Petr Cech Kini Bintang Hoki Ais, Raih MOTM Selepas Selamatkan 62 Percubaan Dalam Satu Perlawanan

Petr Cech bukanlah nama yang asing dalam mencipta statistik luar biasa ketika masih bergelar penjaga gol aktif terutama Premier League.

Dan jika dahulu bekas penjaga gol antarabangsa Republik Czech ini mencipta nama di lapangan hijau, Cech kini tetap masih kekal berbisa di hadapan gawang – di dalam sukan hoki ais bersama kelab Oxford City Star.

Ketika membintangi Chelsea dan Arsenal, Cech pernah meraih empat kejuaraan Premier League, empat kejuaraan Piala FA dan satu medal UEFA Champions League pada 2012.

Dan sejak bersara sebagai pemain bola sepak profesional, Cech menceburkan diri di sukan hoki ais, dan prestasi yang ditampilkannya pada usia 41 tahun masih lagi membuatkan ramai kagum.

Malah ketika membantu Oxford City menewaskan Streatham baru-baru ini, Cech menampilkan 62 aksi menyelamat untuk menewaskan lawan mereka itu 3-2 sekaligus diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Pihak kelab turut mengucapkan tahniah atas pencapaian dan prestasi luar biasa penjaga gol itu di media sosial dengan mesej: “INILAH PEMAIN BINTANG PERLAWANAN INI…. ia bolej jadi pemain lain, tetapi dengan 62 aksi menyelamat daripada 64 percubaan ia sah milik pemain No.29 PETR CECH.”

Sebenarnya ini adalah kali kedua Cech dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, selain ketika melakukan penampilan pertamanya untuk kelab itu sebelum ini.

Oxford City adalah kelab hoki ais ketiga yang disertai oleh Cech, selepas turut pernah beraksi untuk Guilford Phoenix pada 2019, beberapa bulan selepas bersara daripada bola sepak.

Selepas membantu Phoneix menjuarai treble pada 2022, Cech kemudian menyertai kelab Division 1 Chemlmsfotd Chieftains sebelum menyertai Oxford City pada Jun tahun ini.

Ketangkasan Cech sebagai penjaga gol di dalam cabang sukan berlainan tidak mengejutkan. Ketika beraksi di Liga Inggeris Cech melakukan 633 penampilan dan memenangi 14 kejuaraan utama.

Sehingga kini Cech masih memegang rekod sebagai penjaga gol yang memiliki rekod clean sheet terbanyak di dalam sejarah Premier League sebanyak 202 perlawanan.

Sepanjang tempoh itu Petr Cech turut pernah memenangi anugerah sarung tangan emas Premier League sebanyak empat kali dan kekal sebagai satu-satunya penjaga gol yang pernah memenanginya bersama dua kelab berbeza.

Selepas bersara dan berehat sebentar daripada sukan hoki ais, Cech juga pernah kembali ke Chelsea sebagai Pengarah Prestasi kelab, selain turut pernah didaftarkan kembali sebagai penjaga gol. Pada ketika itu Cech sempat melakukan penampilan bersama skuad B-23 kelab itu.

Cech meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas lalu setelah kelab itu diambil alih oleh Todd Bohely.

BACA:  Conte: Tiada Lagi Sengketa Antara Saya Dan Mourinho