Pogba Semakin Hampir Sertai PSG Selepas Menolak Tawaran Baru Dari United

Paul Pogba telah menolak tawaran lanjutan kontrak dari Manchester United, dengan kebarang kalian untuk beliau berpindah ke Paris semakin hampir jadi kenyataan.

Baki kontrak beliau bersama pihak kelab hanya tinggal satu tahun sahaja lagi, bermaksud Pogba boleh meninggalkan kelab pada musim depan secara percuma sahaja.

Pihak kelab tentunya tidak mahu melihat pemain termahal mereka dilepaskan secara percuma, memandangkan pemain sendiri tidak mahu melanjutkan kontrak beliau ketika ini.

Walaupun pemain midfield itu sering dikecam teruk oleh para peminat, namun Ole Gunnar Solskjaer masih tetap mahu menggunakan khidmatnya dan berharap agar Pogba menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Walau bagaimanapun, menurut sumber laporan dari Canal Supporters, pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu telah menolak tawaran kontrak baru dari pihak kelab.

Ole masih berharap Pogba menandatangani perjanjian baru bersama kelab

Get Football News France mendedahkan yang mereka mendapat berita dari sumber yang paling dipercayai, bahawa Pogba sudah semakin hampir pasti untuk menandatangani kontrak bersama Paris Saint Germain.

Walaupun United sangat berharap untuk mengekalkan khidmat pemain berusia 28 tahun itu di Old Trafford pada musim hadapan, namun mereka tidak sanggup untuk melihat Pogba meninggalkan kelab secara percuma buat kali yang kedua.

Pogba meninggalkan Manchester United untuk beraksi bersama Juventus secara percuma pada tahun 2012, dan beliau kemudian ditandatangani semula oleh pihak kelab dengan yuran perpindahan bernilai £90 juta pada 2016.

Pihak kelab dilaporkan bersedia untuk menerima tawaran bernilai £50 juta untuk bekas bintang Juventus itu seandainya ada pasukan yang berminat.

Paul Pogba selain dari menjadi pemain terpenting yang United tidak mahu hilang secara percuma, pemergian beliau pada musim panas ini juga sebenarnya akan membantu Ole menjayakan perancangan beliau untuk menghadapi musim baharu nanti.

Setan merah telah mengesahkan penandatanganan Jadon Sancho pada minggu lalu, selepas hampir setahun mereka berusaha untuk mendapatkan khidmatnya dari Borussia Dortmund.

Malam kemarin mereka mengesahkan pula yang pihak kelab sudah berjaya mendapatkan persetujuan untuk menandatangani pemain centre-back, Raphael Varane dari Real Madrid.

Terdapat laporan yang mendakwa Solskjaer hanya diberikan £100 juta sahaja untuk beliau beli pemain pada musim panas ini dengan jumlah perbelanjaan kedua-dua pemain itu sudah melebihi bajet yang ditetapkan.

Pengurus masih mahu menambah seorang pemain di posisi right-back dan seorang lagi pemain defensive midfielder untuk menambah kekuatan skuad sedia ada.

Maka seandainya Pogba dijual, dan ditambah pula dengan dana hasil penjualan pemain lain, maka Ole akan berjaya untuk mendapatkan dana tambahan yang sangat beliau perlukan.

Walau bagaimanapun, penyokong PSG jelas tidak menerima kehadiran Paul Pogba dengan mereka menggesa pihak kelab supaya tidak menandatangani pemain midfield itu.

Para penyokong Paris Saint Germain bengang dengan Paul Pogba dan tidak menerima kalau kelab mahu menandatangani bintang Perancis itu.

Apa yang menyebabkan mereka jadi bengang dan meluat dengan Pogba?

Semuanya bermula dari satu temu bual bintang Manchester United itu yang bercakap tentang Paris Saint Germain sebelum ini.

Para penyokong PSG yang menentang keputusan tersebut telah menaikkan banner di hadapan stadium, dengan meluahkan isi hati mereka:

Banner tersebut tertulis:

“Pogba, kamu seharusnya mendengar kata ibu kamu, dia tak mahu kamu di sini, begitu juga dengan kami.”

Komen Pogba tentang bermain di Parc des Princes telah tular di media sosial, yang mana beliau ketika itu mendakwa dirinya tidak tertarik untuk menyertai Paris Saint Germain memandangkan keluarganya penyokong Marseille.

Dalam temu bual bersama Canal+ menurut The Mirror, Pogba menyatakan bahawa:

“Saya pasti yang saya tak akan bermain bersama kelab bola sepak di Parc des Princes.”

“Saya tidak tertarik dengan itu kerana ibu dan bapa saya merupakan penyokong Marseille, jadi Paris memang tak ada dalam perancangan saya.”

Paris Saint Germain ketika ini telah berjaya melengkapkan perpindahan pemain seperti Gianluigi Donnarumma, Sergio Ramos, Georginio Wijnaldum dan Achraf Hakimi.

PSG sepertinya sudah menyediakan skuad terbaik mereka bagi mempersiapkan diri untuk memenangi gelaran Champions League pertama dalam sejarah kelab musim hadapan.

Sumber: SB

BACA:  Declan Rice Tampil Pertahankan Kehebatan Bintang Man Utd