Phil Jones Tak Mahu Lepaskan Nombor 4 Miliknya Kepada Varane

Pemain centre-back Manchester United, Phil Jones menolak untuk memberikan nombor empat yang beliau pakai, untuk diberikan kepada penandatanganan baru kelab, Raphael Varane.

Varane telah melengkapkan perpindahannya dari Real Madrid ke Manchester United pada jendela perpindahan musim panas ini.

Kedua-dua kelab sudah mencapai kata sepakat sejak beberapa minggu lalu, namun ada sedikit masalah yang menyebabkan pengumuman rasmi berkait berita penandatanganan Varane agak terlewat untuk diumumkan.

Sebelum aksi perlawanan pembukaan saingan Premier League musim ini, Manchester United telah mengumumkan Varane sebagai pemain mereka secara rasminya.

Varane masuk ke padang sambil membawa jersinya sebelum sepak mula perlawanan antara setan merah bertemu Leeds United yang dilangsungkan di Old Trafford malam semalam.

Ketika beliau diperkenalkan, Varane menunjukkan jersi barunya bersama Manchester United dengan beliau akan memakai jersi bernombor 19 di Old Trafford.

Beliau sebelum ini memakai jersi bernombor lima ketika bersama Real Madrid dan menyarung jersi bernombor empat ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis.

Menurut laporan dari Manchester Evening News, pemain berusia 28 tahun itu sempat meminta untuk memakai jersi nombor empat yang ketika ini dipakai oleh Jones, namun pertahanan veteran United itu menolak untuk memberikannya pada Varane.

Walaupun Jones sudah tidak turun beraksi selama hampir 19 bulan, namun beliau bertegas untuk tidak mahu melepaskan nombor yang beliau pakai itu.

Jones sebelum ini berdepan dengan masalah kecederaan, dan beliau juga langsung tidak berjaya untuk memenangi hati Ole Gunnar Solskjaer sepanjang pengurus dari Norway itu mengurus kelab.

Jones hanyalah pilihan kelima Ole dan sepertinya pengurus United itu sama sekali tidak berminat untuk menggunakan khidmatnya.

Sejak Axel Tuanzebe dipinjamkan ke Aston Villa, Jones mungkin merasakan yang beliau akan ada peluang untuk diturunkan beraksi bersama skuad setan merah.

Namun dengan prestasi cemerlang Harry Maguire dan Victor Lindelof, ditambah pula dengan Eric Bailly yang turut mempamerkan aksi cemerlang pada musim lalu, sepertinya beliau tiada harapan untuk beraksi bersama skuad utama.

Apa lagi selepas ketibaan Raphael Varane, masa depan Jones sepertinya semakin pudar dan tidak keterlaluan untuk menganggap kariernya di Old Trafford sudah berakhir.

Aksi persembahan terakhir pemain berusia 29 tahun itu adalah ketika aksi kemenangan 6-1 United menewaskan Tranmere dalam saingan FA Cup pada Januari tahun lalu.

Dan aksi terakhirnya dalam saingan liga adalah ketika kekalahan 2-0 bertemu Burnley, beberapa hari sebelum aksi bertemu Tranmere itu.

Sepanjang tempoh dua tahun terakhir ini, Jones hanya dua kali sahaja diturunkan sebagai kesebelasan utama United dalam saingan liga.

Kontrak beliau bersama kelab masih aktif sehingga musim panas 2023 dan United sepertinya sukar untuk menjualnya kerana tiada kelab yang pernah berminat.

Jersi bernombor 19 yang dipakai oleh Varane merupakan jersi yang dipakai oleh Amad Diallo pada suku kedua musim lalu.

Walau bagaimanapun, pemain sayap itu telah diberikan nombor 16 dan beliau juga sepertinya akan dipinjamkan ke pasukan lain sepanjang musim ini nanti.

Ketibaan bekas bintang Real Madrid yang pernah menjulang empat kali gelaran Champions League itu jelas sekali disambut dengan sangat baik oleh para peminat Manchester United di Old Trafford semalam.

Para peminat membawa aura menyambut kehadiran Varane untuk menonton aksi perlawanan bertemu Leeds United dengan mereka tidak henti-henti bersorak sepanjang perlawanan.

Bruno Fernandes berjaya mencatatkan hat-trick dan Paul Pogba pula cemerlang mencipta empat assists ketika membantu setan merah membelasah Leeds United 5-1.

Varane ketika diperkenalkan sebagai pemain United di Old Trafford semalam

Para penyokong United tentunya sudah tidak sabar untuk melihat aksi persembahan pemain pertahanan baru mereka itu, tidak kira berapa nombor jersi yang beliau pakai.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Phil Jones Ada Dalam Perancangan Ole Musim Ini