Pemain Manchester United Jadilah Seperti Fred – Rivaldo

Pemain penyerang legenda Brazil, Rivaldo telah menyarankan pemain Manchester United yang lain jadilah seperti Fred yang pada pendapatnya merupakan seorang pemain bola sepak yang hebat.

Entah apa yang dimakan Rivaldo sehingga berani mengeluarkan kenyataan sebegitu berani, apa yang perlu diadaptasi pemain Manchester United adalah mentaliti yang ada pada Fred.

Entah apa mentaliti dari Fred yang boleh diguna pakai seperti yang dimaksudkan oleh Rivaldo.

Fred tiba di Old Trafford dengan harga £52 juta dari Shakhtar Donetsk pada tahun 2018 dan sejak itu dia menjadi tokoh yang agak dibenci dalam kalangan penyokong setan merah.

Ole Gunnar Solskjaer dipecat sebagai bos United bulan lalu selepas kekalahan 4-1 The Reds di Watford, tetapi lelaki Norway itu meletakkan kepercayaan besar kepada Fred sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Ole sering memulakan pemain berusia 28 tahun itu bersama Scott McTominay dalam pivot berganda di bahagian tengah. Popular dengan gelaran McFred.

Pemain tengah itu telah bermain sebanyak 13 kali untuk United musim ini dan Rivaldo berpendapat bahawa Fred telah memberikan contoh yang patut jadi ikutan kepada rakan sepasukannya.

“United telah dikritik kerana tidak menekan (pressing) lawan mereka tetapi pemain tengah Brazil, Fred sentiasa memberikan segala-galanya dan menekan lawan sepanjang masa,” Ujar Rivaldo kepada Betfair.

“Ini adalah jenis mentaliti yang perlu diterapkan oleh semua pemain United. Misi Rangnick akan membawa pemainnya untuk bermain secara menekan di garisan tinggi dan secara berpasukan yang akan membawa mereka kepada berjaya.

Rivaldo percaya Manchester United belum lagi terlambat untuk kembali bangkit mencabar kejuaraan musim ini jika dapat memperbaiki kekurangan dan kembali mendapat keyakinan.

“Masih ada masa untuk mereka pulih musim ini dan sekurang-kurangnya berjuang untuk trofi. Mereka mesti berkembang dengan penuh yakin. Kedatangan pengurus baharu sentiasa mencipta motivasi baharu dalam pasukan.

“Pengurus tidak akan menyelesaikan semua isu kerana pemain yang pergi ke padang, tetapi idea dan kaedah baharu sentiasa memberi rangsangan kepada pasukan.”

Apa yang diperkatakan oleh Rivaldo mengenai pasukan Manchester United yang tidak bermain dengan prestasi sebenar dan memerlukan motivasi baru adalah tepat.

Namun agak meragukan apabila menjadikan mentaliti yang ada pada Fred sebagai contoh ikutan mungkin menimbulkan perdebatan hangat dan ramai tidak bersetuju.

Selepas Ole dipecat tiga perlawanan dibawah Michael Carrick, permainan Fred agak baik namun masih berterabur seperti biasa dengan posisinya selalu kelaut serta gemar melakukan hantaran kebelakang.

Fred dan McTominay tidak memberi perlindungan kepada bahagian pertahanan dan tidak membantu ketika mahu memulakan permainan dari belakang sekaligus menjadikan bahagian pertahanan dan tengah serta serangan tidak berhubung.

Lindelof, Maguire atau Bailly terpaksa menghantar bola ke tepi atau terus melambungkan bola ke atas lantaran McFred tidak mencari dan membuka ruang untuk menerima bola.

Itu semua pendapat Rivaldo yang sudah pasti akan menyokong Fred yang juga berasal dari Brazil dan menjadi pemain regular dalam skuad kebangsaan Brazil temporari ini.

Rivaldo merupakan pemain legenda adalah pemakai jersi No.10 Brazil yang paling underrated dan sering terlepas pandang. Pada ketika Rivaldo berada di kemuncak prestasi, tidak ada lawan yang sanggup berhadapan dengannya.

Selain kemampuan luar biasa menewaskan mana-mana pertahanan terbaik dunia, kemampuan pemain ini menjaringkan gol juga harus diberikan perhatian.

Copa America 1999 mungkin adalah tempoh terbaik beliau bersama Brazil apabila Rivaldo berkongi kasut emas dengan Ronaldo – masing-masing menghasilkan lima gol di kejohanan tersebut.

Tahun tersebut turut menyaksikan Rivaldo memenangi gelaran Ballon d’Or. Gandingan Rivaldo bersama Ronaldo dan Ronaldinho bersama Brazil pada ketika itu amat digeruni ramai.

Fred Zero To Hero

Frederico Rodrigues de Paula Santos atau Fred telah menjadi penulis skrip drama dalam perlawanan Manchester United menentang Arsenal dan dirinya juga menjadi watak utama dalam drama ini.

Old Trafford menjadi saksi betapa teruknya Fred yang menjadi petualang kepada pasukan sendiri namun kembali insaf dengan menjadi seorang wira serta menjadi nadi kebangkitan sensasi Manchester United.

Fred telah membantu Arsenal berada dihadapan dengan satu pengkhianatan tiada tanding taranya apabila telah memijak dan menenyeh kaki David De Gea dengan tapak kasut bolanya.

Tindakannya itu telah menyebabkan David De Gea serta merta rebah ke tanah mengerang kesakitan ketika bola masih lagi dalam permainan.

Tolakan Mohamed Elneny terus dirembat oleh Emile Smith Rowe dengan satu percubaan lemah tetapi cukup untuk masuk ke gawang dengan pengawal terbaring tidak bergerak.

Sudah terlambat buat pengadil perlawanan Martin Atkinson yang menyedari apa yang terjadi kepada David De Gea untuk menghentikan perlawanan kerana bola sudah menerjah jaring ketika wisel ditiup.

Pengadil tidak segera mengesahkan jaringan itu dan terus merujuk kepada Video Assistant Referee (VAR) untuk mengetahui apakah yang sebenarnya terjadi.

Selepas ulang tayang dimainkan untuk tontonan penonton dan pengadil sudah merujuk kepada VAR maka sahlah petualang yang mencederakan De Gea adalah Fred.

Tiada pilihan yang ada pada pengadil selain mengesahkan jaringan itu kerana tiada kecurangan dari Arsenal dan permainan dihentikan selepas bola telah masuk.

Isu semangat kesukanan tidak perlu dibangkitkan kepada Arsenal, kerana Fred telah mencederakan rakan sepasukannya sendiri.

Pemain Manchester United termasuk Fred yang merupakan punca kepada situasi itu membantah keputusan pengadil mengesahkan jaringan tersebut.

Gol dari Emile Smith Rowe itu segera dinobatkan antara gol terpelik dan aneh di dalam sejarah Premier League serta dalam dunia bola sepak.

Bekas penjaga England dan Chelsea, Robert Green menyifatkan keputusan pengadil mengesahkan jarigan sebagai mengejutkan:

“Ia adalah satu kecederaan yang tulen. Penjaga gol itu dijatuhkan. Itu keputusan yang mengejutkan, ia jelas salah.”

Entah apa reaksi Robert Green setelah mengetahui Fred yang menjadi punca kecederaan De Gea dan wisel ditiup selepas bola sudah masuk.

Fred telah dikecam hebat dari seluruh pelusuk dan menjadi bahan tawa buat lawan dengan kegilaan tidak masuk akal ini.

McFred terus hura permainan mereka namun detik Fred menebus dosa tiba apabila mencipta assist untuk gol penyamaan dari Bruno Fernandes.

Jadon Sancho menghantar bola kepada Fred yang bersilat untuk menolak kepada Bruno Fernandes dengan penyudah bersahaja.

Cristiano meletakkan Manchester United di depan dengan menolak masuk umpanan Marcus Rashford dari sebelah kanan.

Belum habis Ronaldo tersengih, belum habis penat bersiu dan baru saja Fred mahu berasa lega, Arsenal kembali menyamakan kedudukan.

Kealpaan Alex Telles dan barisan pertahanan Manchester United dihukum dengan jaringan dari Martin Oedegaard pada minit ke-55.

Fred sekali lagi menebus kesilapan silam apabila berjaya mendapatkan sepakan penalti, pada mulanya Martin Atkinson tidak melayan selepas melihat Fred tersengih.

Campur tangan VAR menyebabkan Martin Atkinson merujuk kepada skrin ditepi padang dan jelas menunjukkan Fred dikasari.

Cristiano Ronaldo mudah menyempurnakan penalti dengan rembatan deras ke tengah ketika Aaron Ramsdale terbang ke sisi. Setan Merah kembali mendahului.

Kedudukan 3-2 ini kekal hingga tamat perlawanan dan Fred telah menjadi nadi kebangkitan Manchester United untuk memberi kemenangan kepada Michael Carrick yang sudah berakhir tugasnya.

Pelik, aneh, gila dan bodoh semuanya cukup untuk menggambarkan apa yang dilakukan oleh Fred yang bertukar dari zero to hero.

BACA:  Bruno Fernandes Maki Hamun Fred Dan Telles Kerana Terlalu Asyik Merakam Video