Perbincangan Untuk Membawa Courtois Ke Real Madrid Terhenti Kerana Chelsea Mahu Cari Pengganti Terlebih Dahulu

Chelsea tidak akan menyambung perbincangan dengan Real Madrid mengenai perpindahan Thibaut Courtois selagi The Blues belum menjumpai pengganti terbaik untuk mengisi posisi penjaga gol utama.

Menurut sumber Sky Sports, Courtois secara lisan telah diberikan lampu hijau untuk berpindah pada tirai perpindahan musim panas ini, dengan Real Madrid merupakan pilihan utama beliau.

Courtois kini memasuki tahun terakhir dalam kontraknya di Stamford Bridge

Seperti semua sedia maklum, Courtois tanpa segan silu menyatakan niatnya untuk kembali beraksi di Sepanyol bagi membolehkan beliau berada dekat dengan dua anaknya. Kedua-dua anak Courtois kini tinggal di ibu kota Madrid di bawah jagaan bekas teman wanita beliau merangkap ibu kepada anak-anak Courtois.

Walau bagaimanapun, Courtois mungkin terpaksa menangguhkan hajatnya kerana Chelsea masih lagi belum mengenal pasti penjaga gol yang sesuai untuk menggantikan tempat Courtois dalam kesebelasan utama.

Minggu lalu, Sky Sports melaporkan Chelsea akan menyasarkan penjaga gol No.1 England, Jordan Pickford untuk menggantikan Courtois tetapi Pickford dijangka bakal menandatangani kontrak baru bersama Everton sebaik sahaja pulang dari cuti musim panasnya.

Courtois terdesak untuk berpindah ke Sepanyol untuk berada dekat dengan anak-anaknya

Courtois bakal memasuki tahun terakhir dalam kontraknya dan kini dinilai Real Madrid pada harga £32 juta. Chelsea berdepan kemungkinan kehilangan khidmat Courtois secara percuma tahun hadapan sekiranya mereka gagal membawa masuk penjaga gol baru pada jendela perpindahan kali ini.

Courtois dijangka tidak akan menandatangani kontrak baru bersama Chelsea dan bersedia untuk bermain semusim lagi di Stamford Bridge sebelum berpindah secara percuma ke Real Madrid tahun hadapan.

Sebelum ini, bekas penjaga gol Atletico Madrid ini pernah berkata beliau sentiasa ‘terbuka’ untuk berbincang dengan mana-mana pihak, termasuklah menandatangani kontrak baru dengan Chelsea.

Pengurus baru Chelsea, Maurizio Sarri dipetik berkata beliau mahu terlebih dahulu berbincang dengan Courtois sebelum mengambil keputusan mengenai siapa yang bakal menjaga gawang The  Blues musim ini.

Jordan Pickford jadi sasaran Chelsea sekiranya Courtois berpindah

Chelsea baru sahaja menandatangani penjaga gol veteran England, Rob Green sebagai penjaga gol ke-3. Kemasukan Green juga adalah untuk memenuhi syarat bilangan pemain ‘Homegrown’ dalam skuad Chelsea seperti yang ditetapkan oleh pihak FA England.

Selain itu, Chelsea juga mempunyai Willy Caballero tetapi penjaga gol antarabangsa Argentina ini dijangka bertindak sebagai penjaga gol ke-2 pasukan sahaja.

BACA:  Chelsea Dihentam Kerana Meraikan Piala Tak Berguna Secara Berlebih-lebihan