Kapten Itali, Giorgio Chiellini telah memberikan satu temubual yang cukup bersemangat dan bertenaga selepas perlawanan akhir Euro yang menampilkan Itali muncul juara kejohanan, menewaskan England.
Pertahanan Juventus itu adalah sebahagian daripada pertahanan yang mantap bersama-sama Leonardo Bonucci dan sepanjang 120 minit perlawanana, mereka hanya membenarkan England melakukan dua percubaan tepat sahaja.
Bukan setakat dalam perlawanan akhir, Chiellini juga mempamerkan aksi cemerlang di sepanjang kejohanan walaupun bermain dalam keadaan mengalami kecederaan, sebelum menutup tirai kejohanan ini dengan julangan piala yang pertama buat Itali sejak mereka memenangi Piala Dunia pada tahun 2006.
Meskipun dia dikutuk dek aksinya yang menarik baju Bukayo Saka dalam minit-minit akhir waktu perlawanan biasa, dia mendapat pujian ramai di atas pencapaiannya di benteng pertahanan secara keseluruhan dan juga kefasihannya berbicara dalam bahasa Inggeris selepas perlawanan.
“Perlawanan ni sangat sukar,” ujar Chilellini berbahasa Inggeris dalam pelat Itali.
“Kami bermula dengan langkah kiri dengan membenarkan England jaringkan gol selepas dua minit.
what🤌🏼an🤌🏼interview🤌🏼 pic.twitter.com/TTLoiMHWlP
— Matthew (@matthewd67) July 13, 2021
“Sukar bagi kami dengan semua penyokong di dalam stadium bersorak memberikan mereka tenaga untuk menang. Tapi kami tetap diam dan tenang, itu yang penting.
“Kemudian kami mula bermain main main. Kami temukan hantaran yang betul, kami temukan cubaan yang betul. Ini adalah cara yang sebenar untuk menang.”
Selepas temubual, dia menunjukkan rasa terujanya memenangi piala utama pertama bersama Azzuri.
“Ini adalah mimpi menjadi kenyataan. Memang rasa macam tak percaya.
“Kami rasa sesuatu yang ajaib sejak mula kejohanan dan keajaiban ni makin lama makin kuat.
“Kami rasa gementara datang ke Wembley, memang sukar tapi kami rasa gembira, lebih daripada gembira. Kami dah tengok gambar Fabio Cannavaro dan sekarang ni kami semua bertuah.”
Kegembiraan Chiellini ini jelas dapat dirasakan seluruh peminat Itali di mana pemain ini menciap “it’s coming Rome” dan kemudiannya memuatnaik gambar dia dan Bonucci tidur dengan piala di atas katil di biliknya selepas menyambut dengan rakan sepasukan.
Sebaik pasukan ini tiba di Rome, mereka disambut dengan begitu meriah oleh para penyokong yang sudah mula menunggu sejak awal pagi lagi.
Para penyokong mula menunggu ketibaan pasukan tersebut sejak sebelum Subuh waktu tempatan dan berkampung di Piazza Del Popolo, dengan nyalaan bunga api dan mengibarkan tinggi bendera kebanggaan mereka yang berjalur Merah Putih dan Hijau.
Sebaik tiba, Kapten Giorgio Chiellini dilihat menjulang piala di hadapan para penyokong dan Roberto Mancini – kacak seperti biasa – buat-buat control senyum sahaja.
Mancini, bekas bintang Sampdoria, yang sekadar menduduki tempat ketiga dalam Piala Dunia 1990 di laman sendiri dan naib juara Euro Bawah-21 dua tahun sebelumnya, kini berjaya mengucup piala bersama pasukan kebangsaan yang dicintai.
“Aku sangat bernasib baik dalam bermain bersama pasukan yang hebat pada 1990 dan pasukan bawah-21 yang mantap pada tahun 1988,” ujar Mancini.
“Walaupun kami adalah pasukan yang terbaik pada waktu tu, kami gagal memenanginya dan tewas kedua-dua perlawanan tersebut menerusi sepakan penalti.”
Dengan air mata yang mengalir selepas tamat perlawanan semalam, pengurus berusis 56-tahun itu berkata lagi;
“Rasa sangat sebak selepas berjaya mencapai sesuatu yang hebat. Rasa sebak juga bila tengok semua orang menyambut kejayaan bersama dengan penyokong di tempat duduk.
“Lepas tengok semua benda yang kami berjaya cipta, segala penat lelah yang kami letakkan sepanjang tiga tahun lalu, tetapi khususnya dalam tempoh 50 hari yang lalu bila kami betul-betul bekerja keras.
“Rasa seronok kami mampu membina semangat pasukan ini dalam tempoh 50 hari lalu, mereka telah mencipta sesuatu yang tidak akan dilupakan di masa hadapan.
“Mereka akan selalu diingati dengan kejayaan ini.”
Kemenangan Itali semalam telah melanjutkan lagi rekod tanpa kalah mereka kepada 34 perlawanan, sekaligus menyaksikan mereka menjulang kejuaraan Eropah yang pertama sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 1968.
Sumber : SB