Penyokong Liverpool Bengang Dengan Komen Klopp Berkait Hadiah Kemenangan

Para penyokong Liverpool tidak gembira dengan komen Jurgen Klopp tentang duit kemenangan ketika temu bual selepas tamat perlawanan bertemu Atletico Madrid.

Para peminat merasakan yang hal itu berkemungkinan akan menjadi alasan untuk Jurgen Klopp tidak merombak skuadnya untuk aksi baki dua perlawanan dalam saingan Champions League.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu berjaya menewaskan Atletico Madrid yang beraksi dengan 10 orang pemain dengan keputusan 2-0.

Diogo Jota dan Sadio Mane berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini, seterusnya mengesahkan tempat untuk Liverpool mara ke pusingan kalah mati.

Jurgen Klopp telah ditanya sama ada beliau akan membuat pertukaran dalam skuad utamanya untuk aksi bertemu Porto dan AC Milan selepas ini.

Beliau walau bagaimanapun menjawab yang hadiah lumayan dalam saingan Champions League membuatkan dirinya akan terus menurunkan skuad terbaiknya.

“Kamu akan terima banyak duit jika kamu menang perlawanan dalam saingan Champions League! Bukan saya secara peribadi, tapi ia untuk kelab, dan ia sangat penting jadi kami akan lakukan.”

“Sasaran utama adalah untuk melepasi peringkat kumpulan. Tapi kita sudah berjaya lakukan itu dengan baki dua perlawanan lagi. Apa kita boleh buat? Kita akan lihat nanti.”

“Ketika saya lihat pasukan dalam kumpulan, saya tak rasa kami akan lalui empat perlawanan dengan kemenangan, tapi para pemain berjaya melakukannya dan mereka sangat berhak untuk itu.”

Liverpool selepas ini akan beraksi sebanyak sembilan perlawanan dalam tempoh 27 hari dan kerana terdesak mengejar hadiah lumayan, ia mungkin akan menyebabkan Klopp bakal menurunkan skuad terbaiknya dalam semua perlawanan tersebut.

Menang perlawanan dalam saingan Champions League dikatakan akan memberi pulangan bernilai £2.4 juta, sementara kalau seri mereka hanya akan terima £800,000 sahaja.

Walau bagaimanapun, para penyokong Liverpool jelas sekali tidak gembira dengan komen Klopp dan bimbang andai semua pemain utama dikerah, risiko kecederaan akan semakin meningkat.

Segelintir peminat merasakan duit yang dimenangi bukan membantu kelab, sebaliknya ia hanya membantu pemilik kelab untuk terus mengaut keuntungan.

Jendela perpindahan pemain pada musim panas lalu, Liverpool antara pasukan yang paling tidak berbelanja dan ia juga mengundang rasa tidak senang para penyokong.

Jadi tiada guna andai bantu kelab terus dapat keuntungan, tetapi kelab tidak mahu belanjakan untuk menambah baik skuad sedia ada.

Henderson Puji Suarez

Luis Suarez menjadi mangsa kena boo dengan penyokong Liverpool dalam perlawanan ini, dengan Jordan Henderson tampil mempertahankan bekas rakan sepasukannya itu.

Hendo mengakui yang sikap hebat Suarez turut memberi kesan kepada beliau dan rakan sepasukan lain secara peribadi.

“Dia cipta begitu banyak detik hebat di sini dan saya banyak belajar dari dia ketika dia berada di sini.”

Jelas Henderson.

“Saya rasa ketika Luis berada di sini dia merupakan pemain terhebat untuk tempoh beberapa tahun. Dia sungguh menakjubkan dan saya rasa para penyokong juga tahu dan akan menghargai semua yang sudah dia lakukan untuk kelab.”

“Saya banyak belajar, saya rasa dia juga banyak bantu kami ketika di masih bersama Liverpool. Mentaliti antaranya, bagaimana dia menjalani latihan. Dia selalu mahu menang.”

“Dia bermain dan melepasi beberapa hal seperti kesakitan, penderitaan dan semua hal seperti itu. Dia hanya mahu tampil, bermain bola sepak dan lakukan yang terbaik untuk bantu pasukan.”

“Saya memang banyak belajar dari dia ketika dia di sini. Saya rasa dia sangat membantu saya. Kembangkan keyakinan saya sebagai seorang pemain. Saya ada hubungan baik dengan dia di luar padang, dan dalam padang juga kami baik.”

Sementara itu, Suarez turut percaya yang Henderson sudah semakin berkembang dan menjadi ketua yang hebat.

“Saya rasa Henderson, sebagai ketua pasukan, dia sudah cukup matang.”

Jelas Suarez.

“Ketika karier dia, dia telah banyak membantu kelab untuk berkembang, dengan personaliti dia dan aksi hebat dia beraksi.”

“Dia merupakan model contoh untuk bola sepak Inggeris. Memenangi kejuaraan Premier League bersama Liverpool sudah tentu satu hal yang menakjubkan untuk dia, dan itu yang membuatkan dia lebih hebat berbanding diri dia yang sudah memang hebat.”

Liverpool selepas ini akan berkunjung ke London Stadium untuk beraksi bertemu West Ham, dan kemudian mereka akan melayan kunjungan Arsenal ke bumi Anfield pada 20 November nanti.

Liverpool sudah secara rasminya menjadi Juara kumpulan selepas kejayaan mereka mencatatkan empat kemenangan berturut-turut, termasuk dua kali bertemu Atletico Madrid.

Atletico Madrid pada awalnya dianggap lawan paling sukar untuk dihadapi oleh Liverpool, namun mereka berjaya menundukkan anak-anak buah Diego Simeone itu di Wanda Metropolitano dan juga di Anfield.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp Ketawa Besar Usai Ditanya Peluang Liverpool Untuk Bergelar Juara