Premier League 2021/22: Liverpool 1-0 West Ham United

Skuad kendalian David Moyes berkunjung ke bumi Anfield untuk beraksi bertemu Liverpool dalam aksi saingan Premier League.

Liverpool kini sedang mengharungi aksi 11 kemenangan secara berturut-turut dan West Ham berpotensi menjadi mangsa ke-12 skuad The Reds yang sedang berada di tahap prestasi terbaik mereka itu.

Liverpool juga kini hanya enam mata sahaja dipisahkan dari Manchester City, dengan mereka memiliki kelebihan satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

Sementara West Ham pula mereka sejak kebelakangan ini sering pamer aksi tak konsisten walau sedang bersaing rapat dengan United dan Arsenal untuk merebut kedudukan empat teratas.

The Hammers ketika ini berada di kedudukan kelima, dua mata di belakang Manchester United yang sedang berada di kedudukan keempat.

Liverpool sudah tentu turun dalam perlawanan ini dengan misi mahu mengekalkan rekod kemenangan berturut-turut mereka, apa lagi beraksi di halaman sendiri.

West Ham selepas mereka berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Liverpool sebelum ini, sudah tentu mereka mahu mencipta sejarah dengan sekali lagi menewaskan anak-anak buah Jurgen Klopp itu.

Perlawanan bermula dengan Liverpool berjaya memiliki kesempatan emas untuk memperoleh gol awal menerusi Mohamed Salah seawal minit pertama permainan.

Hasil hantaran dari Trent Alexander Arnold, Salah berjaya membawa bola masuk ke kawasan lawan dan berdepan situasi satu lawan satu dengan Lukasz Fabianski.

Malang untuk Mohamed Salah kerana Fabianski bijak membaca arah bola rembatan beliau, seterusnya memastikan gawang West Ham tidak dibolosi.

Lima minit pertama dalam perlawanan ini, Liverpool jelas sekali mendominasi sepenuhnya permainan dengan mereka beberapa kali melancarkan serangan merbahaya ke kubu lawan.

West Ham gagal untuk mencipta sebarang gerakan dek kerana penguasaan bola jelas memihak sepenuhnya kepada pasukan tuan rumah.

10 minit perlawanan berlangsung, West Ham nampak berjaya menyeimbangkan semula permainan dengan kedua-dua pasukan kini saling berbalas serangan.

20 minit pertama permainan, kedua-dua pasukan masih lagi pamer aksi berhati-hati dengan saling berbalas serangan, namun tiada percubaan betul-betul bahaya yang berjaya dihasilkan.

Pada minit ke-27 permainan, Liverpool akhirnya berjaya merobek gawang West Ham United, hasil jaringan cantik dari Sadio Mane.

Trent Alexander Arnold mencuba untuk melepaskan rembatan, namun dek kerana rembatan beliau lemah, Mane yang ketika itu berada di dalam kotak segera menyambar bola tersebut untuk menewaskan Fabianski.

Pergerakan Mane terlalu pantas sebelum beliau menyambar bola tersebut, dan menyebabkan pemain West Ham mendakwa beliau datang dari kedudukan offside.

Pengadil perlawanan kemudiannya merujuk VAR, dan selepas selesai pemeriksaan, gol tersebut tetap diberikan kepada Liverpool kerana hanya tangan beliau sahaja yang melebihi garis offside.

30 minit perlawanan berlangsung, Liverpool nampaknya kembali dominan dengan mereka lebih kerap melancarkan serangan merbahaya ke kubu pasukan pelawat.

West Ham juga memiliki beberapa kesempatan untuk menjaringkan gol dengan Michail Antonio kerap memberi masalah besar kepada Ibrahima Konate.

Pada minit ke-34 Liverpool hampir sahaja untuk memperoleh gol kedua mereka, namun serangan bertubi-tubi mereka di dalam kotak penalti West Ham gagal membuahkan sebarang hasil.

Fabianski boleh dikatakan sudah tertewas dengan serangan bertubi-tubi itu namun mujur saja jentera serangan Liverpool agak lemau, dan barisan pertahanan The Hammers tenang mengawal keadaan.

Pada minit ke-37 permainan, giliran Pablo Fornals pula yang disajikan dengan kesempatan emas untuk menjaringkan gol.

Fornals berdepan situasi satu lawan satu dengan Alisson Becker dan bola percubaan beliau itu juga sudah berjaya melepasi penjaga gol dari Brazil itu.

Walau bagaimanapun, ketika bola bergolek menuju ke gawang gol, Trent Alexander Arnold cemerlang melakukan aksi penyelamatan berkelas dunia untuk mengeluarkan bola tersebut.

Bola kemudiannya masih berada dalam kawalan pemain West Ham, namun mereka masih gagal untuk memastikan bola tersebut berakhir dalam jaring gawang gol The Reds.

40 minit permainan berlangsung Liverpool nampak dominan dengan West Ham turut beberapa kali peroleh kesempatan namun barisan pertahanan Liverpool bijak menyelamatkan keadaan.

Aksi babak pertama berakhir dengan Liverpool masih kekal mendahului 1-0 gol hasil jaringan Sadio Mane pada minit ke-27 permainan itu.

Aksi babak kedua bermula dengan sangat seimbang selepas kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan.

55 minit perlawanan berlangsung, masih tiada tambahan jaringan yang berjaya dihasilkan dengan kedua-dua pasukan masih konsisten bertukar-tukar serangan.

65 minit perlawanan berlangsung masih tiada sebarang gol yang berjaya dihasilkan oleh para pemain kedua-dua pasukan.

Tidak keterlaluan untuk menganggap posisi midfield dan pertahanan kedua-dua pasukan sangat berfungsi dalam perlawanan ini.

Walau bagaimanapun, jentera serangan mereka jelas sekali terlalu tumpul dengan mereka kerap disajikan dengan peluang emas namun gagal untuk dimanfaatkan.

80 minit perlawanan berlangsung, masih tiada tambahan jaringan yang berjaya dihasilkan dengan kedua-dua pasukan kerap mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

Tak pasti apa masalah sebenar jentera serangan kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini, kerana mereka terlalu kerap mensia-siakan kesempatan untuk menjaringkan gol.

West Ham di hujung-hujung permainan tak henti-henti melancarkan serangan dalam usaha mereka memburu gol penyamaan.

Namun kehebatan barisan pertahanan Liverpool, kecekapan Alisson Becker dan ketumpulan jentera serangan sendiri menjadi punca pasukan pelawat gagal memperoleh sebarang gol dalam perlawanan ini.

Pengadil perlawanan membunyikan wisel panjang, seterusnya mengesahkan kemenangan 1-0 Liverpool menewaskan West Ham United di Anfield.

Liverpool kini hanya tiga mata sahaja dipisahkan dari Manchester City, dengan mereka berharap agar skuad kendalian Pep Guardiola itu akan keciciran mata ketika aksi bertemu Man Utd awal pagi esok.

West Ham sementara itu kekal di kedudukan kelima, dengan mereka jelas sekali bakal dipotong oleh Arsenal yang selepas ini akan turun beraksi bertemu Watford.

Liverpool (4-3-3): Alisson 7; Alexander-Arnold 8, Konate 6, van Dijk 7, Robertson 7; Henderson 7, Fabinho 6, Keita 6 (Milner 90); Salah 6 (Jota 79, 6), Mane 7, Diaz 6.5 (Jones 90+5).

Pemain Simpanan: Kelleher; Gomez, Oxlade-Chamberlain, Elliott, Minamino, Jota, Origi.

Penjaring: Mane 27.

Kad Kuning: Jota 89, Mane 90+4.

West Ham (4-4-1-1): Fabianski 6; Johnson 5.5, Dawson 6, Zouma 5.5, Cresswell 7; Bowen 6.5 (Benrahma 53, 6), Soucek 7, Lanzini 6.5, Vlasic 5.5 (Noble 61, 6); Fornals 6 (Chesters 90+3); Antonio 7.

Pemain Simpanan: Areola; Fredericks, Diop, Masuaku, Kral, Oko-Flex.

Kad Kuning: Dawson 31.

Pengadil: Jonathan Moss

BACA:  Salah Hampir Sertai Pasukan Seteru Sebelum Akhirnya Memilih Untuk Kekal Di Anfield