Pogba Buka Mulut Mengenai Isu Beliau Dengan Mourinho

Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Jose Mourinho walaupun sering diletakkan di bangku simpanan sejak kebelakangan ini.

Pemain antarabangsa Perancis ini mengakui beliau berasa agak janggal duduk di bangku simpanan tetapi menegaskan beliau tidak akan sekali-kali mempersoalkan pendekatan yang diambil Mourinho untuk menguruskan pasukan.

Tanyalah Mourinho sendiri mengapa aku duduk kat seat chevrolet ni

Layanan Mourinho terhadap Pogba sejak kebelakangan ini telah menimbulkan spekulasi yang mengatakan bekas pemain Juventus itu bersedia untuk berpindah keluar dari Old Trafford musim panas nanti.

Mourinho didakwa tidak pandai menggunakan kekuatan Pogba yang sebenar dan meletakkan beliau bermain di posisi yang kurang efektik.

Tempat Pogba dalam kesebelasan utama United juga tergugat dengan kehadiran pemain muda Scotland, Scott McTominay yang dipilih untuk mengisi tempat Pogba sepanjang beliau mengalami kecederaan hujung tahun lepas.

Terdapat laporan mengatakan hubungan Pogba dan pengurus pasukan kini berada dalam keadaan tenat, tetapi pemain berusia 25 tahun ini berkata beliau tidak akan mempersoalkan cara Mourinho menguruskan pasukan.

Steady. Lepas ni aku pindah Real madrid

“Benar, saya jarang berada di bangku simpanan. Tetapi pengalaman ini akan menguatkan saya pada masa hadapan. Anda harus melalui pengalaman sebegini untuk menjadi pemain yang lebih kuat.” Ujar Pogba ketika ditemuramah Telefoot.

“Tiada sebarang masalah di antara saya dan Mourinho. Bukan saya yang memilih pasukan untuk bermain. Tanyalah jurulatih mengapa saya kurang bermain. Tetapi saya menghormati pilihan beliau.”

Selepas bergelut untuk menambat hati Mourinho, terdapat spekulasi mengatakan Pogba bakal meninggalkan Manchester United tidak lama lagi.

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane merupakan peminat Pogba dan jika situasi semasa Pogba tidak berubah, perpindahan ke Sepanyol mungkin akan berlaku pada jendela perpindahan yang akan datang.

Walaubagaimanapun, Pogba menegaskan masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perpindahan kerana dalam bolasepak, segalanya boleh berubah dalam sekelip mata.

“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perpindahan keluar daripada Manchester United. Situasi saya mampu berubah.”

Pogba turut ditanya mengenai kenyataan beliau sebelum ini yang mahu bermain bersama Neymar pada masa hadapan. Pogba bersedia untuk bekerjasama dengan pemain terbaik dunia tetapi itu tidak bermakna beliau perlu berpindah keluar dari kelabnya sekarang.

“Neymar ? Saya pernah berkata impian saya adalah untuk bermain dengan beliau, Lionel Messi, atau Cristiano Ronaldo. Tetapi itu tidak bermakna saya perlu menukar kelab.”

Perancis mampu tawan Piala Dunia

Dalam perkembangan lain pula, Pogba berkata fokusnya sekarang adalah untuk memastikan Manchester United mengakhiri musim ini di kedudukan ke-2 dalam Liga Perdana Inggeris disamping menjulang trofi Piala FA.

Selepas itu, sudah tentu fokus Pogba akan terarah kepada kejohanan terbesar bolasepak yang bakal berlangsung di Russia pada musim panas yang akan datang.

“Perancis mempunyai potensi dan pemain yang cukup untuk memenangi Piala Dunia. Kami mempunyai pasukan yang cukup kuat.”

BACA:  Perancis Umum Skuad Rasmi Untuk EURO 2020