Pemain Pasukan Seteru Dedah Lingard Bakal Tinggalkan United Dalam Masa Terdekat

Penjaga gol West Ham, Darren Randolph telah memberi bayangan yang Jesse Lingard berkemungkinan akan kembali sertai The Hammers menerusi satu muat naik di laman instagram miliknya minggu lalu.

Lingard telah melalui karier yang sungguh cemerlang ketika beliau dipinjamkan untuk beraksi bersama West Ham United sebelum ini.

Walau hanya beraksi selama separuh musim, beliau tetap berjaya menjaringkan sembilan gol dan turut mencatatkan empat assists dari 16 penampilan dalam saingan liga.

Walaupun Lingard dikaitkan bakal menyertai West Ham pada musim panas ini, namun terdapat laporan yang menyatakan bahawa beliau sebenarnya bertekad untuk mendapatkan semula tempat dalam skuad utama United, selepas kembali ke Old Trafford pada Julai lalu.

Walau bagaimanapun, dengan berbaki dua minggu lagi sebelum jendela perpindahan ditutup, terdapat laporan terbaru yang menyatakan bahawa Lingard sudah berubah hati dan lebih memilih untuk meninggalkan Old Trafford.

Randolph telah memuat naik status di laman instagram miliknya dengan menyatakan:

“@JesseLingard saya akan bertemu kamu nanti di Rush Green untuk sesi latihan! Kamu tahu kamu juga mahukan itu.”

Lingard telah diketepikan dari skuad setan merah ketika aksi kemenangan 5-1 mereka menewaskan Leeds United kemarin.

Walau bagaimanapun, Lingard ketika itu terpaksa diketepikan kerana beliau sedang menjalani kuarantin wajib kerana disahkan positif C0V-19.

Walau bagaimanapun juga, selepas tamat perlawanan tersebut, Solskjaer telah menegaskan yang beliau gembira dengan Lingard dan mahu bekerjasama dengan bintang England itu musim baharu ini.

“Dia berjaya bangkitkan semula dirinya dan dia dah kembali menjadi pemain yang kita semua kenal. Dengan kualiti yang dia ada, dia akan memainkan peranan yang penting. Saya terlupa dia ketika saya bercakap tentang penjaring gol.”

“Sudah tentu, akan banyak rotation akan berlaku. Para pemain akan lebih segar dan cergas. Kamu memang perlu untuk miliki skuad yang besar dan kuat untuk bersaing dalam liga ini. Ia merupakan liga terhebat di dunia.”

“Kamu perlu ada keberuntungan untuk elak kecederaan. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka semua.”

Namun melihat kepada skuad yang United miliki pada ketika ini, sukar untuk menjangkakan soal masa depan Lingard.

Beliau jelas perlu bersaing dengan ramai lagi pemain-pemain hebat yang akan bermain di posisinya, jadi untuk mendapatkan minit permainan, Lingard perlu kembali menyertai West Ham.

Satu hal yang pasti, beliau mahu memberi tumpuan untuk mewakili England ke aksi Piala Dunia 2022 nanti dan untuk merealisasikan impiannya itu, Lingard perlu sentiasa bersedia.

Beliau sebelum ini pernah diketepikan dari skuad kebangsaan England, dan ia berkemungkinan kerana beliau kekurangan minit permainan ketika awal Ole Gunnar Solskjaer mengendalikan Man Utd.

Namun selepas dipinjamkan ke West Ham, Lingard berjaya membuktikan kemampuannya dan secara tidak langsung menarik perhatian Southgate untuk menyenaraikan namanya dalam senarai pendek skuad kebangsaan England.

Oleh yang demikian, tidak akan mengejutkan andai Lingard berkeras untuk sertai West Ham pada musim panas ini, memandangkan beliau ada misi yang mahu dikejar.

Legenda Manchester United, Roy Keane dan Gary Neville sendiri turut mencadangkan kepada Lingard supaya meninggalkan Old Trafford untuk sertai West Ham demi kebaikan kariernya.

Lingard ketika beraksi bersama West Ham pada musim lalu

Berbaki dua minggu sebelum jendela perpindahan musim panas ini ditutup, segalanya boleh berlaku, tidak mustahil untuk peminat melihat Lingard kembali menyarung jersi West Ham pada musim baharu ini nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jesse Lingard Terus Memukau Dunia Dengan Gol Solo Dan 'Berbatov Spin'