Pertama Kali Dalam Sejarah Jerman, Perlawanan Bola Sepak Ditangguhkan Kerana Gangguan Berunsur Perkauman

Buat pertama kali dalam sejarah bola sepak Jerman, yang mana satu perlawanan bola sepak profesional terpaksa dihentikan selepas ada gangguan berunsur perkauman dari penyokong.

Osnabruck berkunjung ke Duisburg untuk aksi dalam saingan division ketiga saingan Liga Jerman dengan perlawanan tersebut terpaksa dihentikan selepas ada gangguan dari para penyokong.

Pemain dari pasukan pelawat, Aaron Opoku telah menerima gangguan berunsur perkauman yang agak teruk dari sekumpulan penyokong pasukan tuan rumah yang ada di dalam stadium.

Pengadil perlawanan, Nicolas Winter telah menghentikan permainan pada minit ke-35 perlawanan selepas mendengar dengan jelas chanting berunsur hinaan dari tempat duduk para penyokong.

Para pemain dari kedua-dua pasukan kemudiannya memilih untuk meninggalkan padang, dengan para penyokong lain dalam stadium di MSV-Arena turut sama menghentam kumpulan penyokong (monyet) tersebut.

Seluruh stadium menjerit “Nazi’s out” berulang kali tanda memberi solidariti kepada Opoku yang ketika itu sudah masuk ke bilik persalinan.

Selepas 15 minit perlawanan dihentikan, pengadil akhirnya memutuskan untuk menangguhkan terus aksi pertemuan antara kedua-dua pasukan itu.

“Perlawanan dikira sudah tamat selepas VrL Osnabruck tidak lagi mahu meneruskan permainan.”

Tulis Duisburg di laman media sosial mereka.

“Kami sepenuhnya memahami situasi ini. Petang yang suram untuk dunia bola sepak.”

Akaun media sosial Osnabruck turut memuat naik status dengan menyatakan:

“Perlawanan terpaksa dihentikan. Opoku telah menjadi mangsa hinaan. Susah nak difahami. Aaron, kami sentiasa teguh dibelakang kamu!”

Opoku sendiri kemudiannya turut memberi komen terhadap insiden tersebut dengan beliau menyatakan bahawa:

“Tidak meneruskan perlawanan merupakan hal yang sangat penting sebagai tanda untuk semua orang yang pernah rasa diri mereka didiskriminasi.”

Chief executive Osnabruck, Michael Welling selepas tamat perlawanan telah mengesahkan yang skuad telah memutuskan untuk tidak meneruskan permainan sebagai tanda sokongan kepada Opoku.

“Aaron tidak berada di posisi yang membolehkan dia untuk teruskan permainan selepas insiden itu. Dia tak boleh teruskan, tidak walaupun dia mahu.”

Jelas Welling.

“Pasukan sepakat untuk menunjukkan solidariti untuk dia.”

“Kami tidak mahu hanya mencetak T-shirt anti-perkauman atau hanya melaungkan slogan.”

“Jika kamu benar-benar mahu mengambil serious isu ini, maka kamu perlu bertindak sewajarnya.”

Tambah Welling lagi.

Kumpulan penyokong yang bertanggungjawab ke atas gangguan tersebut telah dikenal pasti, dengan penyokong lain yang duduk sekitar mereka menangkap golongan tidak berakal tersebut.

Penyokong-penyokong tidak bertamadun itu semuanya kemudian telah diserahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan yang lebih lanjut.

Presiden kelab Duisburg, Ingo Wald pula menyatakan yang penyokong pasukan tuan rumah telah melakukan tindakan yang tepat dalam membantu menangkap pelaku.

“Selalunya golongan ini sangat minoriti, tapi golongan minoriti inilah yang boleh memusnahkan bola sepak.”

Jelas Wald kepada MagentaSport.

“Setiap penyokong perlu memastikan yang hal ini tidak akan berlaku lagi.”

Tindakan dari kedua-dua pasukan tersangatlah tepat dan layak untuk dipuji kerana mereka telah melakukan tindakan paling wajar dalam usaha untuk menentang penindasan dalam dunia bola sepak.

Bak kata Welling, cetak T-shirt sahaja tidak cukup untuk menentang isu perkauman dalam dunia bola sepak, dan setiap individu perlu berganding bahu dalam menentang hal tidak bermoral ini.

Menghentikan perlawanan sebenarnya keputusan yang tepat agar penyokong lain bakal tidak akan mengulangi kesalahan itu kerana mereka akan dimaki oleh penonton lain yang datang mahu menonton perlawanan tapi terganggu dek kerana kebodohan mereka.

Tindakan yang tegas juga perlu diambil ke atas kesemua penyokong tidak berakal ini agar boleh dijadikan pengajaran kepada mereka yang ada mentaliti serta sikap yang sama.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Reus: Setiap Pemain Bolasepak Ada Pasang Surut, Kecuali Ronaldo & Messi