Penyokong Arsenal Hentam Aubameyang Kerana Merompak Gol Odegaard

Para penyokong Arsenal bengang dengan sikap tamak Pierre Emerick Aubameyang yang telah merompak gol jaringan Martin Odegaard ketika beraksi bertemu Watford semalam.

The Gunners berjaya menewaskan The Hornets 1-0 dalam aksi perlawanan yang dilangsungkan di Emirates malam semalam.

Emile Smith Rowe berjaya menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan ini, seterusnya gol yang beliau jaringkan pada minit ke-56 permainan itu menjadi gol kemenangan untuk Gunners.

Arsenal sebenarnya berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-73 permainan, namun gol tersebut telah dirompak sepenuhnya oleh Pierre-Emerick Aubameyang.

Odegaard berjaya melepaskan rembatan kaki kanan dari dalam kotak menuju ke arah sudut far post Ben Foster, dengan penjaga gol Watford itu sendiri sebenarnya sudah tertewas.

Bola meleleh bergerak menuju ke arah gawang gol dan hanya menunggu masa sahaja untuk menerjah jaring gawang gol Watford.

Walau bagaimanapun, Aubameyang menunjukkan sikap tamak dan dungu beliau dengan beliau menghulur kaki untuk menolak masuk bola ke gawang Watford.

Gol tersebut kemudiannya dibatalkan oleh pengadil perlawanan, kerana Pierre Emerick Aubameyang berada di kedudukan offside ketika beliau menyambar bola rembatan dari Odegaard itu.

Odegaard yang sudah berlari meraikan gol jaringannya terus rebah kecewa kerana gol yang sepatutnya beliau jaringkan dirompak tanpa belas oleh ketua pasukan sendiri.

Para penyokong Arsenal jelas tidak gembira dengan tindakan dari pemain kebangsaan Gabon itu, dan menganggap beliau perompak yang merompak usaha rakan sepasukan sendiri.

“Aubameyang bukan bermain untuk Arsenal malam ini, dia terlalu bermain-main, saya tak rasa kita perlukan pemain macam ini.”

“Kalau kita kalah dalam perlawanan ini, saya berani katakan yang ia adalah salah Aubameyang sepenuhnya dan dia harus bertanggungjawab.”

“Saya betul-betul tak boleh terima, dia tahu diri dia offside, dan dia boleh ketawa ketika gol itu dibatalkan. Betul-betul memalukan, saya semakin benci dengan dia.”

“Aubameyang jahanam dari semua sudut pada hari ini, saya rasa dia langsung tak membantu dan patut keluar sahaja dari padang.”

“Aubameyang antara pemain paling tak berguna dalam perlawanan ini. Kalau kita tak dapat tiga mata memang itu salah dia. Kenapa kita masih ada pemain macam ni?”

Para penyokong selain tidak puas hati dengan sikap Aubameyang yang merompak gol jaringan Martin Odegaard, mereka turut bengang dengan persembahan yang dipersembahkan oleh bintang Gabon itu dalam perlawanan ini.

Beliau pada aksi babak pertama turut melepaskan kesempatan emas untuk menjaringkan gol, dengan mensia-siakan sepakan penalti yang dimenangi oleh Arsenal.

Arsenal dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-35 permainan selepas Danny Rose mengasari Alexandre Lacazette di dalam kotak penalti.

Aubameyang tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut, namun beliau sekadar menendang bola ke bahagian tengah dan Ben Foster sambil ketawa berjaya menyelamatkan sepakan penalti tersebut.

Walau bagaimanapun, mujur saja Arsenal berjaya mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini dan menyelamatkan Aubameyang dari dibantai teruk oleh para penyokong Arsenal.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara pasukan paling berprestasi pada ketika ini, selepas merekodkan 10 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.

Bermula dengan sangat teruk selepas mencatatkan tiga kekalahan dari tiga perlawanan awal liga, Arteta berjaya memimpin Arsenal untuk konsisten mengutip mata demi mata dan kini mereka sedang berada di kelompok lima teratas dalam carta liga.

The Gunners selepas ini akan berkunjung ke Anfield untuk beraksi bertemu Liverpool, dan mereka tentunya mahu mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut, untuk merebut kedudukan empat teratas dalam saingan liga.

Melihat kepada aksi konsisten Arsenal, dan ditambah pula dengan aksi tidak menentu Liverpool, maka tidak akan mengejutkan untuk melihat Arteta akan mampu memimpin anak-anak buahnya untuk membaham The Reds Anfield nanti.

Sumber: Gravity Gunners

BACA:  Martin Odegaard Dedah Alasan Mengapa Beliau Memilih Untuk Sertai Arsenal