Pochettino: Guardiola & Hodgson Berhak Menangi Anugerah Pengurus Terbaik Musim Ini

Pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino memilih Pep Guardiola dan Roy Hodgson sebagai calon utama untuk memenangi anugerah ‘Premier League Manager of the Season’ bagi musim 2017/2018.

Pochettino berkata beliau tidak mampu memilih siapa yang lebih berhak memenangi anugerah tersebut kerana kedua-dua pengurus tersebut menyerlah dalam situasi yang berbeza musim ini.

Pochettino tidak dapat pilih antara Guardiola atau Hodgson siapa yang lebih layak menangi anugerah Pengurus Terbaik

Guardiola berjaya membimbing Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Piala Carabao musim ini, disamping membentuk City menjadi pasukan digeruni di peringkat Eropah walaupun tersingkir di tangan Liverpool dalam peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Hodgson pula berjaya membawa Crystal Palace dari kedudukan terbawah liga pada awal musim ke kedudukan ke-12 dan hampir pasti terselamat dari penyingkiran.

Pochettino mendakwa beliau tidak dapat memilih pengurus mana yang lebih berhak untuk merangkul anugerah tersebut kerana kedua-duanya adalah pemenang yang berhak.

“Jika kita hanya melihat berdasarkan trofi, sudah tentu Pep Guardiola berhak memenanginya.”

“Jika diambil dari keseluruhan aspek, setiap perkara dan seluruh kelab berdasarkan situasi kelab masing-masing, pemenangnya adalah Roy Hodgson.”

Saya bukan yang terbaik kerana Tottenham tidak memenangi sebarang piala

“Bagi saya, jika anda mahu saya memilih seorang pemenang, saya tidak dapat pilih seorang sahaja pemenang. Saya akan memilih dua pemenang.”

“Pep Guardiola berhak memenanginya, sama juga dengan Roy Hodgson. Bagi saya, musim ini kita ada dua pemenang anugerah tersebut.”

Apabila ditanya adakah beliau juga berhak untuk memenangi anugerah Pengurus Terbaik musim ini, Pochettino menjawab persoalan tersebut secara berseloroh.

“Sudah tentu saya tidak berhak memenanginya. Kerana kami adalah pasukan terbaik dunia dan kami tidak memenangi sebarang trofi, jadi mustahil untuk saya menjadi pengurus terbaik.”

Dalam perkembanga lain pula, bekas pengurus Southampton itu berkata beliau tidak gembira melihat Arsenal tersingkir dari Europa League, walaupun penyingkiran tersebut bermakna 4 pasukan teratas dijamin tempat untuk bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Sekiranya Arsenal berjaya menjuarai Europa League dan Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara, pasukan yang menduduki tangga ke-4 dalam Liga Perdana Inggeris tidak akan menerima slot untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

We are rivals, not enemies. Pochettino tidak gembira melihat Arsenal tersingkir dari Europa League

Tottenham kini sedang menduduki tempat ke-4 dan walaupun penyingkiran Arsenal dari Europa League meningkatkan lagi peluang mereka untuk bermain dalam Liga Juara-Juara musim hadapan, Pochettino masih lagi ‘tidak gembira’ dengan perkembangan tersebut.

“Sekarang pasukan yang menduduki tangga ke-4 terjamin untuk bermain dalam Liga Juara-Juara. Sudah tentu saya tidak gembira dengan kekalahan Arsenal, saya bukan individu yang gembira dengan kekalahan pasukan lain.”

“Sasaran kami masih lagi untuk menamatkan musim ini di kedudakan ke-3, tetapi jika tidak, tempat ke-4 sudah memadai.”

“Bagi saya, menamatkan kempen di kedudukan empat teratas adalah satu kejayaan buat kelab ini dalam situasi sekarang.”

BACA:  Klopp Dan Guardiola Tak Akan Pernah Berminat Untuk Menandatangani Lukaku