Lima Pemain Yang Tidak Dikenali Ramai Yang Menggegar Minggu Pertama Euro 2020

Selepas perlawanan Perancis menetang Jerman semalam, secara keseluruhannya kesemua pasukan sudahpun bermain perlawanan pertama masing-masing di peringkat kumpulan.

Daripada perlawanan-perlawanan tersebut, kita boleh saksikan pemain bernama besar yang betul-betul menyerlah dan membawa kejayaan kepada negara masing-masing, dan pada masa yang sama terdapat juga beberapa nama yang mungkin tidak berapa dikenali ramai, terutamanya peminat bola sepak di Malaysia yang lebih terdedah kepada Liga Perdana Inggeris.

Berikut adalah lima pemain yang tidak berapa terkenal, tetapi tiba-tiba muncul cemerlang dalam perlawanan pertama negara masing-masing. Daripada nama-nama ini mungkin ada yang kenal menerusi platform permainan Football Manager.

Domenico Berardi – Itali

Berardi adalah watak penting buat pasukan Itali dalam perlawanan pembukaan Euro menentang Turki. Kalau kita tengok dalam perlawanan tu, kebanyakan ancaman Itali hadir dari sebelah kiri mereka menerusi bek kiri Leonardo Spinazzola dan Lorenzo Insigne.

Akan tetapi kreativiti daripada sayap kanan,Berardi, terutamanya hantaran lintang bahayanya telah membawa kepada gol pendahuluan mereka selepas Merih Demiral tertampan bola tersebut ke gawang sendiri telah mencuri perhatian ramai.

Prestasi Berardi sepanjang musim 2020-21 dalam Serie A. Gambar : Athletic

Sepanjang perlawanan, Berardi tidak henti-henti mencuba masuk ke dalam kawasan bahaya Turki dan menjadi penggerak dalam penghasilan gol-golt Itali yang lain dalam perlawanan tersebut.

Berardi yang setakat ini bermain untuk Sassuolo sejak berusia 16 tahun, telah merekodkan jumlah jaringan yang membanggakan dalam kempen Serie A dengan 17 gol dalam 30 perlawanan.

Selain itu, dia juga turut mencatatkan nama dalam rekod assist sebanyak tujuh kali, sekaligus menarik minat gergasi Itali, AC Milan dan Juventus, untuk membelinya.

Melalui profil smartscout  seperti yang dikongsi oleh The Athletic, Berardi ternyata sangat berbahaya dalam membawa bola ke hadapan, ditambah dengan visi dan ketepatan hantarannya membuatkan dia mampu untuk meletakkan bola di dalam kawasan bahaya lawan, dengan rekod kejayaan sebanyak 90 peratus.

Okay Yokuslu – Turki

Walaupun West Bromwich Albion gagal mengekalkan status mereka sebagai pasukan Liga Perdana Inggeris untuk musim baru nanti, ada beberapa perkara positif daripada pasukan tersebut sepanjang musim.

Antaranya ialah ancaman serangan daripada Matheus Pereira dan juga prestasi cemerlang pemain pinjaman, Okay Yokuslu.

Yokuslu menjadi tunjang atau dalam bahasa bola sepak, anchor buat pasukan Turki ketika mereka tewas kepada Itali pada hari Jumaat, walaupun mereka sebenarnya dilanyak oleh Azzuri, pemain berusia 27 tahun bakal menjadi watak utama untuk meloloskan Turki ke peringkat kalah mati.

Profil smartscout Yokuslu menunjukkan bahawa pemain ini cukup bagus bila bertahan. Gambar : The Athletic.

Di atas padang, fungsi utama Yokuslu adalah menjadi pelindung kepada pemain tengah Turki yang lain, dan membenarkan mereka mara ke hadapan melakukan serangan.

Bagi orang yang tidak berapa faham pergerakan pemain, Yokuslu ni mungkin nampak macam tak ada peranan, tapi dalam gambar di bawah, kedudukannya yang selalu berada di depan barisan pertahanan menjadi kunci dalam mematahkan serangan lawan.

Ketika pemain Itali itu memilih untuk memasukkan bola ke bahagian tengah, Yokuslu sudah sedia menanti dan berjaya membaca gerakan Insigne, sekaligus mematahkan serangannya.

Yokuslu patahkan serangan Itali. Gambar : The Athletic

Kehadiran Yokuslu sebagai pelindung pertahanan ini sebenarnya telah membantu Turki ketika kempen kelayakan di mana mereka hanya bolos tiga gol sahaja. Perlawanan menentang Wales dan Switzerland nanti bakal menentukan hala tuju Turki dalam Euro kali ini.

Kieffer Moore – Wales

Moore muncul wira pasukan Wales  ketika pasukan mereka bangkit untuk mengikat pasukan Switzerland pada hari Sabtu lalu. Dalam sebahagian besar permainan, dia dilihat agak terasing dan jarang menerima bola, tetapi menggunakan kelebihan ketinggannya apabila menanduk masuk bola ke gawang Switzerland pada minit ke-74.

Selepas tendangan sudut yang singkat kepada Joe Morrell, Moore menjarakkan diri daripada penjaganya ke ruang yang kosong.

Perjalanan karier Moore sehingga ke pentas tertinggi Eropah ini bukanlah mudah, dan apabila mendapat peluang, Moore tidak sia-siakannya. Walaupun telah menjaringkan gol buat negaranya di Euro, Moore tidak pernah bermain di divisyen tertinggi dalam piramid bola sepak di England.

Dalam kempen liga musim lalu bersama Cardiff City, Moore telah menjaringkan 20 gol dengan 16 daripadanya bukan daripada penalti, dalam 42 penampilan liga. Kekuatan Moore memang terletak di sekitar dalam kotak penalti lawan di mana dia bijak menggunakan ketinggiannya – 6 kaki 5 inci (198cm).

Dalam carta smarterscout di bawah, memang jelas bahawa kekuatan utama pemain ini adalah perebutan bola di udara.

Kelebihan ini secara umumnya bakal memperkuatkan cabaran Wales dalam perlawanan selepas ini kerana biasanya dalam pertandigan kejohanan sebesar ini, pasukan lawan akan mengamalkan taktik bertahan dan ruang untuk melakukan gerakan sangatlah sedikit.

Denzel Dumfries – Belanda

Perlawanan antara Belanda dan Ukraine setakat ini boleh diangkat sebagai perlawanan yang paling menghiburkan, di mana Ukraine bangkit menyamakan kedudukan kepada 2-2 selepas ketinggalan dua gol.

Pada hujung perlawanan, Dumfries muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan Oranje. Dia yang banyak berfungsi sebagai wing-back dalam formasi 3-5-2 Frank de Boer, bermain di kawasan yang cukup tinggi daripada kotak penaltinya.

Serangan yang dijana pemain ini telah berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Ukraine, dan hantarannya kepada kapten Grorginio Wijnaldum pada separuh masa pertama, disudahi dengan gol yang cantik.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Dumfries melakukan larian di titik buta bek kiri Ukraine, Oleksandr Zinchenko, lantas menyambut baik hantaran bola daripada Nathan Ake.

Hantaran daripada Ake disudahkan oleh Dumfries. Gambar : The Athletic

Melihat kepada profil smartscout pemain ini, kita boleh nampak bahawa dia boleh menjadi bintang di masa depan. Kekuatannya dalam bertahan, disulami dengan kemampuannya untuk menyokong serangan, menjadikan pemain ini salah seorang pemain wing back yang berkualiti.

Dumfries sangat bagus ketika bertahan dan menyerang. Gambar : The Athletic

Ada ura-ura yang mengatakan bahawa Everton berminat untuk membawa pemain ini ke Goodison Park, namun pada masa yang sama, Arsenal juga turut berminat untuk mendapatkan pemain ini sebagai pengganti kepada Hector Bellerin.

Ondrej Duda – Slovakia

Duda merupakan watak penting ketika Slovakia menewaskan Poland pada hari Isnin lalu. Walaupun banyak bermain sebagai penyerang, Duda bukanlah jenis yang suka menempel dengan pertahanan lawan.

Dia lebih banyak bermain di posisi nombor 10 atau penyerang kedua, berbanding nombor 9. Pada masa yang sama,dia juga boleh bermain sebagai pemain tengah menyerang dengan baik, dan inilah yang dilakukannya ketika bertemu Poland.

Duda turun ke bawah, dan mengatur gerakan kepada rakan sepasukan. Gambar : The Athletic

Dalam perlawanan tersebut, Duda banyak turun ke bawah untuk mendapatkan bola, lantas membuka ruang kepada rakannya melakukan larian dan menerima hantaran daripada Duda.

Profil smartscout Duda menunjukkan dia juga bagus dalam merampas bola daripada lawan. Gambar : The Athletic

Daripada profil smartscout  di atas, kita boleh simpulkan bahawa Duda banyak kali mengutip bola di zon tengah, dan memotong hantaran pasukan lawan dengan bacaan perlawanan yang bagus – 97 peratus penguasaan semula bola daripada lawan.

Dalam bahasa yang mudah, Duda ni boleh dikatakan pemain yang mirip dengan penyerang Brazil dan Liverpool, Roberto Firmino – pemain yang rajin membantu barisan tengah, tetapi tidak akan menjaringkan 20 gol semusim.

BACA:  5 Pemain Yang Mungkin Berpindah Kelab Lebih Besar Selepas Cemerlang Dalam Euro 2020