Penyokong Brighton Ajak Liverpool Repeat

Penyokong Brighton tidak dapat menahan diri daripada mengusik jiwa Liverpool berikutan kontroversi VAR pada minggu lalu.

Dalam masa yang sama penyokong The Seagulls juga percaya mereka mempunyai sebab tersendiri untuk menuntut perlawanan di antara kedua-dua pasukan pada malam tadi sepatutnya diulang semula.

Brighton mendahului lawannya mereka itu pada minit ke-20 perlawanan selepas Simon Adingra berjaya merampas bola daripada kawalan Alexis Mac Allister sebelum menewaskan Alisson.

Liverpool yang kelihatan goyah selepas itu bernasib baik tidak terus dibocori sebelum dua gol Mohamed Salah pada penghujung babak pertama memberikan kelebihan kepada Liverpool sebelum waktu rehat.

Ancaman daripada Brighton kemudiannya mulai meningkat pada babak kedua, dan skuad kendalian Roberto Di Zerbi dinafikan sepakan penalti walaupun bola jelas terkena tangan Virgil van Dijk.

Separuh daripada pemain Brighton berhenti bermain untuk merayu kepada pengadil, tetapi pengadil menolak permintaan tersebut dengan alasan bola terlebih dahulu terkena paha Van Dijk sebelum melantun terkena tangan pemain itu.

Roberto Di Zerbi pantas menyemak insiden tersebut menggunakan tablet, dan kemudiannya bereaksi dengan penuh kemarahan mempersoalkan keputusan pengadil yang memihak kepada Liverpool.

Di Zerbi kemudiannya dilayangkan kad kuning kerana tindakannya itu. Pada ketika itu penyokong The Seagulls yang berada di stadium sudah mulai melaungkan “Kami mahu perlawanan diadakan semula” – merujuk kepada cadangan Jurgen Klopp selepas kejadian di Stadium Tottenham Hotspur pada minggu lalu.

Dalam perlawanan penuh kontroversi pada minggu lalu, Liverpool dinafikan gol yang sah selepas jaringan Luis Diaz didakwa offside dalam kontroversi terbesar melibatkan VAR.

Brighton bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan melalui Lewis Dunk. Malah Brighton hampir memalukan Liverpool selepas itu. Mujurlah percubaan Joao Pedro dari jarak dekat melambung tinggi.

Liverpool sendiri mempunyai momen kontroversi yang tidak memihak kepada mereka apabila Gross bernasib baik tidak dilayangkan kad merah kerana menarik baju Szoboszlai yang berada dalam situasi terbuka untuk menjaringkan gol.

BACA:  Newcastle lawan Liverpool; Meriah, Nunez Handal, Gordon Sudah Matang Dan Mimpi Ngeri Arnold