih dahulu memandangkan mereka telah dibolosi sebanyak 51 kali dalam kempen liga musim ini.

Selain Bellerin, seorang lagi pemain muda Ainsley Maitland-Niles mampu bermain di posisi Bellerin tetapi Arsenal melihat beliau lebih sebagai pemain tengah bertahan. Pemain yang dipinjamkan kepada Birmingham City musim lepas, Carl Jenkinson dijangka tidak akan kekal di Arsenal musim hadapan.

7 musim bersama Juventus, 7 medal juara Serie A. Mentaliti juara yang sangat diperlukan skuad Arsenal sekarang

Secara keseluruhannya, Lichsteiner melakukan 250 penampilan dan menjaringkan 14 gol sepanjang bermain untuk Juventus, walaupun musim ini beliau bukan lagi pilihan utama untuk mengisi bek kanan atau wing-back.

Borussia Dortmund, Monaco dan Marseille turut berminat untuk mendapatkan khidmat Lichsteiner secara percuma tetapi Arsenal dilihat calon pilihan untuk menandatangani beliau.

Lichtsteiner mengadakan perbincangan dengan Valencia awal Januari lalu tetapi kedua-dua belah pihak gagal untuk mencapai kata sepakat.

BACA:  Separuh Akhir Europa League 1: Arsenal vs Atletico Madrid