Pep Guardiola Dedah Punca Bernardo Silva Tak Layak Dapat Ballon D’or

Pep Guardiola menjelaskan tentang sebab mengapa Bernardo Silva tidak akan memenangi anugerah Ballon D’or walau beliau layak untuk membawa pulang hadiah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

Pengurus Man City itu menganggap Bernardo Silva tidak akan membawa pulang bola emas itu kerana beliau tidak berada di media sosial.

Silva merupakan antara pemain paling berprestasi dalam kem Manchester City sepanjang musim ini dan beliau turut menjadi pemain terpenting dalam sistem kendalian Pep Guardiola.

Beliau kerap menjaringkan gol dan turut mencatatkan assists untuk The Citizens baik dalam saingan Premier League, mahupun saingan Champions League.

Setakat ini, beliau sudah berjaya menjaringkan 10 gol dalam semua pertandingan dengan Ze Roberto memuji handalan Portugal itu sebagai pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Guardiola turut menghargai kemuliaan hati legenda Brazil itu yang memuji salah seorang anak buahnya, namun beliau tidak yakin dengan dakwaan tersebut.

Pengurus Man City itu juga percaya yang Bernardo Silva tidak akan memenangi apa-apa anugerah individu kerana beliau tidak berada di media sosial.

Beliau sangat yakin walaupun bintang Portugal itu mampu untuk lakukan segalanya, namun untuk memenangi anugerah individu, seseorang pemain itu perlu berada di media sosial.

Bercakap berkait pujian Ze Roberto ke atas Silva, Pep mendedahkan kepada Sky Sports bahawa:

“Datang dari Ze Roberto, saya suka itu kerana dia merupakan salah seorang pemain yang saya gemari ketika bermain di Jerman. Dia masih pemain yang berkualiti tinggi walau di usia 40 tahun.”

Guardiola kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Saya tak pasti adakah Bernardo merupakan pemain terhebat dunia dan saya tak peduli. Apa yang saya nampak dia merupakan seorang lelaki yang sungguh hebat.”

“Saya rasa seronok bekerja dengan dia. Menyerang dan bertahan, dia boleh lakukan segalanya yang kamu boleh lakukan.”

“Tapi dia tidak akan pernah menang Ballon D’or kerana kamu perlu ada di media sosial, kamu bukan hanya perlu menang, tapi jaringkan banyak gol dan Bernardo tidak ada kualiti itu.”

“Jika satu hari ia akan berlaku, saya sangat bahagia, saya sangat gembira untuk dia sama seperti pemain lain yang kita ada di sini andai mereka menang Ballon D’or satu hari nanti.”

“Saya akan lebih dari bersyukur jika dapat berpengalaman menikmati anugerah itu bersama dia. Bagi saya, sebagai seorang pengurus, dia boleh lakukan apa sahaja.”

Silva sebelum ini hangat dikaitkan dengan bakal meninggalkan Manchester City kerana beliau jarang digunakan pada musim sebelum itu.

Manchester City bahkan turut menawarkan Tottenham Hotspur untuk mendapatkan khidmat Silva dalam usaha mereka untuk mendapatkan Harry Kane.

Namun dek kerana Daniel Levy tidak mahu melepaskan Kane, maka Man City terus menyimpan Silva dan mendaftarkan pemain itu dalam skuad mereka pada musim ini.

Bernardo Silva kemudiannya membuktikan yang dirinya masih lagi pemain terpenting kelab dan telah menjadi nadi utama sebalik kecemerlangan Man City sepanjang musim ini.

Tidak dinafikan lagi yang Bernardo Silva sedang berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini dan kerana itulah beliau dipuji ramai.

Ballon D’or mungkin terlalu besar untuk dikaitkan dengan Silva namun beliau kini berpotensi untuk memenangi anugerah PFA Player of the Year selepas menjadi antara pemain paling berprestasi dalam saingan Premier League musim ini.

Antara pencabar terhebat beliau yang bakal bersaing untuk memenangi anugerah tersebut adalah penyerang Liverpool Mohamed Salah.

Salah juga merupakan antara calon terbaik untuk memenangi anugerah PFA Player of the Year memandangkan beliau sedang berada di tahap persembahan terbaiknya sepanjang musim ini.

Beliau bukan hanya mendahului senarai penjaring terbanyak liga, bahkan Mohamed Salah juga merupakan pendahulu untuk senarai pencatat assists terbanyak Premier League musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Guardiola: Manchester United Masih Berpeluang Menangi Liga Perdana Inggeris