Perancis Dilanda Virus Menjelang Final Piala Dunia Menentang Argentina

skuad perancis

Kem kebangsaan Perancis telah dilanda virus yang bakal menyaksikan duo pertahanan tengah mungkin terlepas aksi final piala dunia menentang Argentina, mengikut sumber yang diperolehi.

Mengikut sumber lagi, pemain pertahanan tengah Raphael Varane yang juga mewakili kelab agung iaitu Manchester United menunjukkan simptom jangkitan virus, manakala duo pertahanan Ibrahima Konate yang juga pemain kelab pelengkap jadual liga, Liverpool dilaporkan tidak meninggalkan bilik kerana berasa tidak sihat.

Pengurus skuad kebangsaan Perancis, Didier Deschamps mengatakan bahawa mereka telah mengambil langkah berjaga-berjaga untuk menghentikan penyebaran virus dikalangan skuad pasukan selepas Dayot Upamecano dan Adrien Rabiot terlepas aksi separuh akhir menentang Morocco disebabkan oleh tidak sihat.

“Di Doha, ada perubahan suhu yang sedikit sejuk, anda perlukan pendingin hawa yang sentiasa berkerja setiap masa,” ujar Didier Deschamps selepas temu bual kemenangan keatas Morocco.

Tambahnya lagi “Kami telah dilanda beberapa kes yang mempunyai simptom seperti demam. Kami cuba ambil langkah berjaga-jaga supaya tidak merebak, dan para pemain telah memberikan usaha yang terbaik semasa beraksi di atas padang, sudah tentu sedikit sebanyak akan menjejaskan sistem anti-bodi para pemain.”

Sumber juga memaklumkan bahawa Dayot Upamecano dan Adrien Rabiot telah pulih sepenuhnya, dan Didier Deschamps menyatakan bahawa mereka sudah cukup cergas untuk dicaturkan di dalam aksi akhir piala dunia menentang Argentina pada ahad ini.

“Dayot Upamecano dijangka cergas. Beliau tidak cergas sepanjang tiga hari, demam yang menyaksikan beliau lesu dan tidak bermaya untuk beraksi” ujar pengurus skuad kebangsaan Perancis, Didier Deschamps.

“Adrien Rabiot telah jatuh sakit, makin pulih menjelang petang tetapi belum pulih sepenuhnya, beliau masih berehat di bilik hotel. Kami mempunyai empat hari untuk berehat, diharapkan beliau sempat sembuh dan boleh beraksi pada Ahad.”

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, ujian demi ujian melanda skuad kebangsaan Perancis selepas pemain bintang Paul Pogba, N’Golo Kante, Karim Benzema, Presnel Kimpembe, Lucas Hernandez dan Christopher Nkunku kesemuanya terlepas aksi perlawanan piala dunia disebabkan dilanda kecederaan.

Manakala dengan nada yakin sang bakal juara, pemain penyerang pasukan Barcelona, Ousmane Dembele mengatakan masalah virus yang melanda skuad kebangsaan Perancis hanyalah ibarat terguris daun sembilu, tidak akan jejaskan persiapan skuad kebangsaan Perancis.

“Kami tidak gentar hadapi virus,” ujar beliau. “Dayot Upamecano dan Adrien Rabiot memulas perut ; saya dah buatkan mereka teh madu halia dan mereka mereka dah semakin pulih. Saya harap semua pemain skuad bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir.”

“Dayot Upamecano dah semakin pulih, dan saya yakin semua orang akan bersedia untuk hadapi perlawanan akhir piala dunia. Kami sudah ambil langkah berjaga-jaga. Hari pertama dilanda virus, Dayot Upamecano berehat di dalam bilik dan kami bawakan makanan kepada beliau. Keesokannya beliau sudah boleh menyertai semua orang.” Mungkin kerana dek berkat teh madu halia bancuhan air tangan pemain bintang tersebut.

Skuad piala dunia Perancis bimbingan Didier Deschamps yang juga terkenal dengan gelaran Les Bleus dalam misi untuk mempertahankan gelaran juara piala dunia, sekaligus menjadi pasukan pertama menjadi juara piala dunia berturut-turut selepas pasukan Brazil pada tahun 1962.

Atau ini adalah petanda awal kekalahan skuad Perancis kepada Argentina. Sekaligus bakal menyaksikan pemain PSG dan legenda hidup Barcelona, Messi menjulang piala agung tersebut dan bakal menamatkan perdebatan siapa pemain terbaik antara beliau dan pemain tanpa kelab, Cristiano Ronaldo yang telah menjadi seteru terdekat.

Apa pun menarik untuk disaksikan pelawanan akhir ini. Jangan lupa untuk menantikan sepak mula pada sabtu ini di restoran mamak terdekat rumah anda.

BACA:  Pogba Buka Mulut Mengenai Isu Beliau Dengan Mourinho