Piala AFF 2022: FAM Turunkan Harga Tiket Kepada RM30

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan pengurangan harga tiket dua kali berturut dalam tempoh beberapa hari dan menjadi harga tiket dewasa kini bermula pada harga RM30.

Berita menggembirakan ini telah diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin melalu media rasminya.

Pengurangan harga ini terjadi susulan daripada desakan peminat yang marah dengan harga asalnya yang bermula dari RM50 yang disifatkan terlalu tinggi.

Dan inilah harga tiket terbaru lagi terkini Piala Mitsubishi Electric AFF 2022:

Tiket TerbukaRM50 RM45 RM30

Tiket PremiumRM70 RM60 RM50

Tiket GrandstandRM100 RM70 RM60

Tiket kanak-kanakRM10 RM5 (6-12 tahun)

Menurut Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin:

“Selepas menerima pelbagai reaksi daripada penyokong Harimau Malaya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan ini mengumumkan bahawa harga tiket bagi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Laos dan Singapura akan diturunkan kepada serendah RM30.”

“Tiket Terbuka yang sebelum ini berharga RM50 dan RM45, kini diturunkan ke RM30; tiket Premium yang sebelum ini berharga RM70 dan RM60, kini diturunkan ke RM50; tiket Grandstand yang sebelum ini berharga RM100 dan RM70, kini diturunkan ke RM60; manakala tiket kanak-kanak (6-12 tahun) yang sebelum ini berharga RM10, kini diturunkan ke RM5.”

Kenaikan harga tinggi yang melambung ini sejajar dengan kenaikan kos barang asas seperti minyak masak, ayam dan telur lantaran peningkatan kos kos pengurusan dan penganjuran.

“Untuk makluman semua, peningkatan harga tiket bagi edisi 2022 ini berbanding edisi 2018 terpaksa dibuat oleh FAM disebabkan peningkatan kos-kos berkaitan dalam tempoh empat tahun ini termasuk kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.”

“Selepas mengambil kira keluhan penyokong, FAM semalam telah mengumumkan untuk penurunan harga tiket asal berkenaan kepada RM45 bagi tempat duduk terbuka, RM60 tempat duduk Premier dan RM70 tempat duduk Grandstand, namun rata-rata penyokong masih mengharapkan penurunan harga yang lebih.”

Atas dasar keprihatinan kepada peminat bola sepak Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang kini berada di Qatar meneliti semula perkara ini dan mengarahkan harga tiket disemak semula.

“Saya yang kini berada di Doha, Qatar terpanggil untuk meneliti semula perkara ini dan telah mengarahkan sekali lagi kepada Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM yang dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM, Dato’ Posa Haji Majais supaya mendapatkan juga solusi terbaik dalam memastikan situasi menang-menang dapat dicapai di antara FAM dan penyokong.”

“Selepas pelbagai pandangan, penelitian dan perincian dibuat, maka Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM telah bersetuju dengan cadangan saya supaya harga tiket berkenaan dikurangkan lagi bagi memastikan ia dapat diterima oleh semua penyokong.”

“Sebagai Presiden FAM, saya perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya yang mana kita mahu peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon ketika ini dapat berjalan seiring dengan sokongan padu kehadiran penyokong di stadium pada setiap perlawanan.”

“Saya juga berprihatin dengan keadaan ekonomi semasa yang masih tidak stabil dan mengambil kira juga majoriti penyokong bola sepak adalah daripada golongan B40 yang mana pengurangan harga tiket kepada serendah RM30 ini diharap mampu menggalakkan lagi kehadiran penyokong ke stadium di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.”

Mereka yang telah membeli tiket pada harga asal akan diberikan pulangan kembali mengikut harga terkini tiket dan tiada pakej kombo seperti Kelayakan Piala Asia 2023 kerana jarak hari perlawanan terlalu panjang.

“Bagaimanapun, FAM tidak dapat memberikan harga promosi kombo seperti yang pernah dibuat ketika Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lalu kerana perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 hanya membabitkan dua perlawanan yang mana jaraknya agak jauh iaitu beza 10 hari bagi kedua-dua perlawanan, berbanding tiga perlawanan dalam tempoh selang tujuh hari pada Kelayakan Piala Asia 2023.”

“Bagi penyokong yang telah pun membeli tiket berkenaan pada harga asal ataupun harga yang telah diturunkan semalam, proses pemulangan (refund) untuk amaun yang berlebihan itu akan diuruskan oleh pihak Ticket Hotline.”

Dengan pengurangan harga ini Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menyeru agar semua penyokong Harimau Malaya hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberi sokongan.

1. Malaysia vs Laos – 24 Disember 2022, Sabtu
2. Malaysia vs Singapura – 3 Januari 2023, Selasa

BACA:  Biasa Defending Keluarkan Kaki Bukan Badan, Rasa Macam Hoki Pulak Kan?