Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez, Terpaksa Berjumpa Pakar Psikologi Gara-Gara Kad Kuning

Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez, telah berkongsi pengalamannya bahawa dia terpaksa berjumpa pakar psikologi dalam cubaannya untuk berhenti menjemput kad amaran tersebut.

Pakar psikologi sememangnya memainkan peranan penting dalam bola sepak, terutamanya di barat, di mana mereka banyak berhubung dan bekerjasama dengan pemain yang terkial-kial mencari keyakinan diri.

Tidak dapat dipastikan sama ada peranan pakar psikologi diambil kira atau tidak dalam arena bola sepak di Malaysia, tapi memandangkan bola sepak Malaysia sudah lama masuk ke era professional, mungkin ada lah kot.

Penjaga gol England, Jordan Pickford, baru-baru ini mengakui terpaksa bertemu dengan pakar psikologi dan hasilnya dapat dilihat selepas dia tampil cemerlang dalam Euro 2020 di mana dia hanya bolos sebanyak dua kali, sekaligus membolehkannya memenangi anugerah Sarung Tangan Emas dalam membantu pasukan Tiga Singa layak ke perlawanan akhir.

Seperti Pickford, Martinez juga terpaksa meminta pertolongan pakar psikologi tetapi dalam kes yang sedikit berbeza – dia terpaksa mengurangkan risiko mendapat amaran daripada pengadil.

Selepas bekerjasama dengan mereka yang pakar, pemain Argentina tersebut mendapat hasil di mana tahap disiplinnya mula meningkat.

“Aku rasa gembira dan berpuas hati dengan karier, semua yang aku buat di Inter telah membantu diri aku sendiri dan pasukan kebangsaan,” ujar Martinez kepada media Argentina, seperti yang dilaporkan Goal.

“Aku beraya meningkat dari segi fizikal, aku berlatih dengan penuh hati-hati untuk berada pada tahap terbaik.

“Tapi sebenarnya lebih susah untuk mengubah mentaliti. Menjadi seorang ayah sangat membantu aku menyelesaikan perkara di luar padang.

“Pakar psikologi telah tolong aku untuk kurangkan protes [ke atas pengadil] dan mendapat lebih kurang kad kuning.

“Tengoklah statistik dan kau boleh tengok aku dah berubah banyak. Musim baru pun dah tak lama lagi, begitu juga dengan Piala Dunia 2022.”

Selepas disemak, ternyata telahan Martinez itu benar.

Pada musim 2019-20, Martinez telah mengutip sebanyak 11 kad kuning, manakala musim lalu dia hanya dilayangkan kad tersebut sebanyak lima kali.

Pemain berusia 23 tahun tersebut juga bermain dalam setiap perlawanan dalam musim yang menyaksikan anak buah Antonio Conte mengakhiri penantian 11 tahun untuk merangkul kejuaraan Scudetto. Dengan berganding bersama Romelu Lukaku, Martinez menamatkan musim lalu dengan rekod 17 gol dan 10 assist.

Selain itu, dia juga telah membantu Argentina memenangi Copa America, menjaringkan dua gol dalam membawa La Albiceleste menjulang piala termasyhur di Amerika Selatan tersebut.

Dengan usia yang masih muda, perjalanan pemain ini masih jauh dan mungkin pakar psikologi akan sekali lagi membantunya tidak terbawa-bawa dengan kejayaan yang tinggi dalam tahun yang sama.

Martinez menjulang Copa America. Gambar : SB

Walaubagaimanapun, dia sudah mempunyai hajatnya tersendiri sebelum mengakhiri karier dalam sukan nombor satu dunia ini, di mana dia megimpikan untuk pulang ke dua bekas kelabnya sebelum bersara.

“Aku ingat nak akhiri karier di Liniers. Aku akan cuba untuk yakinkan bini aku untuk pulang ke Bahia Blanca.

“Aku harap aku boleh bermain untuk Liniers atau Racing suatu hari nanti, tapi sukar untuk memberikan sebarang janji dalam bola sepak,” ujarnya merendah diri dan tidak sembang kencang.

Disebabkan kecemerlangannya, Martinez turut dikaitkan dengan minat daripada beberapa kelab yang lebih besar seperti Barcelona dan Real Madrid di La Liga, dan juga Manchester United dan City di England, selain Paris Saint Germain dari Perancis.

Walaupun masih muda, Martinez telah bermain sebanyak 29 kali untuk pasukan kebangsaan dan menjaringkan 14 gol.

Kalau ikutkan trend pemain-pemain Amerika Selatan sebelum ini, mungkin kita akan menyaksikan Martinez akan menyarung jersi kelab lain dalam tempoh tiga atau empat musim lagi.

Sumber : SB

BACA:  Inter Milan Beli Nainggolan Dari AS Roma Dengan Harga €38 Juta