Peraturan Bola Tangan Yang Baru Dikemaskini Menyebabkan Itali Terlepas 2 Penalti?

Terdapat satu tafsiran baharu dalam peraturan bola tangan dalam bola sepak dan dalam perlawanan pertama Euro 2020 antara Turki dan Itali semalam telah menjadi asas kepada tiada lagi penalti murahan selepas ini.

Dalam perlawanan tersebut, sebanyak dua kali pemain Itali telah meminta pengadil, Dann Makkelie, untuk menganugerahkan mereka sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan Turki dalam kotak penalti mereka, namun kecewa permintaan mereka tidak diendahkan oleh pengadil dari Belanda tersebut.

Detik bola terkena tangan pemain Turki dalam kotak penalti sendiri. Gambar : SA

Para penonton liga tempatan sudah biasa dengan melihat adegan penalti yang dianugerahkan selepas bola terkena tangan yang diteliti oleh Video Pembantu Pengadil(VAR).

Namun semalam, mereka seakan kembali ke zaman sebelum VAR selepas Makkelie tidak memberikan penalti kepada Itali, bukan sekali, tapi dua kali walaupun selepas diteliti VAR.

Dikatakan tindakan Makkelie tersebut kerana mengikuti undang-undang baharu FIFA berkenaan bola tangan yang baru dikemaskini.

Apakah perubahan peraturan tersebut?

Sebelum kita tengok kemaskini peraturan baru tu, kita kaji dulu apakah bola tangan atau yang selalu kita sebut handball.

Syarat sah bola tangan adalah apabila bola terkena tangan, dari hujung jari sehingga ke lengan.

Kalau bola terkena kaki, lutut, dada, bahu, telinga, pinggang atau tulang selangka, itu tidak dikira bola tangan.

Kelakar tak?

Dalam kemaskini yang baru dikeluarkan oleh IFAB dan korang boleh baca di sini, peraturan baharu ini lebih kepada situasi sengaja vs tidak sengaja (deliberate vs non-deliberate).

Dalam bahasa mudah, sengaja ni seseorang pemain itu sengaja menghulur tangan ke arah bola, kecualilah kalau pemain tu penjaga gol. Tapi kalau penjaga gol ni pegang bola di luar kotak penalti sendiri, itu dikira bola tangan juga.

Syarat kedua sengaja bola tangan ini adalah apabila tangan dijarakkan daripada badan sehingga membuatkan badan lebih besar daripada biasa.

Tiada bantahan la di situ. Contoh bola tangan paling terkenal adalah bilamana Luis Suarez mempertahankan golnya daripada dibolosi Ghana pada minit terakhir masa tambahan dalam pusingan suku akhir Piala Dunia 2010.

Dia dilayangkan kad merah dan Ghana dihadiahkan tendangan penalti, namun sepakan Asamoah Gyan sekadar menggegar palang. Uruguay muncul pemenang selepas penentuan sepakan penalti.

Contoh tak sengaja ni macam bukan sengaja aku merahsiakan cinta, tapi curiga kau kan tersalah sangka kerana kita rasa bangga bila dipuja dan rasa keji bila dihina. Kerana kita menolak segala bencana, dan asyik bergembira dengan nikmatnya sedangkan semua ini adalah takdirnya dan kita harus bersyukur sentiasa.

Kenapa kau nyanyi sekali?

Tak sengaja ni bermaksud pemain tidak menghulurkan tangan ke arah bola tapi bola tetap hinggap di tangan dia, dan secara mendalamnya, ada beberapa syarat sah untuk bola terkena tangan tetapi dikira tidak sengaja.

1- Walaupun tangan didepakan, atau dijarakkan daripada badan, tetapi tujuan utamanya adalah untuk menyokong kestabilan badan. Contohnya ketika kita melompat, kita akan menguakkan sedikit tangan untuk membolehkan badan kita seimbang.

Tak ada dalam sejarah orang lompat nak tanduk bola sambil tangan di depan macam gaya kumpulan nasyid.

Ataupun, tangan dijarakkan daripada badan ketika kita nak jatuh tersembam ke padang.

2- Tangan sudah dirapatkan ke badan, tapi bola tetap hinggap ke tangan. Contohnya ketika kita berada di benteng berhadapan dengan tendangan percuma lawan, pasti kita meletakkan tangan di dada untuk melindungi hentakan ke jantung, dan sebelah tangan lagi di bahagian telur – untuk mengelakkan kejadian senak yang amat.

3- Tatkala bola disepak, tangan kita sedang didepakan keluar, tetapi kita dengan sedaya upaya cuba menarik tangan tu rapat ke bahagian badan untuk mengelakkan daripada terkena bola.

Ingat, alihkan tangan ketika bola disepak tau, bukan alihkan tangan selepas bola terkena tangan. Selalunya yang kita nampak macam ni lah.

4- Tangan didepakan jauh daripada badan, tetapi bola hinggap ke tangan dalam keadaan yang tidak dijangka.

Contohnya kita angkat tangan sambil menunjukan arah ke arah hantaran bola kepada kawan kita. Tapi, punyalah pengkau kaki dia tu, sepak bola tak semena-mena terkena tangan kita.

Jika salah satu daripada syarat ini dipenuhi, maka bola yang terkena tangan akan dikira sebagai tidak sengaja, dan perlawanan akan disambung seperti biasa.

Tak guna korang pergi minta penalti dengan pengadil. Silap-silap nanti korang dapat kad kuning sebab banyak bunyi.

Lagi satu, kemaskini peraturan yang baharu ini akan menafikan sebarang gol yang dijaringkan dengan menggunakan tangan oleh pemain yang menyerang sama ada sengaja atau tidak sengaja.

Sengaja ni macam biasalah, pergi hulur tangan lepas tu bola terus masuk gol, seperti gol yang dijaringkan oleh Maradona suatu ketika dahulu tu.

Tak sengaja pula bermaksud orang lain sepak bola lalu terkena tangan kita, dan bola masuk ke dalam gol. Maka gol-gol seperti ini tidak akan dikira.

Akan tetapi, macam mana kalau bola terkena tangan pemain lain, lepas tu dapat ke kita lalu kita jaringkan gol?

Dalam hal ini juga ada dua keputusan yang berbeda.

1- Bola terkena tangan rakan sepasukan kita dengan tak sengaja dalam kotak penalti lawan, lalu bola muntah ke depan kita lalu kita memejam mata dan merembat deras dan bola dengan lajunya menerobos gawang lawan. Jarak masa daripada detik bola terkena tangan dan gol dijaringkan tu tak sampai dua saat pun – maka gol ini tidak dikira dan pihak lawan akan dihadiahkan tendangan percuma.

2- Bola terkena tangan rakan sepasukan kita dengan tidak sengaja dalam kotak penalti lawan, atau di luar kotak penalti, tetapi kita perlu menggelecek dulu bola tu selama beberapa saat sebelum kita chip bola tu lalu bola masuk ke gol lawan.

Dalam situasi ini bola tangan tersebut dikira tidak sengaja dan gol yang kita jaringkan tu dikira sah.

Perbezaan antara situasi (1) dan (2) tu adalah, situasi (1) menyebabkan pasukan kita mempunyai kelebihan yang nyata tanpa sempat dicabar oleh pihak lawan, manakala situasi (2) pula, pihak lawan masih sempat mencabar bola untuk mengelakkan gol daripada dihasilkan.

Pada musim lalu, berlaku situasi (2) di mana Josh Maja telah menjaringkan selepas bola terkena tangan Mario Lemina ketika pertemuan Liga Perdana Inggeris antara Fulham dan Tottenham Hotspur.

Selepas diteliti VAR, gol tersebut tidak dikira dan Fulham tewas perlawanan tersebut, lalu menyambung perdebatan hangat tentang peraturan bola tangan yang sudah sedia dicabar oleh para jurulatih.

Untuk lebih mendalam, korang baca sendirilah kat IFAB ni. Dalam link tu siap ada slide dan juga contoh-contoh bervideo untuk kesalahan bola tangan.

Itu adalah kemaskini yang terbaharu oleh IFAB tentang peraturan bola terkena tangan dan nampaknya sudah mula digunakan dalam kempen Euro pagi tadi.

Cuma persoalannya adalah, peraturan ini hanya mula berkuatkuasa 1 Julai 2021. Semalam baru berapa haribulan?

Jadi?

Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri. *musik seram dimainkan*.

BACA:  Jika Yugoslavia Masih Wujud, Mampukah Mereka Memenangi Euro 2020?