Andre Onana Berhutang Budi Dengan Abangnya Yang Pernah Beraksi Di Indonesia

Tidak semua daripada kita yang minat dengan bola sepak berjaya menggapai impian bergelar pemain profesional. Apatah lagu beraksi di pertandingan peringkat tertinggi bersama kelab tekemuka dunia.

Namun bagi Andre Onana yang kini menjadi sasaran utama Manchester United untuk memakai jersi No.1 pasukan itu pada musim hadapan, penjaga gol itu harus berterima kasih kepada abangnya Nnana Onana yang pernah beraksi di Liga Indonesia.

Ini kerana dorongan abangnya itulah, Andre Onana mulai berminat dengan sukan bola sepak dan pada hari ini dianggap sebagai salah seorang penjaga gol moden terbaik dunia.

Berusia 27 tahun, Andre Onana sudah memenangi trofi di Belanda dan Itali. Setakat ini Andre Onana sudah berjaya membantu Ajax menjuarai Liga Belanda sebanyak tiga kali, selain kejuaraan Coppa Italia bersama Inter Milan pada musim lalu.

Prestasi cemerlang penjaga gol itu pada musim lalu juga membantu Inter Milan mara ke perlawanan akhir UEFA Champions League sebelum dikecewakan oleh Manchester City.

Menurut wartawan bola sepak terkemukua dunia Fabrizio Romano, Andre Onana akan rasmi menyertai Manchester United pada hujung minggu ini – sekiranya perbincangan akhir di antara kedua-dua kelab berjalan dengan lancar.

Tidak dapat dinafikan jika diamati dengan mendalam, karier bola sepak Andre Onana jelas mempunyai pengaruh dari Indonesia.

Pengaruh itu mempunyai kaitan dengan abangnya yang pernah mengembangkan karier di Indonesia, Nnana Onana.

Nnana Onana adalah pemain pertahanan dari Cameroon yang pernah bermain sebagai pemain import bersama beberapa kelab Divisyen 2 Liga Indonesia pada era 2000-an.

Sepanjang mewarnai bola sepak Indonesia, Nnana Onana pernah memperkuat Persikad Depok dan PSPS Pekanbaru.

Setiap kali kembali ke negaranya setelah tamat musim di Indonesia, Nnana Onana tidak lupa menghadiahkan kelengkapan bola sepak kepada adiknya Andre Onana.

Sokongan yang diberikan oleh Nnana Onana itu akhirnya membuahkan hasil apabila Andre Onana dipanggil menyertai akademi Barcelona, La masia pada 2010.

“Saya sering membeli sarung tangan di Pusat Beli Belah Depok, beli kasut di Depok, beli baju penjaga gol juga di Depok.

“Dan kalau pulang kampung saya hadiahkan kepada Andre untuk menanam minatnya menjadi penjaga gol sehingga dia mendapat panggilan menyertai Barcelona,” kata Nnana Onana seperti yang dikongsi di Instagram milik penyokong Persikad Depok, Super Cyber Depok.

Peranan abangnya itu yang tidak dilupakan Andre Onana. Penjaga gol itu juga mengaku pengaruh abangnya menyebabkan Andre Onana mengabaikan nasihat orang tuanya yang lebih mahukan dia fokus kepada pelajaran di sekolah.

“Ayah saya tidak ingin saya bermain bola sepak. Ia ingin saya bersekolah kerana lebih menjamin masa depan, sedangkan bola sepak dianggap terlalu berisiko,” kata Andre Onana dalam sebuah wawancara.

“Dalam pandangan orangtua saya, di bola sepak juga boleh membuatkan saya cedera dan jika berlaku maka masa depan saya juga boleh terancam.

“Saya bermain bola sepak kerana dorongan daripada abang saya. Dia mendapat tawaran dari Jakarta, Indonesia dan dia pergi bermain di sana, dan pada ketika itulah saya mulai mengejar impian [bermain bola sepak] saya,” jelas Andre Onana.

BACA:  Jose Mourinho Tidak Gembira Dengan Keputusan VAR