5 Pemain Yang Mungkin Berpindah Kelab Lebih Besar Selepas Cemerlang Dalam Euro 2020

Kejohanan bola sepak utama di dunia sering menampilkan bakat luar biasa daripada para pemain yang tidak dikenali sekaligus membolehkan pemain tersebut dapat berhijrah ke kelab baharu yang lebih gah dan lebih berprestij.

Contohnya selepas Euro 1996, Manchester United telah membeli bintang Republik Czech, Karel Poborsky dan dek aksi cemerlang James Rodriguez dalam Piala Dunia 2014, Real Madrid dengan segera menyambar khidmat pemain tengah menyerang ini.

Euro 2020 tidak terkecuali di mana kita dapat saksikan bagaimana pemain kurang ternama turun dan mempamerkan aksi penuh lincah dan bertenaga, dan mungkin menyebabkan mereka dilamar kelab yang lebih besar dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Mikkel Damsgaard (Sampdoria, Denmark)

Bagi mereka yang tidak berapa layan Serie A, memang tak akan kenal pemain ini. Akan tetapi pemain yang mempunyai teknik yang bagus ini sudahpun mula dikesan oleh para scouts dari kelab di seluruh Eropah selepas dia cemerlang dalam musim pertamanya di Itali.

Bagus bersama bola, laju dan lincah, boleh menyepak bola dengan kedua-dua kaki dan mampu menjaringkan gol dari jarak jauh – dan ini terbukti ketika dia menjaringkan gol pertama Denmark dalam perlawanan separuh akhir menentang England.

Kekuatan utama pemain ini adalah di dalam zon ketiga (zon serangan) di mana dia sering melakukan gelecekan melepasi lawan dan membuat hantaran berbahaya.

Walaupun sering diturunkan sebagai pemain sayap kiri oleh pengurus Sampdoria, Claudio Ranieri, Daamsgard juga cukup selesa bermain di posisi nombor 8. Presiden Sampdoria telah menegaskan bahawa pemain ini akan kekal di kelab tersebut, tetapi mungkin akan mengubah fikiran jika menerima tawaran bernilai €30 juta.

Alexander Isak (Real Sociedad, Sweden)

Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol dalam kejohanan, penyerang tengah ini menunjukkan kematangan secara keseluruhannya. Bermain di posisi poacher Isak telah menjaringkan 33 gol dalam 89 perlawanan buat kelab. Tak banyak, kan?

Tapi dia ada fungsi dia sendiri.

Pemain ini sering kali berada dekat dengan pertahanan lawan dan mampu menggelecek bola dengan baik ketika serangan balas, selain menunjukkan kelebihannya ketika mengawal bola.

Mula muncul di persada bola sepak professional pada usia 16 tahun bersama AIK, Isak telah menyertai kelab Jerman, Borussia Dortmund pada tahun 2017. Bersama kelab tersebut, dia gagal memberikan impak seperti yang diharapkan tetapi dia tetap berada dalam radar kelab-kelab besar eropah.

Dalam kempen Euro, dia tampil cukup tenang mengawal permainan dalam perlawanan penting, meskipun usianya baru sahaja 21 tahun. Baru-baru ini dia baru sahaja menandatangani kontrak baharu bersama Sociedad dengan klausa perlepasan sebanyak €70juta.

Patrik Schick (Bayer Leverkusen, Republik Czech)

Selepas empat tahun menuggu, akhirnya penantian para scouts untuk melihat aksinya di tahap sebenar tercapai. Selepas menunjukkan tanda-tanda bintang di awal penampilannya selepas muncul sebagai pemain yang menyerlah pada usia belasan tahu di Sampdoria pada 2016, Schick telah melalui fasa yang tidak berapa seronok selepas hanya menjaringkan lapan gol dalam 58 perlawanan.

Dia mula mendapat sinar yang baru ketika dipinjamkan ke RB Leipzig dari AS Roma, yang kemudian membolehkannya berpindah ke Jerman secara kekal dengan menyertai Bayer Leverkusen pada harga €26.5 juta pada bulan September 2020.

Dalam Euro 2020, Schick menunjukkan betapa dia mempunyai naluri ketajaman di hadapan gol. Dia telah membuka akaun jaringannya dalam kejohanan tersebut ketika menentang Scotland, menerusi satu tandukan padu dari dalam kotak penalti, sebelum melakukan rembatan dari tengah padang melemaskan penjaga gol lawan sekaligus menjadi antara gol paling cantik dalam Euro 2020.

Secara keseluruhan, dia telah menjaringkan lima gol dalam kejohanan, sama banyak dengan Ronaldo yang memenangi anugerah kasut emas kerana mempunyai kelebihan pada jumlah assist.

Dia boleh dikatakan sebagai penyerang yang lengkap dan pada usia 25 tahun dan bermain di Jerman, maka mungkin dia akan menyertai Bayern Munich sebagai pengganti Robert Lewandowski yang semakin tidak muda.

Joakim Maehle (Atalanta, Denmark)

Penampilan yang menakjubkan sepanjang kempen membuktikan kenapa Atalanta sanggup berbelanja sebanyak €12 juta untuk mendapatkan pemain ini dari Genk pada bulan Januari lalu dan pastinya kelab dari Itali, Jerman dan Perancis berasa menyesal kerana tidak sudi berbelanja lebih untuk mendapatkan Maehle.

Dalam Euro, dia mencuri tumpuan dengan dua jaringan gol, kecekapannya dalam membawa bola ke hadapan dan kemampuannya untuk melakukan hantaran lintang tepat dari posisi bek sayap telah membuatkan banyak pihak terpegun.

Pun begitu, dia masih perlu berebut tempat di bek sayap di Atalanta daripada Robin Gosens dan Hans Hateboer, tetapi dengan beberapa kelab dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya, perpindahan akan berlaku jika Atalanta dibayar €50 juta.

Dani Olmo (RB Leipzig, Sepanyol)

Ketika banyak mata tertumpu kepada pemain muda terbaik kejohanan si Pedri, sumbangan Dani Olmo dalam pasukan Sepanyol sememangnya bukan kaleng-kaleng di mana dia tampil konsisten sejak daripada perlawanan pertama dia masuk ke padang.

Bukan sahaja melakukan dua hantaran cantik ketika Sepanyol menewaskan Croatia, dia menjadi pusat serangan ketika bermain di posisi false 9 sebelum Alvaro Morata dimasukkan ketika bertemu Itali di separuh akhir.

Kemampuannya dalam menukar kelajuan ketika bersama bola atau tidak, dan mampu melakukan percubaan tepat dari dalam dan luar kotak penalti, memang sukar untuk menyekat pemain ini daripada mengganggu pertahanan lawan.

Lahir daripada Akademi La Masia di Barcelona, dia telah menyertai kelab Croatia, Dinamo Zagreb pada usia 16 tahun untuk memulakan karier professionalnya.

Kini selepas perpindahan bernilai €30 juta ke RB Leipzig pada tahun 2020, dia mula menunjukkan bahawa dia adalah pemain yang luar biasa. Dengan khabar angin yang bertiup bahawa pemain ini sedang diintai oleh kelab gergasi Eropah, perpindahan bernilai €75 juta mungkin akan berlaku pada musim panas ini.

Sumber rujukan : ESPN

BACA:  Inilah Pesanan Berjiwa Liverpool Trent Alexander Arnold Selepas Dipilih Southgate