Premier League 2019/20: Liverpool 0-0 Everton

Liverpool berkunjung ke Goodison Park untuk berhadapan dengan Everton dalam perlawanan Merseyside derby pada awal pagi tadi.

The reds menurunkan barisan kesebelasan berbeza dengan meletakkan Mo Salah di bangku simpanan dan menurunkan Minamino sebagai pemain utama.

Perlawanan bermula dengan Everton memulakan serangan seawal minit ke-4 perlawanan, tetapi percubaan dari Richarlison sekadar melintasi gawang gol.

Liverpool kemudian mula tampil dengan aksi lebih dominan bagi menguasai perlawanan. Namun skuad kendalian Jurgen Klopp itu bergelut dalam mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

Matip mendapat peluang keemasan apabila berjaya melakukan satu tandukan yang cantik hasil dari satu hantaran bola mati, namun tandukannya tidak tepat.

Pada minit ke-33 perlawanan, giliran Roberto Firmino pula mendapat peluang yang baik selepas Takumi Minamino melakukan tekanan ke atas Andre Gomes.

Tetapi sayangnya rembatan penyerang pasukan kebangsaan Brazil itu tersasar dan Liverpool masih buntu untuk mendapatkan gol dalam perlawanan tersebut.

Sadio Mane berjaya memberi ancaman kepada kawasan pertahanan Everton pada minit ke-39 dengan satu larian pantas, tetapi beliau telah dijatuhkan oleh Michael Keane.

Trent Alexander Arnold kemudiannya berjaya melakukan rembatan hasil daripada sepakan percuma dari luar kotak penalti, namun rembatan beliau berjaya diselamatkan oleh Jordan Pickford.

James Milner telah dikeluarkan pada minit-minit akhir babak pertama perlawanan kerana mengalami kecederaan dan tempatnya telah digantikan oleh Joe Gomez.

Naby Keita kemudiannya bergandingan dengan Sadio Mane dalam satu permainan satu dua yang sungguh cantik, namun percubaan Minamino dihadang oleh Holgate.

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan terikat tanpa jaringan.

Klopp melakukan pertukaran pada separuh masa kedua dengan memasukkan Alex Oxlade Chamberlain dan mengeluarkan Takumi Minamino.

Liverpool sekali lagi mendapat kesempatan terbaik untuk menjaringkan gol selepas Naby Keita melakukan percubaan hasil umpanan dari Firmino. Tetapi sekali lagi percubaannya gagal memberi kelebihan jaringan untuk the reds.

Pada minit ke-57, sepakan penjuru dari Trent Alexander Arnold menemui kepala Van Dijk namun tandukannya tepat menuju ke dakapan Jordan Pickford.

Klopp membuat satu lagi pertukaran dengan memasukkan Divock Origi dan mengeluarkan Roberto Firmino.

Pada minit ke-73 perlawanan, Joel Matip pula terpaksa dikeluarkan oleh Klopp kerana mengalami kecederaan dan Dejan Lovren dibawa masuk untuk menggantikannya.

Calvert Lewin berjaya melakukan satu gerakan backheel yang cantik namun berjaya diselamatkan dengan kemas oleh Alisson.

Calvert Lewin sekali lagi hampir menjaringkan gol untuk pasukan Everton selepas berjaya menanduk bola hasil dari sepakan percuma, tetapi sayangnya bola sekadar singgah di tepi jaring gawang Liverpool.

Dejan Lovren dengan tiba-tiba membuat aksi kelakar selepas jatuh tergelincir dan membenarkan Richarlison mendapat peluang untuk menjaringkan gol.

Namun mujur percubaan dari Richarlison berjaya di selamatkan oleh Alisson dengan begitu kemas.

Masuk waktu kecederaan, giliran Fabinho menguji gawang Everton dengan melepaskan rembatan deras namun sekali lagi di selamatkan oleh Pickford.

Ancelotti melakukan pertukaran beberapa detik sebelum pengadil meniup wisel penamat dengan mengeluarkan Calvert Lewin dan memasukkan Mouse Kean.

Perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dan Liverpool berjaya mencuri satu mata dari Goodison Park.

Everton ternyata masih gagal untuk menamatkan kemarau kemenangan mereka dalam aksi perlawanan Merseyside derby.

Liverpool kini sedang mendahului saingan liga dengan mengumpul 83 mata, 23 mata mengatasi Manchester City.

Adakah Liverpool mahu menjulang kejuaraan Liga Perdana di Etihad?

BACA:  Totti: Mo Salah Adalah Antara Pemain Terbaik Dunia Dan Hanya Akan Bertambah Baik