Pochettino: Malam Yang Penuh Istimewa Di Stadium Terbaik Dunia

Sejarah baru tercipta bagi Totteham Hotspurs apabila mereka bermain buat kali pertama dalam stadium yang baru siap dibina yang digelar ‘Tottenham Hotspurs Stadium’.

Selepas berbulan-bulan ditangguhkan atas isu keselamatan, Tottenham akhirnya diberi lampu hijau untuk bermain buat kali pertama di stadium baru milik mereka selama dengan Crystal Palace menjadi pasukan lawan pertama yang bertandang ke stadium tersebut.

Stadium baru Spurs akhirnya dirasmikan selepas berbulan-bulan tertunda

Perlawanan malam tadi juga menandakan berakhirnya penantian selama 689 hari sejak Spurs meninggalkan White Hart Lane dimana mereka menyewa Stadium Wembley sementara menunggu stadium baru siap.

Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris penuh bersejarah malam tadi, seramai 59,000 peminat membanjiri stadium untuk menyaksikan sejarah baru tercipta untuk kelab tersebut.

Tambah manis, malam pertama Spurs di gelanggang baru mereka berakhir dengan kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace, hasil jaringan Heung-Min Son dan Christian Eriksen.

Sebelum perlawanan bermula, peminat disajikan dengan persembahan pembukaan stadium yang menakjubkan, disamping persembahan bunga api.

“Ini merupakan detik yang istimewa, dan malam yang istimewa. Saya merasakan dan percaya ini adalah stadium yang terbaik di dunia.”

“Kami tahu perlawanan malam ini bakal menjadi satu perlawanan yang sukar. Kami tidak tahu bagaimana pasukan ini akan memberi reaksi, tetapi berdasarkan corak permainan kami pada separuh masa pertama, saya tahu pasukan ini akan menjaringkan gol.”

“Saya tumpang gembira untuk Danie Levy [pengerusi Spurs] atas projek yang fantastik ini dan saya menujukan kemenangan ini kepada beliau.”

“Emosi yang ditunjukkan pemain sejak awal sungguh menakjubkan. Kemenangan ini cukup penting untuk kami.”

Nama Heung-Min Son akan berada dalam lipatan sejarah Spurs selepas beliau menjaringkan gol pertama di stadium baru tersebut

“Hari ini kami berjaya menyentuh kejayaan. Sekarang kami perlu mula mencari jalan untuk memenangi trofi. Sekarang bermulanya satu fasa baru. Kami menutup satu fasa dan membuka fasa baru demi memberi kemenangan kepada peminat kami !”

Spurs kembali melonjak ke tempat ke-3 dalam Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan ini, tetapi Arsenal bermain kurang satu perlawanan.

Spurs bakal mengharungi baki saingan liga dengan 4 perlawanan di tempat sendiri, dan Pochettino berharap anak buahnya berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-4 berturut-turut.

“Saya amat yakin kami mampu mendapatkan ‘Top 4’ pada penghujung musim ini.”

“Saya percayakan pemain saya. Saya percayakan mereka. Saya rasa kumpulan pemain ini dan staff kejurulatihan termasuk setiap department dalam kelab ini berhak berada dalam Liga Juara-Juara Eropah kerana kami berusaha cukup keras untuk mendapatkannya.”

“Sudah tentu masih banyak kerja yang perlu kami lakukan. Kami bersaing dengan kelab besar yang banyak melaburkan duit. Kami bersaing dengan ‘alatan’ yang berbeza dari mereka, tetapi kami mempunyai kepercayaan dan hari ini kami mempunyai rumah baru.”

BACA:  Adakah Liverpool Dan Spurs Akan Terus Menentang Pengambilalihan Newcastle?