Penjelasan Baggot Tentang Mengapa Beliau Rasa Dirinya Tidak Melanggar Apa-apa Peraturan Seperti Yang Didakwa

Elkan Baggot akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar berkait insiden yang melibatkan beliau bersama tiga lagi rakan sepasukannya, yang dikatakan telah melanggar peraturan melibatkan sport bubble.

Elkan Baggott, Victor Igbonefo, Rizky Dwi, dan Rizky Ridho merupakan empat pemain dari skuad kebangsaan Indonesia yang diharamkan dari beraksi dalam perlawanan akhir bertemu Thailand malam semalam.

Pihak media mendedahkan kepada umum yang kesemua empat pemain ini tidak akan dibenarkan untuk beraksi atas kesalahan mereka melanggar peraturan sport bubble.

Yang mana mereka sepatutnya tidak boleh meninggalkan kawasan hotel dan harus perlu senantiasa bersama skuad, dalam usaha untuk mengelak dari penularan wabak pandemik.

Kesemua pemain yang terlibat dengan kejohanan AFF Suzuki Cup pada tahun ini sememangnya terikat dengan peraturan tersebut dan ia jelas satu tindakan bijak untuk memastikan tiada pemain yang dijangkiti atau membawa wabak tersebut dari tempat lain.

Mereka akan sentiasa duduk bersama, dan tidak boleh keluar meninggalkan kawasan yang sudah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, keempat-empat pemain Indonesia itu dilaporkan telah melanggar peraturan tersebut, dengan kesemua mereka meninggalkan kawasan hotel.

Sebaik terkantoi, kesemua mereka telah diharamkan dari turun beraksi dalam aksi perlawanan akhir bertemu Thailand malam semalam.

Kesemua mereka awalnya teruk dihentam oleh para penyokong yang menganggap mereka benar-benar keluar dari kawasan yang ditetapkan.

Agak teruk juga kesemua mereka dimaki hamun oleh para netizen dan pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada mereka kerana keluar dari kawasan sport bubble.

Baggot walau bagaimanapun tampil menjelaskan situasi sebenar berkait insiden tersebut, dengan beliau menulis story di laman media sosial miliknya, menjelaskan apa yang sebenarnya sudah berlaku.

“Saya mahu jelaskan sesuatu kepada para penyokong, kami langsung tak tahu yang kami sudah melanggar apa-apa peraturan, pegawai kita sendiri beritahu saya dan saya ulang semula, ‘Kamu dibenarkan untuk keluar meninggalkan hotel untuk berjalan hirup udara segar dan beli barang keperluan di 7/11.”

“Oleh yang demikian kami dibenarkan untuk meninggalkan hotel dan kerana itulah kami rasa yang kami tak melanggar apa-apa peraturan.”

Tulis Baggot di laman media sosial miliknya.

“Tapi cara bagaimana ia diberitahu kepada media menampakkan seolah-olah kami berempat yang salah yang mana ia tak benar.”

Berkemungkinan ada salah faham yang berlaku antara para pemain, dengan arahan yang diberikan oleh pengiring skuad kebangsaan Indonesia.

Setakat ini, masih belum ada apa-apa maklumat lebih lanjut tentang hal tersebut, namun yang pasti, kesemua mereka sudah dihukum dan tidak diturunkan dalam aksi perlawanan bertemu Thailand malam semalam.

Ketiadaan Baggot dan Rizky Ridho jelas sedikit merencatkan taktikal dan perancangan Shin Tae-yong untuk aksi penting bertemu Thailand.

Indonesia kalah final lagi

Indonesia terpaksa akur sekali lagi terlepas peluang untuk memenangi gelaran AFF Suzuki Cup pertama dalam sejarah mereka, selepas tewas 6-2 secara aggregate di tangan Thailand.

Skuad Garuda merupakan antara pasukan paling kerap layak ke aksi perlawanan akhir dalam kejohanan ini, namun sayangnya mereka tidak pernah muncul sebagai juara.

Aksi perlawanan akhir bertemu Thailand malam semalam merupakan perlawanan akhir keenam Indonesia dalam sejarah saingan AFF Suzuki Cup.

Tidak ada pasukan lain yang paling kerap muncul sebagai naib juara dalam pertandingan ini melainkan Indonesia.

Bermula pada tahun 2000 dan 2002 ketika tewas di tangan Thailand, Indonesia kemudiannya tewas kepada Singapura pada tahun 2004.

Mereka kemudiannya menjadi mangsa kepada skuad Harimau Malaya pada tahun 2010, sebelum sekali lagi dikecewakan oleh Thailand pada tahun 2016.

Tahun ini, Thailand sekali lagi menjadi masalah utama untuk skuad kebangsaan Indonesia, kerana menggagalkan mereka untuk memenangi Piala AFF buat pertama kali dalam sejarah negara.

Skuad Gajah Perang bermula dengan sangat garang selepas mereka membelasah Indonesia 4-0 dalam aksi leg pertama minggu lalu.

Chanatip Songkrasin meledak dua gol sementara Supachok Sarachart dan Bordin Phala masing-masing menjaringkan satu gol untuk bantu Thailand benam Indonesia 4-0.

Aksi leg kedua, Indonesia berjaya menunjukkan peningkatan dengan mereka cemerlang mengikat Thailand 2-2 selepas Ricky Kambuaya dan Edy Maulana Vikri muncul sebagai penjaring gol untuk skuad garuda dalam perlawanan ini.

Adisak Kraisorn dan Sarach Yooyen muncul sebagai penjaring gol untuk skuad Thailand dalam perlawanan ini, seterusnya mengesahkan kemenangan aggregate 6-2 menewaskan Indonesia.

Sumber: Twitter

BACA:  Alfeandra Dewangga Bakal Jadi Masalah Untuk Jentera Serangan Malaysia Yang Bermasalah